Nazri Aziz wajar dipecat demi kepentingan UMNO dan Melayu

Nazri Aziz: Mengkhianati Bangsa Melayu dengan menyifatkan 'Perjuangan' sebagai "Bloody Racist"

Sudah sampai masa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mohd. Nazri Aziz dipecat dari Kabinet dan kedudukan beliau dalam Majlis Tertinggi UMNO digantung. Ini kerana beliau telah beberapa kali menunjukan sifat dan sikap Liberal dan membelakangkan kepentingan orang Melayu dan ini secara taktikal dan strategik adalah berhaluan songsang dengan Agenda Melayu, untuk menjaga kepentingan dan memartabatkan Bangsa Melayu.

Kali terakhir ialah ketetapan yang beliau ambil mempersoalkan Utusan Malaysia mengenai NGO Pro Melayu PERKASA. Beliau secara biadap mempersoalkan akhbar pro Perjuangan itu samada berhasrat terrsirat untuk mahukan Perdana Menteri keIV Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali menerajui Kepimpinan Negara.

Sidang Pengarang Mingguan Malaysia mengeluarkan artikel ini semalam:

Alahai Nazri…

Bisik-Bisik Mingguan

UTUSAN pernah dikritik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz sebelum ini. Awang melihatnya sebagai perkara biasa. Perbezaan pendapat bukan suatu masalah lalu Awang memilih untuk berdiam.

Namun Awang terpanggil menjawab tindakan terbaru Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan berhubung isu Perkasa.

Seperti biasa, melalui portal berita pro-pembangkang, Malaysian Insider, Nazri sampai ke tahap menuduh Utusan mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

‘‘Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka – Najib atau Dr. Mahathir?,’’ kata beliau dalam laporan bertajuk Nazri persoal agenda Utusan perlekeh dasar Najib.

Awang hanya senyum sambil geleng kepala. Tafsiran Nazri begitu liar dan hairan mengapa seorang menteri boleh berfikir sebegitu.

Untuk pengetahuan Nazri, ingin ditegaskan bahawa Awang dan Utusan adalah penyokong Perdana Menteri. Jika hilang jawatan di Utusan sekalipun, Awang tetap akan menyokong Najib. Tiada keraguan.

Maka tidak timbul sama sekali kononnya ada agenda untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Budak sekolah pun tahu hakikat itu.

Awang boleh faham mengapa Nazri melemparkan tuduhan itu kerana beliau sememangnya anti -Dr. Mahathir. Itulah yang menjadikan beliau tidak objektif. Awang bukan seperti Nazri yang sanggup biadap dengan negarawan yang banyak berjasa. Sebab itu, Awang tidak hairan mengapa akhbar Cina ghairah memperlekehkan Dr. Mahathir. Ini kerana ada pemimpin Melayu sendiri yang membuka laluan.

Kalau suatu hari nanti, Nazri bersara, insya Allah, Awang akan menghormati beliau sebagai seorang veteran dan tokoh berjasa, walaupun jasanya tidak sebesar negarawan-negarawan kita.

Nazri juga menghentam Presiden Perkasa, Ibrahim Ali seolah-olah Ibrahim musuh UMNO. Nazri lupa, ketika UMNO diserang bertubi-tubi terutama selepas PRU12 dan pemimpin UMNO difitnah habis-habisan, siapakah pemimpin NGO yang lantang mempertahankan UMNO jika bukan Ibrahim.

Beliau berada di banyak pelosok tanah air berceramah melawan kerakusan pembangkang bagi membela UMNO dan BN. Awang tidak ingat apa yang Nazri lakukan? Apakah beliau seberani Ibrahim dalam menghadapi pembangkang?

Dengar cerita daripada beberapa pemimpin UMNO, Nazri sudah banyak berlembut dengan pembangkang yang motifnya, mungkin beliau tidak mahu dijadikan sasaran kritikan atau mahu ambil jalan selamat. Menurut cerita lagi, kerana strateginya itu, kini Nazri disenangi oleh ramai pemimpin pembangkang. Kalau benar andaian itu, Awang juga boleh bertanya siapa sebenarnya ketua Nazri. Najib atau Anwar Ibrahim atau mungkin Kit Siang?

Mengenai Perkasa, Nazri harus menerima hakikat Perkasa hanyalah sebuah NGO. Orang Melayu tahu membezakan antara parti politik dan NGO.

Awang sesungguhnya tidak berminat berhujah panjang dengan Nazri. Beliau berjawatan menteri, lagi pandai dan bijaksana. Biarlah orang ramai dan pembaca yang menilai. Awang takut menjadi orang yang riak. Jika Awang dilihat silap perhitungan dan terlanjur kata, Awang sedia menerima apa sahaja hukuman. Tiada penyesalan.

