Siapa Pengerusi KPF pada 22 Februari?

Mesyuarat Agung Perwakilan Khas (EGM) Koperasi Permodalan FELDA (KPF) akan berlansung pada 22 Februari 2012 ini di Kuala Lumpur. Antara agenda mesyuarat ialah meluluskan cadangan pra-penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings (FGVH), yang dijangkakan akan disenaraikan di Bursa Malaysia Mei ini. Sebahagian dari habuan kepada 112,635 orang peneroka FELDA ialah ‘Durian Runtuh’, sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam ucapan Bajet 2012 7 Oktober 2011.

‘Durian Runtuh’ yang dijanjikan ini difahamkan akan dalam bentuk sumbangan wang tunai dan sebahagian lagi ialah pegangan langsung individu peneroka FELDA dalam FGVH. Sekiranya ianya wang tunai, maka ianya ‘hadiah’ sekali seumur hidup. Mingguan Malaysia hari ini menerbitkan rencana khas mengenai ‘Durian Runtuh’ yang lebih strategik bagi masyarakat peneroka FELDA, iaitu pegangan KPF dalam FGVH.

‘Langkah menuju durian runtuh…’

Oleh Amir Firdaus Khan
pengarang@utusan.com.my
ANAK tangga pertama penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) sekaligus “durian runtuh” yang amat dinantikan peneroka bakal dilalui, Rabu ini.
Sebelum warga Felda dapat menikmati ganjaran ‘durian runtuh’ paling istimewa ini – sekali imbas – 1,200 perwakilan ke mesyuarat tahunan khas (EGM) Koperasi Permodalan Felda, Khamis ini harus meluluskan penjualan 51 peratus ekuiti koperasi dalam FELDA Holdings Berhad (FHB) kepada FGVH.

Saya sebutkan “sekali imbas” kerana bagi memahami proses ini, hakikat sebenar harus dikupas terlebih dahulu.

Asas utama ialah faktor hakmilik. Koperasi Felda yang menjadi koperasi terbesar dalam negara kita, dengan perolehan RM15 bilion dan dividen 15 peratus setahun kepada ahli yang 80 peratus daripadanya adalah warga Felda, tidak menguasai syarikat yang akan disenaraikan – FGVH.

Ini berbeza dengan kedudukan Koperasi Felda di dalam Felda Holdings di mana ia menentukan pelantikan pengurusan dan lembaga pengarah anak syarikat Felda Holdings, ganjaran, serta pemberian kontrak.

Benar, pegangan 51 peratus Koperasi Felda dalam Felda Holdings akan diganti dengan ekuiti sama dalam FGVH. Namun, seperti penstrukturan korporat lain selepas proses Terbitan Saham Awal (IPO), saham Koperasi Felda dalam FGVH dijangka menguncup kepada 37 peratus.

IPO bermaksud adanya peratusan yang diapungkan serta tidak dimiliki pelabur yang menguasai syarikat.

Persoalan hakmilik syarikat gergasi seperti Felda Holdings, apatah lagi FGVH yang jauh lebih berpotensi dan milikan aset lebih besar, ketara ia isu yang emotif.

Bagi Kerajaan pula, pertimbangan paling utama pastinya kepentingan peneroka Felda – bagi memastikan warga Felda mencapai tahap lebih tinggi dalam perjalanan Felda yang bermula di Lurah Bilut, 54 tahun lalu.

Jika dilihat pada struktur syarikat FGVH, ia gergasi global yang mempunyai aset serta keupayaan luar biasa dalam membawa perubahan sekali gus membuat keputusan perniagaan.

Selenggara

Penanaman semula contohnya, bakal di selenggarakan dengan lebih meluas dan pantas, sekaligus berupaya menambah dana dan aset syarikat.

Tidak seperti Felda Holdings, FGVH dapat meraih hak komersial tanah perladangan milik Kerajaan seluas 350,000 hektar selepas termeterainya perjanjian pajak dengan Kerajaan. Juga entiti yang bakal disenaraikan mempunyai hasil minyak sawit mentah (CPO) berjumlah 3.2 juta metrik tan setahun.

