UMNO perlu PERKASA untuk tentukan nasib PRU 13

Perdana Menteri Malaysia IV dan Presiden UMNO V Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa UMNO hari ini memerlukan PERKASA bagi menentukan sokongan orang Melayu masih relevan kepada parti nasionalis itu.

Laporan Bernama.com:

UMNO perlukan Perkasa untuk raih sokongan Melayu

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, UMNO tidak mampu berbalah dan memisahkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) jika tidak mahu menanggung risiko kehilangan lebih banyak sokongan.

Bekas perdana menteri itu berkata, sebaliknya UMNO memerlukan seberapa banyak sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika parti induk Barisan Nasional (BN) itu tidak mahu kehilangan sokongan akar umbi.

“Saya berpendapat bahawa UMNO khususnya tidak begitu kuat, kita tidak boleh tolak sebarang orang kerana kalau kita hilang 100, 200 orang pun, mungkin kita akan kalah.

“Jadi kita nak sokongan seberapa banyak, tak payahlah kita bermusuh dengan orang. Saya fikir, kita perlu dekatkan diri dengan seberapa kumpulan yang boleh,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Seri Kembangan, dekat sini, hari ini.

Pada Khamis lepas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, UMNO menjauhi daripada Perkasa yang lantang membuat kenyataan ekstrem mengenai isu-isu perkauman.

Dr. Mahathir berkata, ahli UMNO ketika ini berpecah antara menyokong atau menjauhkan diri daripada Perkasa, sambil menjelaskan keadaan seperti itu boleh menyebabkan jurang yang lebih parah di kalangan mereka.

“Ia telah menyebabkan rasa serba salah di kalangan ahli UMNO sendiri. Ada yang akan kekal dan ada yang menjauhkan diri…ini akan lebih memisahkan mereka.

“Selain itu, pada pilihan raya umum lepas, margin adalah amat tipis sekali.

Katakan jika kita kalah sedikit…kita mungkin kalah pada pilihan raya,” katanya.

Ditanya sama ada UMNO akan kerugian jika menjauhkan diri dari Perkasa, Dr Mahathir berkata: “Kita tidak mampu berbalah dengan ramai orang. Jika anda mahu bertengkar, bertengkarlah dengan seorang, bukan semua.” – Bernama

************

Saranan ini bercanggah dengan pendapat segelintir pemimpin UMNO peringkat Majlis Tertinggi seperti Nazri Aziz, Tengku Adnan Mansor, Khaled Nordin dan Khairy Jamaluddin yang menyarankan bahawa Pertubuhan Peribumi Perkasa Negara (PERKASA) adalah tidak sehaluan dengan Perjuangan UMNO dan ada yang membawa maksud ianya bercanggah dengan gagasan ‘1 Malaysia’.

Semenjak dilancarkan secara rasmi oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad Mei 2009, PERKASA sebagai NGO sudah mampu meraih lebih 200,000 ahli berdaftar dan berbayar serta 60,000 lagi borang penyertaan masih lagi sedang diproses.

Semenjak kepimpinan lemah PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, pemimpin UMNO mula berubah dan akar umbi semakin gusar dengan ‘kelompangan kepimpinan’ dan mula menyerap dari pihak tertinggi sehingga peringkat menengah (Bahagian). Proses penyebaran maklumat merupakan aliran satu arah sahaja dan apa apa keputusan dan penerangan yang dicubakan diserapkan ke ‘bawah’ merupakan menjaga imej palsu kepimpinan lemah ini.

Akibatnya, akar umbi UMNO sendiri kecewa. Ini jelas dilihat apabila kerusi UMNO dalam Dewan Rakyat selepas PRU 11 merosot dari 110 kepada 79. Orang Melayu yang secara tradisinya menyokong BN mula samada tidak menyokong (tidak mengundi atau membuat undi rosak) atau lebih buruk lagi, memberikan undi kepada Pembangkang. BN hilang 5 + 1 negeri dan kuasa psikologi 2/3 dalam Dewan Rakyat buat pertama kalinya semenjak pilihanraya umum pertama 1955. Negeri Johor dimana menjadi ‘Simpanan Tetap’ (Fixed Deposit) BN merakamkan 100,000 undi rosak semasa PRU 13 yang jelas menunjukan orang Melayu termasuk akar umbi UMNO meluahkan rasa ‘tidak puas hati’ dan ‘kekecewaan’ mereka pada peti undi dan mula bersedia untuk ‘mengajar UMNO’.

