UMNO perlu jaga hati orang Melayu dahulu atau siapa?

Polemik yang ditimbulkan dewasa ini mengenai NGO nasionalis PERKASA dan bagaimana perjuangan sealiran untuk memartabatkan dan menjaga kepentingan orang Melayu yang semakin subur diterima majoriti warga Malaysia itu makin disalah tafsirkan.

MCA kesal pandangan mahu UMNO dampingi Perkasa

KUALA LUMPUR 13 Sept. – MCA menegaskan UMNO akan hilang sokongan daripada masyarakat pelbagai kaum di negara ini jika parti itu terus menjalinkan hubungan erat dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, sehubungan itu pihaknya mengalu-alukan pendirian pemimpin UMNO menjauhkan diri daripada Perkasa dan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

Tegasnya, ia langkah yang wajar kerana Barisan Nasional (BN) adalah gabungan parti komponen yang mewakili pelbagai kaum di negara ini.

“Justeru, pembangunan BN adalah disokong oleh semua kaum di negara ini. Ia bukan hanya dapat sokongan daripada masyarakat Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengingatkan kira-kira 1.3 juta ahli parti berkenaan di seluruh negara yang menyertai Perkasa supaya tahu membezakan antara perjuangan parti dan pertubuhan itu.

Kata beliau, UMNO tidak menghalang ahlinya menyertai Perkasa tetapi mereka harus menyokong calon-calon BN semasa pilihan raya kelak.

Pada masa sama, Cho Ha berkata, beliau berasa kesal dengan kenyataan tokoh tertentu yang mendakwa UMNO perlu memihak Perkasa untuk terus menang pada pilihan raya umum kelak.

“BN tidak akan memenangi semula sokongan rakyat Malaysia jika bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlampau ini.

“Ini kerana sebarang hubungan dengan kumpulan berkenaan hanya akan menyebabkan hilangnya keyakinan masyarakat terhadap BN,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa BN tidak seharusnya berkompromi dan bertolak-ansur dengan mana-mana pertubuhan yang bersifat perkauman.

Katanya, sebagai parti politik bertanggungjawab, BN akan memastikan masa depan Malaysia tidak terjejas yang diakibatkan oleh sifat perkauman Perkasa.

**************

Sejak bila PERKASA merupakan “organisasi yang terlampau”?

MCA boleh mendekatkan diri dengan NGO Chauvinis Cina seperti Dong Zhiong dan mereka dewasa ini mula lantang dan wajar dikira ‘mencabar’, terutama dalam Kongress Ekonomi Cina baru baru ini yang mendesak Kerajaan untuk mula memansuhkan kuota 30% ekuiti Bumiputera. Namun menganggap PERKASA yang membangkitkan isu isu yang menjadi perkara asas memungkinkan negara ini merdeka sebeperti ‘kontrak sosial’ dan keharmonian dan kestabilan dicapai walaupun berlaku ketidak sama-rataan sosio ekonomi kerana ujud Dasar Ekonomi Baru (DEB), sebagai yang termaktub secara bertulis atau roh semangat pembinaan negara-bangsa dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, dianggap sebagai “terlampau”.

MCA sebagai rakankongsi BN yang bergantung banyak kepada undi orang Melayu untuk terus kekal relevan dalam persada politik arus perdana dalam Kerajaan ‘kongsi kuasa’, semenjak 1955 lagi wajar ‘tidak lupa daratan’. 15 Ahli Parlimen MCA hari ini yang memungkinkan mereka masih lagi diberikan empat jawatan Menteri Kabinet adalah bergantung besar kepada undi orang Melayu. Namun MCA yang rata rata gagal meyakinkan masyarakat Cina untuk menyokong mereka amat mudah dan bersahaja menyalahkan orang lain, terutama orang Melayu yang sentiasa membangkitkan semangat nasionalism sebagai bekal untuk terus menentukan kepentingan Melayu terus relevan dan konsisten sebagaimana semenjak cadangan penubuhan Malayan Union 65 tahun dahulu.

Pasca pilihanraya kecil P094 Hulu Selangor April lepas, Presiden MCA Chua Soi Lek menyalahkan PERKASA untuk undi masyarakat Cina yang lemah kepada BN. Namun, MCA sebenarnya gagal untuk meyakinkan masyarakat Cina kerana sokongan undi etnik Cina kepada BN sudah pun tiris semenjak PRU 12 8 Mac 2008 lagi, 15 bulan sebelum  PERKASA diujudkan secara formal.

UMNO pula sebagai tunggak kekuatan dan kepimpinan bagi himpunan 13 parti komponen  ‘kongsi kuasa’ wajar secara serious menyelami aspirasi rakyat terutama orang Melayu. UMNO lahir sebagai parti massa walaupun perjalanan 50 terawal parti diterajui golongan elitis dan bangsawan.