FGVH turut menguasai aset dan perniagaan lain, termasuk pegangan terbesar dalam syarikat gula MSM yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Setakat ini, FGVH memiliki 49 peratus ekuiti di dalam Felda Holdings yang terbabit dalam pelbagai aktiviti antaranya pemprosesan minyak sawit, aktiviti hiliran dan logistik minyak sawit serta getah, koko, IT serta perkhidmatan keselamatan.

Entiti yang akan disenaraikan kelak, yakni FGVH menawarkan untuk membeli 51 peratus pegangan dalam Felda Holdings daripada Koperasi Felda. Inilah keputusan yang akan harus dilakukan oleh perwakilan ke EGM Khamis ini.

Jawapan “ya” membolehkan penstrukturan semula serta kemungkinan pelupusan aset tidak-kekal tegar Felda Holdings.

Apa pula nasib peneroka sekiranya jawapan yang diberi ialah “tidak.’?

Apakah Kerajaan akan meneruskan rancangan penyenaraian FGVH sekiranya perwakilan ke EGM Koperasi Felda menolak penjualan saham dalam Felda Holdings kepada FGVH?

Tidak menghairankan – berdasarkan fakta yang ada – Kerajaan tetap dengan keputusannya menyenaraikan FGVH walaupun tanpa penyertaan Koperasi Felda.

Kekurangan 51 peratus ekuiti Felda Holdings sememangnya bermakna penguasaan saham FGVH lebih rendah, namun ia masih mempunyai kelebihan aset seperti tanah perladangan 350,000 hektar serta hasil minyak sawit mentah. Ini tetap menjadikan FGVH antara 10 syarikat gergasi di Bursa Malaysia.

Berdasarkan komitmen Kerajaan dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada peneroka, perolehan penyenaraian FGVH tetap akan disalurkan kembali kepada peneroka – sama ada Koperasi Felda menyertai proses ini ataupun tidak. Perolehan RM3 ke RM4 bilion ini boleh diuruskan menerusi badan Yayasan ataupun amanah saham.

Difahamkan, walaupun FGVH tidak menguasai Felda Holdings, entiti yang bakal disenaraikan ini masih berkebolehan menguasai perniagaan dan syarikat Felda Holdings melalui urusan korporat serta pemberian kontrak tidak langsung.

Peneroka tidak akan rugi sekalipun Koperasi Felda enggan bersama proses penyenaraian. Lain pula halnya dengan keupayaan Koperasi Felda mengekalkan dividen dan bonus tahunan pada tahap 15 peratus kepada ahli, memandangkan Felda Holdings adalah penyumbang terbesar pemberian dividen Koperasi Felda – sekitar 50 peratus dengan perwakilan 20 peratus Felda Holdings daripada pelaburan Koperasi Felda.

Aset Felda Holdings bakal disalurkan ke FGVH, menyebabkan Felda Holdings tidak lagi mampu mengekalkan kadar pemberian dividen kepada Koperasi.

Ini akan memaksa Koperasi bergantung kepada aset lain sekali gus bertindak meningkatkan pelaburan.

Tiada kepastian bahawa Koperasi Felda berkebolehan mengekalkan prestasi kewangan sekarang pada era pasca-penyenaraian, sekiranya perwakilan memilih tidak bersama FGVH.

Hakikatnya, jika dibandingkan pegangan 37 peratus yang akan berkembang dengan pemilikan sentimental yang menguncup, pilihan yang ada pada perwakilan tentu sekali sangat jelas

Janganlah tersilap langkah, kerana bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, tersilap keputusan, buruk kesannya.

Fikirkanlah kegemilangan Felda dan masa depan warga dan generasi akan datang.

*******************

Pelbagai isu akan dibangkitkan dalam EGM KPF ini. Setakat ini, pelbagai ‘halangan’ yang diracun oleh ‘musuh dalam selimut’ telah dibuat untuk mengagalkan penyenaraian FGVH. Ini termasuk mesyuarat Lembaga Pengarah KPF pada 28 Oktober 2011 dan mengugurkan keahlian Pengerusi Lembaga FELDA Tan Sri Isa Samad, Pengarah Urusan FELDA Global Ventures (FGV) Dato’ Sabri Ahmad, Mantan Pengerusi Lembaga FELDA Tan Sri Dr Yusof Nor dan Mantan Pengarah Urusan FGV Dato’ Seri Mohd. Bakke Salleh.

