Jangan babitkan Wanita UMNO

Kemelut yang melanda dari skandal National Feedlot Corporation yang mendapat perhatian umum Malaysia semenjak tiga bulan ini makin kompleks dan rumit. Ini kerana pihak yang tidak kena mengena diheret secara tidak langsung dalam mempertahankan skandal yang aktif sedang dalam siasatan ini.

NFC merupakan milik keluarga terdekat Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita Dato’ Seri Sharizat A Jalil dan diberikan konsessi untuk membangunkan projek penternakan lembu dan fidlot bagi ternakan tersebut, semenjak 2008. Ianya dilaporkan tidak mencapai tahap yang dikehendaki, terutama sejumlah wang telah disalurkan dari pinjaman oleh Kerajaan Persekutuan dengan kadar kos yang amat rendah. Apabila skandal yang dibongkarkan oleh PKR berasaskan sebahagian laporan Ketua Audit Negara, ianya begitu pantas mendapat perhatian.

Kegagalan Pengerusi Eksekutif NFC Dato’ Dr Mohd Salleh “Salleh Budu” Ismail menangani persoalan dan persepsi negatif ditimbulkan dalam kadar yang segara mengakibatkan ianya menjadi makin berpanjangan dan rumit. Namun begitu, ianya menjadi parah apabila Sharizat sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia menggunakan platform Wanita UMNO sebagai ‘Bala Tentera’ untuk mempertahankan maruah beliau sebagai Menteri, walaupun isu ini ialah masalah peribadi.

Keadaan makin kronik apabila Polis melengkapan siasatan dan pihak SPRM juga terlibat dalam siasatan berasingan. Dikatakan siasatan siasatan ini telah sampai ke pihak Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

Kes ini tidak menjadi isu yang menjadi minat untuk dibela walaupun oleh anggota Kabinet sendiri. Malah Perdana Menteri sendiri tidak begitu serious untuk mempertahankannya secara terbuka dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan kerja. Dalam pada itu, skandal ini sudahpun menunjukan kesan. Kredibiliti Kerajaan Pusat dikatakan telah amat terjejas kerana skandal ini, sehingganya ianya menjadi liabiliti No. 1 BN seluruh negara.

Namun begitu, Wanita UMNO masih dikerah untuk ‘mempertahankan’ Sharizat dengan memberikan sokongan moral sekembali beliau dari ‘percutian tiga minggu’. Pada 15 Jan Sharizat mengumumkan beliau akan ‘bercuti’ agar membolehkan ruang untuk siasatan diperlengkapkan, walaupun asset NFC dibekukan sementara manakala operasi biasa NFC diteruskan untuk menentukan aktiviti penternakan sebagaimana dirancang terus lancar.

Terbaru ialah sebaran SMS ini:

“Aslm YB/YBhg Ketua Wanita Neg2, jmptn ke Mjls Smbtn Kepulangan DS Shahrizat Abd Jalil pd 2/2 (Khamis) jam 6 ptg di KLIA dan diikuti dgn solat Maghrib dan Hajat di Masjid KLIA, Sepang, Sngor. Sila pnjgkn jmptn kpd Ketua & Naib Ketua Wanita Bhgn2 & mohon k’jasama utk m’bawa telekung sdr. Kehdrn dihargai. Tq – SUK PWUM”

Sekiranya Wanita UMNO terus diheret dalam permasalahan peribadi Sharizat ini, maka lambat laun pergerakan paling penting UMNO itu juga akan menghadapi masalah kredibiliti juga. UMNO tidak mampu untuk ‘kehilangan’ Pergerakan Wanita UMNO.

Sharizat wajar berundur dari Kabinet segera, walaupun setakat ini tiada dakwaan dibuat keatas mana warga NFC. Beliau perlu mengambil masa dan ruang secara peribadi untuk ‘membersihkan nama’, walaupun proses ini mengjangkaui PRU 13 yang disebut sebut akan menjelang tidak lama lagi. Sekiranya Sharizat dan keluarga benar benar dianiaya, maka pihak yang benar akan akhirnya menyerlah.

*Dikemas kini pada 1800hrs

Published in: on January 30, 2012 at 15:30  Comments (7)