25 Tahun Proton: Kejayaan perancangan strategik untuk negara maju

Minggu lepas, syarikat automobil terulung negara Proton menyambut ulang tahun 25 selepas keluaran produk sulungnya Proton Saga. Sepanjang 25 tahun ini, operasi Proton yang semasa permulaan difikirkan segelintir akan gagal semasa dan majoriti pula meragui kemampuannya untuk bertapak dan jauh sekali untuk mampu bersaing dalam industri teknologi dan berat ini, terutama cabaran motorkar import dan berhadapan skala ekonomi (economies of scale), dibuktikan meleset.

Proton yang memulakan operasi dengan men’cedok’ teknologi Mitsubishi, mengeluarkan Proton Saga yang berdasarkan Mitsubishi Lancer. Sedikit demi sedikit, kandungan tempatan yang boleh pertingkatkan dan sistem perolehan dan pembekalan dari pengilang anak tempatan, dipertingkatkan. Model baru seperti Proton Wira dan Perdana diperkenalkan. Kemudian Proton mengambil langkah untuk bergerak kehadapan dengan pengenalan model Proton Waja, yang direka dan bangunkan oleh jurutera Malaysia. Model model derivatif juga diperkenalkan.

Proton juga memperkenalkan generasi kedua model yang direka dan bangunkan oleh kepakaran tempatan seperti Proton Gen 2 dan Proton Saga. Kemampuan Proton untuk mengekalkan kualiti dan kos pengeluaran memungkinan model seperti Proton Saga dijual dengan harga 25% lebih murah dari persaingan, jika diukur dari harga jualan model pertama semasa tahun 1985 berbanding dengan hari ini.

Data mengenai pencapaian Proton amat membanggakan. Bermula dengan pelaburan asas berjumlah RM 224 juta, Proton berjaya meraih jualan terkumpul sebanyak RM 120 billion sepanjang 25 tahun ini dan keuntungan terkumpul sebanyak RM 5.768 billion. Tahun 2002 merupakan tahap paling menbanggakan apabila Proton meraih rekod  jualan RM 10.307 billion dan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM 1.512 billion.

Kejayaan ini adalah perancangan pelaburan yang terancang dan strategik, termasuk dalam pembangunan produk. Pelaburan yang ditambah untuk meningkatkan keupayaan dan kemampuan termasuk kapasiti dan effisiensi pembuatan dan pengeluaran berjumlah RM 11.535 billion, yang rata rata dijana dari dana dalaman. Dalam tempoh itu, Proton dalam usaha peningkatan strategik telah memiliki syarikat pembikinan motorkar lumba ternama Lotus dari United Kingdom dan pengalaman dan teknologi yang dibangunkan oleh Lotus mula diserapkan kedalam produk produk Proton, bermula dari Proton Satria 16V.

Sehingga Jun 2010, Proton mengeluarkan 3,348,651 unit motorkar dan ini memberi peluang kepada 34,337 orang untuk mendapatkan pekerjaan. Buat masa ini, Proton mempunyai tenaga kerja berjumlah 9, 966 orang.

Kejayaan Proton ini memungkinkan ianya disenarai dipapan utama Bursa Malaysia pada tahun 1993. Syarikat ini yang pernah dimiliki DRB-Hicom dan Petronas, kini terangkum dibawah Khazanah Holdings Bhd. dan semenjak Dato’ Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir diambil menerajui syarikat pembuatan dan pengeluar motorkar terbesar dalam negara, Proton kini bergerak untuk kembali memberikan keuntungan dan pulangan kepada modal yang dilaburkan.

Proton juga mengunakan pengembangan pembuatan dan pengeluaran sebagai peluang untuk membangunkan rangkaian sistem pembekalan dan vendor syarikat tempatan, yang mula diusahakan secara aggresif semasa zaman Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad. Buat masa ini sebanyak 268 syarikat terangkum dan penyertaan dalam program vendor, termasuk tier 2 dan 3 dan program pro-aktif pembangunan industri ini memberi peluang pekerjaan kepada 48, 000 tenaga kerja.  Banyak usahawan Bumiputera berjaya membina syarikat industri kecil dan serdehana (IKS) dari program ini.

Proton kini mensasarkan akan mampu merealisasikan kapasiti penuh kilang pembuatan integrasi di Tanjung Malim dan secara optimumnya mengeluarkan 300, 000 unit setahun. Fasiliti ini berjaya dibangunkan sepenuhnya dari dana dalaman tanpa membuat pinjaman luar kumpulan.  Buat masa ini, Proton masih lagi merundingkan kerjasama startegik dan pembekal teknologi bagi langkah menentukan produk akan datang mampu bersaing dalam pasaran global, termasuk dengan jenama ulung seperti VW.

Impian Perdana Menteri Malaysia ke IV Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan hanya melihat Malaysia mampu mengeluarkan motorkar, malah Proton menjadi industri induk bagi negara mengorak langkah kearah taraf negara maju jelas terbukti. Pengalaman dan pemikiran strategik dari Proton ini amat berguna bagi industri berat dan teknologi tinggi, termasuk industri pertahanan akan berjaya dibangunkan dan Malaysia makin dekat untuk mencapai taraf negara maju.

Anak Melayu melalui Proton kini berjaya menguasai kemampuan untuk reka, rancang, membangunkan secara end-to-end dan memasarkan motorkar dan ini memberikan peluang untuk program pembangunan modal insan bagi industri berat dan teknologi tinggi. Proton merupakan langkah strategik Tun Dr. Mahathir untuk membuktikan peluang bawah Dasar Ekonomi Baru memungkinkan orang Melayu menguasai kecekapan dan kemampuan arus globalisasi.

Proton berjaya membuktikan ‘Malaysia Boleh’. Wawasan dan pandangan jauh Tun Dr. Mahathir menyediakan ‘kotak untuk dipijak’ agar rakyat Malaysia berdiri sama tinggi dan megah dengan bangsa lain, termasuk negara maju berhasil. Maruah bangsa dan negara dipelihara dengan kejayaan Proton 25 tahun beroperasi ini.

Selamat Ulang Tahun dan tahniah.

Published in: on July 15, 2010 at 11:12  Comments (24)