Ahli Lembaga Pengarah BOD KPF juga meneruskan penentangan dari pelbagai sudut, sehingga menjadi ‘duri dalam daging’.

Setakat ini, KPF juga telah melantik konsultan untuk memberikan ‘nasihat’ mengenai cadangan penyenaraian FGVH, termasuk kedudukan KPF yang dicadangkan oleh Perdana Menteri sebagai pemegang saham terbesar pasca penyenaraian.

Persoalan sekarang ini yang bermain dalam minda ramai pemerhati ialah siapa yang akan mempengerusikan EGM KPF pada Rabu 22 Feb ini.

Ini kerana setelah penguguran Isa dan tiga orang lain dalam mesyuarat BOD KPF pada 28 Oktober itu, beliau secara automatiknya tidak menjadi Pengerusi KPF. Walaupun pengguguran itu bertentangan dengan prosedur dan setelah berlangsung tribunal khas oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan keputusan telah membatalkan pengguguran tersebut, namun perlantikan Tan Sri Isa sebagai Pengerusi KPF masih belum jelas.

Walaupun semua syarat dan prosedur telah dipenuhi dan SKM mahu mengembalikan kedudukan sediakala (status quo), namun difahamkan setakat Jumaat 17 Feb pihak KPF masih lagi memberikan alasan “Mahukan peguam KPF meneliti semua dokumen mengenai perlantikan ini”. Ini jelas bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri melalui Setiusaha Sulit Kanan PM kepada Lembaga FELDA dalam surat bertarikh 25 Ogos 2011. Untuk rekod, Perdana Menteri telah melantik Isa kejawatan Pengerusi Lembaga FELDA dan Pengerusi FGV.

Ingin dinyatakan disini bahawa piagam KPF telah mensyaratkan bahawa perlantikan Pengerusi, Setiusaha dan Bendahari KPF diputuskan oleh Lembaga FELDA dan bukan Perwakilan.

Sekiranya 1,200 Perwakilan yang terdiri dari 900 peneroka FELDA (mewakili 112,635 peneroka FELDA) dan 300 kakitangan Lembaga FELDA dan KPF (mewakili 5,000 warga kerja FELDA) membuat keputusan diluar perencanaan Perdana Menteri, maka ianya mungkin akan dilihat sebagai tidak ‘menuriti arus’. Maka kemungkinan besar keputusan akhir mengenai penyenaraian FGVH akan berubah dan tidak lagi memihak kepada peneroka FELDA melalui KPF.

Amat malang sekiranya keputusan EGM KPF merupakan jalan yang sebenarnya secara tersembunyi memihak kepada segelintir mereka yang berkepentingan peribadi dan mengorbankan kepentingan strategik majoriti warga peneroka FELDA.

Published in: on February 19, 2012 at 22:01  Comments (1)  

The URI to TrackBack this entry is: https://bigdogdotcom.wordpress.com/2012/02/19/siapa-pengerusi-kpf-pada-22-februari/trackback/

RSS feed for comments on this post.

One CommentLeave a comment

  1. Saya tidak faham bagaimanan sebenarnya orang orang FELDA yang boleh mendapat durian runtuh boleh buat sesuatu yang menyebabkan dahan dahan durian patah.

    Saya sedar ada mereka yang sembur racun lalang di bawah pokok atau berhampiran tapi di tiup angin sampai ke pokok durian itu. Maka gugurlah daun, rosaklah pokok durian itu. Saya fikir parti parti Pembangkang lah yang buat begitu.

    Saya ingin tahu berapa kuat dan gigih parti Pemerintah di cawangan cawangan dan Bahagian di kawasan kawasan FELDA berkenaan cuba memberi penerangan dan meyaakinkan mereka yang ragu atau termakan dakyah Pembangkang sehingga tidak mahu durian runtuh itu.

    Saya tidak mempunyai pengtahuan berkenaan politk di antara orang orang FELDA, hanya berharap parti Pemerintah dapat memuaskan hati mereka berkenaan baiknya penyenaraian FGVH itu untuk mereka.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: