Academia Melayu dianak tirikan di UM (Bhg 1)

Sejak kebelakangan ini isu tentang hak bumiputera atau orang Melayu sering diperbahaskan oleh pihak bukan bumiputera dan juga segelintir bumiputera mengenai isu biasiswa bagi pelajar yang mempunyai keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Di peringkat pengajian tinggi pula, iaitu di universiti, kita sibuk dengan sistem penarafan universiti antarabangsa. Kegilaan kita mengejar penarafan universiti menyebabkan banyak perkara yang telah dilaksanakan telah menjejaskan kepentingan dan survival bangsa Melayu itu sendiri. Paling penting ialah mengorbankan kuota nisbah 55:45 untuk kakitanagan akademik di Universiti Malaya.

Ini dapat dilihat dengan penekanan yang bersungguh-sungguh terhadap penerbitan dalam Jurnal ISI antarabangsa berimpak tinggi sehingga menjejaskan fakulti-fakulti beraliran sastera, terutamanya Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Akademi Pengajian Islam, Akademi Pengajian Melayu dan Pusat Kebudayaan yang rata-rata penerbitannya di dalam Bahasa Melayu. Sudah tentulah isu-isu mengenai orang Melayu dan Islam tidak akan mendapat tempat untuk diterbitkan di dalam jurnal-jurnal ISI antarabangsa yang berimpak tinggi.

Kerajaan sentiasa menyuarakan suapaya memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris tetapi apa yang dilakukan oleh pihak Universiti Malaya ialah meminggirkan Bahasa Melayu dan mengagungkan Bahasa Inggeris. Sekarang ini hampir semua kursus di universiti pada peringkat Ijazah Sarjana Muda diajar dalam Bahasa Inggeris. Ini bertujuan untuk menggalakkan pelajar asing untuk datang belajar di Malaysia.

Kita dapat lihat pada hari ini bahawa pelajar asing yang datang belajar ke Malaysia bukanlah dari negara-negara yang maju dan sebahagiannya tidak mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang. Apa yang turut menyedihkan, Universiti Malaya turut mengambil kakitangan akademik berbangsa asing yang tidak begitu menonjol kepakarannya demi untuk memenuhi criteria penarafan universiti antarabangsa. Ini menyebabkan ramai kakitangan akademik bumiputera berhijrah ke universiti lain.

Survival kakitangan akademik berbangsa Melayu di Universiti Malaya mula terhakis apabila polisi universiti yang begitu memberi tumpuan penuh kepada penerbitan di dalam jurnal antarabangsa ISI berimpak tinggi dan kriteria-kriteria lain untuk tujuan penarafan universiti telah menjejaskan pengambilan pensyarah Melayu terutamanya di Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Akademi Pengajian Melayu (APM), Akademi Pengajian Islam (API), Pusat Kebudayaan (PK), Pusat Sukan (PS), fakulti Ekonomi dan Pentadbiran (FEP), Fakulti Perakaunan dan Perniagaan (FPP) dan tidak terkecuali Fakulti Sains (FS), Fakulti Sains Komputer dan teknologi Maklumat (FSKTM), Fakulti Pergigian (FD), Fakulti Kejuruteraan (FK), dan Fakulti Alam Bina (FAB).

Isu-isu yang berkaitan dengan survival pensyarah Melayu untuk kenaikan pangkat dan menyambung perkhidmatan serta pelajar-pelajar Melayu:

  1. Mengikut garis panduan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kakitangan akademik di bawah skim SLAB (Skim Latihan Akademik Bumiputera) yang telah Berjaya mendapat ijazah doctor falsafah (PhD) perlu diletakkan kepada tahap DS51. Malangnya di Universiti Malaya mereka hanya diberikan Gred DS45 kerana halangan penerbitan Jurnal ISI berimpak tinggi. Ini secara terang-terangan menafikan garis panduan Kementerian Pengajian Tinggi. Apa yang menyedihkan, kebanyakan kakitangan akademik ini adalah berbangsa Melayu.
  2. Ramai kakitangan akadmeik berbangsa Melayu telah gagal dalam proses kenaikan pangkat dari Profesor Madya ke Profesor, pensyarah kanan ke Profesor Madya, dan pensyarah ke pensyarah kanan kerana tidak memenuhi syarat ISI.
  3. Pengesahan jawatan pensyarah juga perlu ada penerbitan di dalam jurnal ISI yang memakan masa yang lama untuk diterbitkan.
  4. Pihak Universiti Malaya telah memperkenalkan program “Bright Spark” untuk menambahkan bilangan pensyarah yang terbaik dengan memberikan biasiswa kepada pelajar yang mendaapt CGPA 3.7 ke atas. Program ini diperkenalkan satu tahun yang lalu dan kalau dilihat dari senarai konvokesyen Universiti Malaya 2009 kita dapati lebih ramai pelajar bukan bumiputera mengisi program Bright Spark. Maka nisbah pensyarah bumiputera dan bukan bumiputera akan menjadi tidak seimbang. Kita perlu melihat sejarah dalam tahun 1970an di mana kakitangan akademik terdiri dari bukan bumiputera adalah lebih ramai dari bumiputera. Untuk mengatasi masalah ini program Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) telah diwujudkan. Akhirnya dalam tahun 1990an Universiti Malaya telah Berjaya mengimbangi bilangan kakitangan akademik bumiputera dan bukan bumiputera. Kemudian pada tahun 2007, Universiti Malaya telah member ruangkepada bukan bumiputera dengan mewujudkan SLAI (Skim Latihan Akademik IPTA), dan sekarang pihak pengurusan universiti menambah pula program Bright Spark – yang terang lagi bersuluh member satu lagi pintu kepada golongan bukan bumiputera. Yang menariknya, mereka tidak meminta tetapi pengurusan universiti yang memberi. Dimanakah kesudahannya? Sial ambil perhatian bahawa biasiswa Bright Spark juga diberi kepada warga asing, yang mana mereka ini tidak akan berkhidmat di Universiti Malaya setelah menamatkan pengajian. Oleh yang demikian penganugerahan biasiswa kepada warga asing ini tidak memanfaatkan Universiti Malaya dan negara untuk jangka masa yang panjang.
Published in: on August 14, 2011 at 17:17  Comments (18)