Hakikatnya, Kepimpinan UMNO hari ini tidak lagi membawa aspirasi massa orang Melayu, sebagaimana ianya diharapkan akar umbi. Pemimpin peringkat menengah, atasan dan tertinggi lebih berminat untuk menjaga kepentingan diri dan kedudukan masing masing, termasuk mengekalkan ‘kumpulan terpilih’ dan ‘bulatan dalaman’ (inner circle) dalam satu satu jajaran (domain) kepimpinan dari memberikan perkhidmatan kepada akar umbi dan rakyat.

PM Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak menerima kunjungan hormat dan berdialog dengan PERKASA di JPM, 2009

Kepimpinan UMNO mula menerima idea ‘mengliberalsasikan sistem negara’ dan ini merangkumi memberikan lebih konsessi kepada kehendak Bukan Melayu, terutama peruntukan seperti biasiswa dan sekolah Cina. Dalam masa yang masa, orang Melayu mula di’pujuk’ dengan pelbagai hujah hujah universal untuk menerima ‘perubahan’ termasuk mengurangkan peruntukan, konsep meritokrasi, idea idea untuk secara perlahan lahan menghilangkan penerapan dan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru dan kesediaan untuk membuka ‘pasaran’ yang selama ini di’lindungi’ demi menjaga kepentingan perkembangan sosio-ekonomi orang Melayu kepada Bukan Melayu.

Bukan setakat itu sahaja, pemimpin UMNO hari ini dilihat sebagai alpa kepada semangat bagaimana negara ini lahir berasaskan tapak-kuasa yang ada pada Raja Raja Melayu dan orang Melayu sebagai ‘warga DYMM’, yang sebenarnya roh pada konsep ‘Ketuanan Melayu’ (Malay Domination).

Bukan Melayu terutama etnik Cina dilihat sebagai mula lantang dan ‘kurang ajar’ dalam tuntutan mereka, sehingga ditegur oleh DYMM Raja Raja Melayu. Namun pemimpin UMNO masih dilihat sebagai ‘bermain selamat’ (play safe) dengan beralah dan tidak bersedia untuk mencabar tuntutan yang semakin dilihat mensasari norma dan nilai kesefahaman bagaimana negara ini lahir pada 31 Ogos 1957.

Majoriti orang Melayu masih lagi bersifat dan jiwa konservatif. Perjuangan memartabatkan kepentingan orang Melayu agar setanding dan sama tahap dengan Bukan Melayu masih belum selesai, malah perlu dipertingkatkan dalam cabaran globalisasi. PERKASA sebenarnya memperjuangankan ini dan sebarang percubaan untuk menyisih dan menafikanya akan lebih ‘menjauhkan’ majoriti orang Melayu dari UMNO.

UMNO wajar mendekatkan diri walaupun secara tidak langsung dengan PERKASA dan berkejasama untuk menentukan orang Melayu merasakan aspirasi mereka masih relevan dan dalam perhatian Kepimpinan dan sebarang agenda perancangan Kerajaan. Dalam keadaan dimana UMNO sendiri tidak mendapat sokongan padu dan jitu dari orang Melayu dan parti komponen seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP bergantung kepada undi Melayu untuk kekal relevan sebagai wakil dalam proses merancang pembangunan negara, amatlah penting NGO Melayu yang semakin berpengaruh didekati.

27 kerusi Parlimen dalam Semenanjung Malaysia mempunyai majoriti kurang dari 1,500 undi termasuk kawasan yang dimenangi UMNO. Relialitinya, UMNO selaku tunggak BN memerlukan sokongan padu dan jitu orang Melayu untuk terus kekal relevan sebagai parti pemerintah pasca PRU 13. Dalam keadaan telur dihujung tanduk, UMNO sudah tidak mampu lagi untuk ‘berlagak sombong’ dan wajar menimbang menerapkan aspirasi gagasan ‘1 Malaysia’, ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ bagi konteks orang Melayu.

Pada orang Melayu, kepentingan dan aspirasi mereka adalah utama. Hari ini, PERKASA memperjuangkan kepentingan dan aspirasi orang Melayu adalah keutamaan.

Advertisements
Published in: on September 12, 2010 at 22:38  Comments (13)