PM Najib perlu kotakan janji untuk kukuhkan penerimaan terhadap UMNO

Presiden UMNO VII dan Perdana Menteri VI Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak hari ini mengingatkan agar UMNO perlu berubah mengikut trend dan menepati citarasa dan pengharapan masyarakat, terutama orang Melayu. Persekitaran politik menentukan KPI baru ini semakin dikehendaki dalam cabaran politik hari ini.

Laporan Bernama.com:

20/06/2010 5:56pm

Persepsi politik UMNO harus ikut trend – Najib

BAGAN DATOH 20 Jun — Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, persepsi terhadap politik UMNO harus berubah mengikut trend terkini dan tidak boleh mengikut cara lama dalam usaha untuk menawan kembali hati rakyat menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, UMNO perlu sentiasa dalam keadaan segar melalui pembaharuan yang mengikut persekitaran politik yang berbeza dan sentiasa berubah-ubah mengikut kehendak rakyat.

Katanya, trend perubahan perlu dilakukan untuk menangkis segala tohmahan daripada pembangkang yang sentiasa mengelirukan rakyat dengan persepsi yang munasabah.

“Walaupun UMNO telah berusia 64 tahun dan merupakan produk yang telah berusia tetapi ia perlu diubah mengikut suasana politik supaya rakyat terus menyokong UMNO”, katanya merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh di Wisma UMNO di sini hari ini.

Perdana Menteri mengakui politik mengalami pasang surut kerana ia adalah lumrah dalam politik malah dalam sistem demokrasi berparlimen atau pun demokrasi berdasarkan persepsi sistem merupakan satu perkara biasa yang tidak dapat dielakkan. — Bernama

*****************

Dinamism yang dikehendaki masyarakat yang semakin canggih dan bermaklumat ini adalah perlu dan semakin menjadi elemen utama berpolitik. Amanat ini amat penting bagi mengekalkan keyakinan terhadap UMNO, terutama sebagai tunggak kepada BN. UMNO juga merupakan penyumbang utama bagi undi pada parti komponen Bukan Melayu di Semenanjung Malaysia.

PM Dato’ Seri Najib juga mengingatkan UMNO agar perlu berusaha lebih keras untuk membetulkan persepsi yang dijana secara strategik oleh Pembangkang, atas pembohongan dan kekeliruan yang berjaya diujudkan akan menjadi sesuatu ‘realiti’ sekiranya gagal dibendung dan tangani.

Namun beliau sebagai Presiden UMNO wajar juga memberikan perhatian kepada satu kehendak penting masyarakat iaitu memerangi rasuah. Ini merupakan salah satu janji PM Dato’ Seri Najib dalam ucapan ulung beliau sebagai Presiden UMNO VII pada 28 Mac 2009, semasa mengambil alih kuasa dari PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Malaysia begitu mengharapkan Najib membawa pembaharuan dalam penjanaan semula UMNO sebagai wadah Perjuangan memartabatkan kepentingan dan kedudukan orang Melayu.

Pengharapan ini juga didukung oleh Bukan Melayu kerana kejayaan UMNO akan menentukan kestabilan politik, yang secara automatiknya menjurus kepada Kerajaan yang kuat dan dapat memberikan fokus kepada program pembangunan, memajukan masyakarakat dan agenda kearah pengukuhan ekonomi dan perlaksanaan agenda mencapai ‘Wawasan 2020’.

Namun realiti setelah 15 bulan mengambil tampuk Kepimpinan adalah agak mengecewakan. Setakat ini, UMNO secara total gagal membawa mana mana calon yang bertanding pada siri kempen pilihanraya parti termasuk peringkat tertinggi Naib Presiden, Ketua Pemuda dan Majlis Tertinggi ke muka pengadilan Lembaga Disiplin UMNO walaupun dikatakan lebih 2,000 laporan telah dibuat kepada sekretariat parti. Kegagalan ini akan mempunyai kesan strategik ketirisan masyarakat kerana segelintir pemimpin yang diyakini ramai telah berjaya dipilih kerana amalan ‘politik wang’.

Amalan ‘jaga kawan’ yang hanya menguntungkan segelintir warga UMNO tetapi melenyapkan keyakinan masyarakat adalah mengecewakan kerana pemimpin pemimpin yang mengamalkan ‘politik wang’ wajar dikorbankan, walaupun masih lagi mampu menyumbang, terutama dalam kapasiti jawatan rasmi termasuk kedudukan tertinggi dalam Kerajaan. Etika dan prinsip perlu diutamakan dan menjadi landasan bagi UMNO menentukan Kepimpinan dan ini merupakan salah satu kehendak utama masyarakat mengekalkan parti nasionalis itu masih relevan memperjuangkan hak dan kepentingan massa Melayu dan secara tidak langsung, warga Malaysia.

Amat malang sekiranya PM Dato’ Seri Najib ‘hanyut’ dalam arus ‘persepsi palsu’ bahawa kegagalan menghakimi dan menghukum calon Kepimpinan yang mengamalkan ‘politik wang’ tidak mendapat perhatian dan lekat dalam sanubari orang Melayu, yang menjadi penyumbang utama undi terhadap BN. Semakin lama dan berpanjangan  tindakan drastik yang didambakan rata rata oleh masyarakat Melayu gagal diambil oleh Kepimpinan, maka semakin lenyap keyakinan bahawa beliau benar benar ikhlas dan serious ‘memerangi rasuah’.

TEPUK DADA, TANYA SELERA

Published in: on June 20, 2010 at 23:23  Comments (4)