*************

Secara automatik kenyataan ‘Tampar anak, sindir menantu’  ini adalah agenda untuk sengaja menghambarkan hubungan baik Presiden UMNO ke V itu dengan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Ini bukan kali pertama. Sebagai Menteri Kabinet, beliau menyifatkan Tun Dr. Mahathir sebagai “Rasis” apabila Negarawan Unggul itu mempertahankan Biro Tata Negara (BTN) Disember lepas apabila Nazri sebagai Menteri yang sepatutnya bertanggung jawab mempertahankan BTN sebagai salah satu agensi yang dibawah portfolio beliau sebaliknya disifatkan sebagai agen menabur semangat perkauman.

Siri serangan keatas PERKASA sebagai NGO yang memperjuangkan Agenda Melayu sebagaimana yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Artikel 152 dan 153 dan Dasar Ekonomi Baru, yang dilancarkan Perdana Menteri ke II Tun Abdul Razak Hussein pada Ogos 1971 sebagai plan affirmatif mengtransformasi dan menyusun semula majoriti masyarakat, sebagai penyelesaian atas jurang sosio-ekonomi yang ketara dan mengakibatkan rusuhan kaum berdarah pada 13 Mei 1969.

Ramai pihak mempercayai bahawa Nazri sebagai seorang pemimpin peringkat tertinggi juga diselubungi beberapa skandal yang masih belum terbongkar. Semasa beliau menjadi Menteri Pembangunan Usahawan (KPUN), nama beliau disebut sebut sebagai terlibat dalam mengeluarkan jumlah besar permit teksi dan kereta sewa kepada pihak pihak tertentu dan beliau dikatakan mempunyai kepentingan peribadi atas pengeluaran permit selektif ini.

Media alternatif juga memperbincangkan anak lelaki Nazri merupakan personaliti utama yang terlibat dalam pembunuhan pelajar Malaysia Universiti Sheffield Darren Kang di Seri Hartamas pada tahun 2004. Jika ini benar, maka sikap ‘samseng’ yang digambarkan sebagai anak seorang pemimpin peringkat tertinggi negara semestinya tidak membantu untuk memberikan keyakinan bahawa Nazri adalah salah orang yang sepatutnya berkedudukan strategik untuk membangunkan Bangsa Melayu.

Mungkin skandal skandal ini tidak menjadi isu kepada Nazri kerana beliau sebenarnya bukanlah seorang pejuang memartabatkan agenda menjaga kepentingan Bangsa Melayu. Sebaliknya, beliau merupakan seorang Melayu Liberal yang bertopengkan UMNO sebagai wadah untuk menonjolkan diri agar mendapat kedudukan strategik sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Menteri Kabinet.

Sikap beliau sebenarnya sebagai seorang Melayu Liberal terserlah apabila membelakangi tasasusila dan budaya seorang Melayu, yang semestinya dijaga sebagai seorang pemimpin. Kegagalan ini merupakan kehilangan kelayakan beliau duduk sebagai pemimpin Melayu yang diangkat atas platform Perjuangan Melayu berasaskan nasionalism.

Nazri juga sebagai Menteri Kabinet yang menjaga soal soal Parlimen juga beberapa kali cuai dalam tugasan dan hampir memberikan kesan ‘kos politik’ tahap bencana kepada Kerajaan Barisan Nasional. Kali terakhir ialah jawapan yang silap atas itu cadangan pemindahan Parlimen ke Putrajaya dan beliau sebagai Menteri sepatutnya bertanggung jawab penuh mengenai apa apa jawapan rasmi yang dikeluarkan untuk menjawab soalan Ahli Parlimen, termasuk dari Pembangkang.

Semasa sessi Dewan Rakyat mengenai Bajet 2010 hujung tahun lepas, Kerajaan Barisan Nasional hampir gagal meluluskan cadangan Bajet yang diusulkan PM Najib merangkap Menteri Kewangan kerana Ahli Parlimen gagal dimaklumkan mengenai pengundian itu. Ini adalah tanggung jawab Nazri untuk menentukan MP BN sentiasa dimaklumkan, terutama pembentangan dan hujah hujah tertentu dan paling penting apabila masa untuk undian.

Jelas PM Dato’ Seri Najib wajar mengambil tindakan dengan kadar segera agar Nazri dikeluarkan dari Kabinet dan kedudukan beliau sebagai ahli MT UMNO digantung. Peranan dan kemampuan Nazri untuk mengeruhkan lagi keadaan semestinya akan menyukarkan lagi agenda Perjuangan, terutama dalam keadaan dimana elemen anti Melayu makin lantang dan walaupun golongan minoriti Melayu Liberal sendiri mencabar kedudukan menjada kepentingan Agenda Melayu secara terbuka dan amat konsisten.

Apakah PM Dato’ Seri Najib mahu bertangguh sehingga Nazri keluar dari Kabinet dan UMNO, sebagaimana Zaid Ibrahim buat pada tahun 2008?

Jangan jadi ‘Dah terhantuk baru hendak tergadah’. Sekiranya Nazri bertindak laksana Zaid, maka Melayu Nasionalis kalah moral kepada golongan Melayu Liberal. Ini amat malang kepada Perjuangan.

Advertisements
Published in: on September 20, 2010 at 12:16  Comments (19)