Bukti ada pemimpin ‘syok sendiri’

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
pengarang@utusan.com.my

IPOH 13 Sept. – Keputusan menjauhkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menunjukkan masih ada pemimpin UMNO yang ‘syok sendiri’ dan tidak memikirkan masa depan parti.

Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, tindakan tersebut juga seolah-olah memperlihatkan UMNO masih meletakkan garis pemisah antara orang Melayu yang mempunyai sentimen tinggi terhadap bangsa dan orang Melayu yang hanya pentingkan diri.

Sambil menyokong kenyataan dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Hamdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu berharap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak terus membuat kenyataan yang hanya akan menjauhkan orang Melayu daripada semangat asal penubuhan UMNO.

“Jangan letak garisan pemisah antara orang Melayu dalam UMNO dan dalam Perkasa. Jangan sebab nak jaga hati kaum lain, kita ketepikan golongan Melayu yang ada sentimen tinggi sayangkan bangsa sendiri.

“Beliau (Tengku Adnan) sepatutnya sedar bahawa orang Melayu di dalam Perkasa masih sayangkan UMNO. Hakikatnya, UMNO belum pulih sepenuhnya untuk mengasingkan diri daripada kelompok Melayu lain,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir berkata, keputusan UMNO menjauhkan diri daripada Perkasa boleh menyebabkan parti itu hilang sokongan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Kata bekas Perdana Menteri lagi, meskipun ia tidak membabitkan jumlah yang besar tetapi kesannya terhadap peluang Barisan Nasional (BN) dalam mempertahankan kemenangan tetap ada.

Tengku Adnan yang mempengerusikan mesyuarat BN sebelum ini berkata, UMNO tidak akan menyokong Perkasa atau Presidennya, Datuk Ibrahim Ali pada pilihan raya umum akan datang kerana tindakan itu berpotensi menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN.

Mengulas lanjut, Hamdi menegaskan, kewujudan Perkasa yang berjaya menarik penyokong di kalangan orang Melayu sepatutnya dijadikan iktibar oleh UMNO dalam memperkemaskan perjuangan agenda bangsa.

“UMNO merupakan sebuah parti Melayu, jika sebagai sebuah parti Melayu, UMNO tidak mendapat sokongan di kalangan orang Melayu sendiri adalah sukar untuk kita mempertahankan kerusi yang ada,” katanya.

****************

Kenyataan ini jelas menunjukan ramai pemimpin UMNO, termasuk peringkat tertinggi berlagak sebagai elitis dan bangsawan makin jauh dari aspirasi akar umbi dan perjuangan asas parti nasionalis massa itu. Kealpaan sebagai pemimpin yang gagal merealisasi kekuatan sokongan akar umbi memungkinkan mereka diangkat ke peringkat tertinggi ini akan mengecewakan orang Melayu.

UMNO akan menerima akibat yang sama pada PRU 13 yang dijangkakan akan menjelang dalam tempoh 18-24 bulan ini kerana orang Melayu akan merasa kecewa kepentingan mereka diabaikan dan kekecewaan ini akan ditranslasikan dalam undi, sebagaimana PRU 12. UMNO telah hilang penguasaan di 4 buat negeri dimana orang Melayu merupakan majoriti. Johor sebagai negeri ‘Simpanan Tetap’ UMNO dan BN sendiri menyaksikan 100,000 undi rosak kerana akar umbi UMNO sendiri meluahkan perasaan marah dan kekecewaan mereka kepada Kepimpinan PM ‘Flip-Flop’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bidalan Inggeris “Charity begins at home” (Kebajikan itu bermula dari rumah sendiri) ada relevan dalam konteks ini. Sekiranya UMNO gagal menjaga kepentingan dan perasaan orang Melayu, maka kemungkinan orang Melayu bangkit untuk ‘mengajar’ pemimpin UMNO tidaklah mustahil. Pemimpin UMNO perlu sedar bahawa orang Melayu sering membuat keputusan atas emosi.

Dalam konteks hari ini dimana UMNO lebih bersifat elitis dan makin terenggang dengan aspirasi massa dan akar umbi, PERKASA telah amat konsisten memperjuangankan golongan Melayu marhaen. UMNO untuk menjauhi PERKASA adalah percaturan politik yang amat tidak bijak.

Menjaga hati orang Melayu merupakan sama penting dengan asas perjuangan memartabatkan kepentingan orang Melayu, iaitu pedoman UMNO itu lahir pada 11 Mei 1946 sebagai parti massa nasionalis walaupun bawah pemimpinan elitis seperti Dato Onn Jaafar dan cendikiawan seperti Pendita Za’aba.

Published in: on September 14, 2010 at 10:19  Comments (32)