Penyenaraian FGVH: Bila terhantuk, baru nak tergadah

Sidang media petang Rabu 22 Februari 2012 oleh Pengerusi Lembaga FELDA Tan Sri Isa Samad, merangkap Pengerusi FELDA Global Ventures (FGV) mengenai penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) akan diteruskan walaupun terdapat beberapa halangan oleh Koperasi Permodalan FELDA (KPF). Sebuah entiti baru (SPV) akan digunakan bagi menjamin kepentingan 112,635 peneroka FELDA dalam gerak-kerja korporat yang gergasi ini.

Oleh kerana terdapat anasir anasir dikalangan Lembaga Pengarah (BOD) dan Pengurusan KPF yang menimbulkan pelbagai halangan dan kesulitan untuk Perwakilan KPF meluluskan cadangan bagi FELDA Holdings Bhd (FHB) disuntik kedalam FGVH bagi mendapatkan pegangan 35% dari modal berbayar syarikat konglomerat gergasi baru itu, maka rancangan gerak-kerja yang telahpun mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti ini telah diketepikan.

Secara amnya, ramai percaya Kerajaan Persekutuan telah mengkaji secara menyeluruh dan mendalam hasrat dan cadangan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak untuk menyenaraikan FGVH di Bursa Malaysia dan memberikan KPF sebagai pemegang saham terbesar dan kesan strategik kepada masyarakat peneroka FELDA. Ianya adalah cara bagaimana hasil berupa nilai-tambah dari perniagaan yang dijana dari aktiviti perladangan FELDA dapat disalurkan kepada 112,635 peneroka FELDA dan 108,000 warga-kerja dan keluarga FELDA, melalui KPF.

Komen Negarawan Industri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai usaha Dato’ Sri Najib memartabatkan sosio ekonomi warga FELDA, melalui penyenaraian FGVH:

Tidak senaraikan FGVH jika benar rugikan peneroka Felda

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya meluluskan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGVH) seandainya nasib peneroka Felda tidak terjamin.

Tun Dr. Mahathir Mohamed berkata, sudah tentu kerajaan sudah memastikan rizab pemilikan kepada peneroka tidak terjejas, sebaliknya penyenaraian itu bakal memberi jaminan dan mengambil kira kepentingan peneroka.

Katanya, penyenaraian syarikat itu bertujuan meluaskan perniagaan dalam skala lebih besar dan ia memerlukan modal yang cukup banyak.

”Kalau hendak mengharapkan Felda sudah tentu tidak mampu, sebab itulah disenaraikan.

”Kalau ia sudah disenaraikan, tidak semestinya kepentingan mereka tidak terjamin, sudah tentu perkara itu diambil kira kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Sokongan Luar Pesisir (OSV Malaysia) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai proses penyenaraian FGVH yang mendapat tentangan hebat.

Kemuncak tentangan itu apabila Koperasi Permodalan Felda (KPF) menerima injuksi mahkamah bagi menghalang koperasi tersebut membuat keputusan berhubung penyenaraian FGVH, semalam.

Tambahnya, dengan penyenaraian FGVH, syarikat itu berupaya meluaskan operasinya, sekali gus ia memberi manfaat dan faedah berterusan kepada para peneroka Felda.

”Penyenaraian ini bertujuan memastikan para peneroka Felda mendapat ganjaran wang dan dividen yang sama pada setiap tahun,” tambahnya.

***********************

Cadangan asal penyenaraian FGVH ini akan melibatkan 350,000 ha tanah milik FELDA Plantations digabungkan dengan syarikat syarikat dibawah FGV dan FHB. Dijangkakan modal berbayar pada nilai par FGVH ialah RM 6 billion dan dijangkakan akan melonjak kepada RM 20-21 billion dalam jangkamasa terdekat pasca penyenaraian. Keuntungan sebelum cukai dan kepentingan minoriti dianggarkan berjumlah RM 1.8-2 billion.

Kepentingan 112,635 orang peneroka FELDA dijamin melalui 35% pegangan KPF dalam FGVH, tanpa tanah tanah peneroka diambil bagi tujuan penyenaraian tersebut.

Jumaat 17 Februari lepas, lapan orang ahli KPF telah memohon dari Mahkamah Tinggi Kuantan untuk injuksi sementara bagi menghalang Mesyuarat Khas Perwakilan (EGM) EPF yang dijadualkan pada 22 Februari. Dalam mesyuarat khas BOD KPF pada pagi 21 Feb, mereka telah mengeluarkan notis pembatalan EGM tersebut, tanpa mengarahkan peguam mewakili KPF benar benar cuba untuk menghujahkan kenapa injuksi interim itu perlu diketepikan, demi kepentingan majoriti ahli KPF.

Pada 5 Januari, injuksi menghalang EGM untuk KPF meluluskan cadangan penyenaraian FGVH juga telah dikeluarkan. Nampaknya, beberapa personaliti utama KPF bersekongkol dengan Pembangkang seperti Presiden ANAK Mazlan Aliman, merangkap AJK Pusat PAS, dalam usaha mengelirukan dan memberikan dakyah untuk mengagalkan penyenaraian FGVH.

Setelah program penyenaraian FGVH melibatkan KPF gagal dan Kerajaan Persekutuan masih lagi meneruskan program penyenaraian FGVH, melalui entiti lain, barulah majoriti Perwakilan KPF sedar bertapa ruginya mereka. Ini termasuk kenyataan yang dibuat Pembangkang seperti PAS dan PKR, walaupun selama ini mereka merupakan dalang utama menghasut masyarakat peneroka menolak cadangan ini.

PENYENARAIAN FELDA & CADANGAN BALAS – PEMUDA PAS

Khamis, 23 Februari 2012 18:34 hadi 0 Comments

Pertanian Adalah Ibadah

1. Usaha mencari rezeki dan memakmurkan tanah sebagai sumber pendapatan yang halal adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam dan dikira sebagai salah satu daripada cabang ibadah. Di dalam lipatan sejarah Islam, banyak riwayat yang mencatitkan penglibatan nabi-nabi terdahulu di dalam aktiviti-aktiviti pertanian dan penternakan di samping melaksanakan tugasan utama mereka iaitu menyampaikan risalah dakwah kepada manusia agar mentauhidkan diri kepada Allah s.w.t.

2. Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. dikenali sebagai penggembala kambing yang paling dipercayai ketika di usia remaja, Nabi turut menggalakkan aktiviti pertanian dijalankan oleh para sahabat sebagai sumber pendapatan utama. Setelah Nabi Muhammad s.a.w. tiba di Madinah, Baginda telah menganjurkan agar usaha pertanian dipertingkatkan di bumi Madinah yang pada ketika itu sememangnya sebuah lembah wadi yang subur. Malah kaum Muhajirin yang berhijrah bersama Baginda diaturkan supaya bekerjasama dengan kaum Ansar iaitu penduduk asal Madinah di dalam usaha-usaha pertanian.

“Dari Jabir r.a. berkata: Kami biasa menyewa tanah dengan mendapatkan sebagai dari hasil (mukhabarah), kemudian kami mendapat hasil tanah itu begini dan begini. Maka sabda Rasulullah s.a.w:”Barangsiapa memiliki tanah, maka tanamilah sendiri atau suruhlah saudaranya untuk menanaminya, kalau tidak, tinggalkanlah.” (Riwayat Ahmad dan Muslim)

3. Dalam konteks di Malaysia, inisiatif yang diambil oleh Almarhum Tun Abdul Razak dalam memperkenalkan skim tanah rancangan FELDA yang bertujuan memberi pemilikan tanah kepada rakyat sebagai sumber aktiviti ekonomi yang mampan amatlah dihargai. Dasar yang penuh berwawasan ini adalah amat signifikan dalam menjayakan agenda peningkatan tahap sosia-ekonomi rakyat di luar bandar, khususnya kepada golongan belia dan yang kurang berkemampuan.

4. Namun, tujuan asal penubuhan FELDA ini sedikit sebanyak mula terhakis dek peredaran zaman dan campurtangan politik yang menjejaskan hak dan masa depan peneroka dan generasi seterusnya.

Polemik Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH)

5. Pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia (Pemuda PAS) menyambut baik perintah injunksi interim oleh Mahkamah Tinggi Kuantan dan notis pembatalan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF yang dijadualkan berlangsung pada 22 Februari 2012, serta mengucapkan sekalung tahniah kepada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang gigih menyedarkan rakyat dan peneroka akan kesan buruk natijah cadangan penyenaraian ini.

6. Pemuda PAS berpendapat cadangan penyenaraian FGVH ini perlu ditolak atas empat premis berikut:

i. Hak tanah – Penyerahan hak tanah peneroka kepada FGVH adalah bertentangan dengan tujuan asal penubuhan FELDA dan merugikan peneroka dalam jangka masa panjang;

ii. Peneroka membuat keputusan tanpa nasihat kewangan – Tatkala penganalisis dan pengurus dana pelaburan masih menunggu butiran cadangan penyenaraian, adalah tidak munasabah untuk perwakilan KPF untuk membuat keputusan menyokong atau membantah cadangan ini, tanpa nasihat kewangan yang menyeluruh berkenaan impak untung-rugi, seterusnya memberi mandat kepada Lembaga Pengarah untuk merunding dan memutuskan terma penyenaraian. Setiap ahli dan perwakilan KPF berhak mendapat nasihat dan butiran terperinci sebelum membuat keputusan pelaburan yang bernilai berbilion ringgit ini;

iii. Imbuhan ‘durian runtuh’ – Laba keuntungan jangka pendek kepada peneroka yang masih belum pasti nilainya, malah tidak setimpal dengan risiko yang diambil oleh peneroka yang menggadaikan pemilikan tanah masing-masing;
iv. Tiada keperluan ekonomi untuk penyenaraian – Lazimnya, sesebuah entiti perniagaan akan disenaraikan sebagai langkah menambah modal untuk menampung keperluan perniagaan yang lebih besar. Dalam keadaan Felda Holdings dan KPF yang mencatatkan keuntungan hasil daripada perniagaan perladangan, adalah tidak ekonomikal untuk mereka dipaksa menampung risiko dan kerugian yang ditanggung oleh FGVH.

7. Pemuda PAS mengulangi komitmen untuk berganding-bahu dengan semua pihak khususnya ANAK serta rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan NGO-NGO untuk menggerakkan program penerangan dan kesedaran melalui penganjuran aktiviti santai bersama generasi belia FELDA yang telah dan akan kami laksanakan di peringkat Pemuda PAS Kawasan, antaranya siri jelajah Jom Ubah dan program ‘Orang Muda Geng Kita’.

8. Di samping program-program turun padang, Pemuda PAS berpendapat sudah tiba masanya pihak-pihak yang prihatin ini duduk semeja untuk mencari formula terbaik bagi membantah cadangan penyenaraian FGVH dengan mengemukakan cadangan balas (counter-offer) untuk dikemukakan kepada golongan peneroka sebagai pilihan untuk menolak cadangan yang dikemukakan oleh pihak kerajaan.

9. Pemuda PAS dengan berbesar hati tampil dengan enam gagasan berikut sebagai kerangka awal perbincangan ‘Cadangan Balas Pakatan Rakyat Terhadap Cadangan Penyenaraian FGVH’:

i. Penstrukturan korporat – Kekalkan status 51% sedia ada (status-quo) KPF yang menjamin hak peneroka sebagai pemilik mutlak terhadap tanah, operasi, dan keuntungan FELDA;

ii. Penstrukturan model perniagaan – Melupuskan perniagaan-perniagaan bukan teras (divestment of non-core business) yang mengalami kerugian atau menyumbangkan keuntungan yang kecil berbanding kos pengurusan yang tinggi. Ini sebagaimana yang telah diambil oleh Sime Darby dan Khazanah Nasional sebagai langkah mengoptimakan agihan modal (capital allocation) dan memaksimakan keuntungan (profit maximization) kepada pemegang saham. FELDA boleh mengambil model strategi perniagaan “more upstream, profitable downstream” (peningkatan hasil di huluan, peningkatan keuntungan di hiliran) dan langkah ini diunjurkan mampu meningkatkan 15% keuntungan dalam tempoh tiga tahun;

iii. Partisipasi peneroka dalam aktiviti ekonomi FELDA – Keutamaan diberi kepada pihak koperasi dan anak peneroka dalam aspek peluang pekerjaan dan pemberian kontrak seperti perbekalan baja, kerja tanaman semula, perbekalan pekerja, penyelenggaraan ladang peneroka, projek landskap, penyelenggaraan aset, penternakan haiwan, tanaman kontan dan seumpamanya. Selain mampu menjana pendapatan sampingan kepada peneroka, diunjurkan hampir 300 peluang pekerjaan mampu dihasilkan di setiap 300 gugusan rancangan FELDA yang membawa kepada angka 90,000 peluang pekerjaan kepada golongan belia seluruhnya;

iv. Sistem pewarisan – Menggantikan sistem penama pewaris yang digunapakai sekarang kepada sistem pewarisan Islam seperti wasiat, faraidh, dan waqaf. Agensi Amanah Raya boleh dilantik untuk memberi khidmat nasihat kepada pihak FELDA dan peneroka bagi memastikan 100% pemilikan tanah peneroka tidak terlepas tangan kepada pihak tidak bertanggungjawab;

v. Etika urus tadbir dan professionalisma – Amalan tender terbuka dan penglibatan wakil peneroka di dalam jawatankuasa tender, sistem gred perahan minyak (OER) yang telus, pembudayaan etika urus tadbir dan amanah yang tinggi di peringkat pembuat keputusan dan pengurusan, memperkenalkan skim penjawatan dan gaji yang lebih kompetitif, serta mengurangkan campurtangan politik di dalam pengurusan FELDA. Keuntungan FELDA sedia ada diunjurkan mampu meningkat 25% dalam tempoh 5 tahun jika diurus tadbir dengan penuh amanah (governance);

vi. Amalan operasi lestari (sustainability) – Mengemaskini manual kerja di ladang kelapa sawit mengikut piawaian antarabangsa RSPO dan amalan terbaik yang digunapakai oleh pemain industri perladangan yang lain seperti Sime Darby, IOI dan KLK.

10. Sekali lagi kami Pemuda PAS tegaskan, jangan dikhianati tujuan asal penubuhan FELDA dan bersamalah kita membela hak peneroka FELDA.
Penulis :
1 ) Nasrudin Hassan adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia. Beliau sendiri merupakan seorang anak peneroka yang membesar di rancangan FELDA Keratong, Pahang.

***************

Pembangkang terutama PAS begitu aktif, konsisten dan sistematik dengan dakyah dan pembohongan atas apa sahaja mengenai FELDA. Ini termasuk kenyataan mengenai ‘FELDA Bankrap’. Lidah rasmi PKR Suara KeAdilan telah pun disaman kerana pembohongan ini.

Ini semua adalah sebahagian dari strategi ‘Politik Kebencian’ Pembangkang untuk menghilamgkan keyakinan, menimbulkan kemarahan dan rasa benci rakyat. Serangan khusus ditumpukan kepada masayarakat FELDA kerana ianya merangkumi 1.6 juta orang yang majoritinya Melayu didalam 54 kawasan Parlimen. Ini adalah sebahagian dari ‘Simpanan Tetap’ BN.

Ini ialah kenyataan PKR mengenai keputusan penyenaraian FGVH tanpa melibatkan KPF:

PKR: Tindakan ketepikan KPF mengorbankan kepentingan peneroka

Oleh Mohd Farhan Darwis
February 23, 2012

Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli. — Gambar fail

PETALING JAYA, 23 Feb — PKR menegaskan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk mengetepikan penyertaan Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada proses penyenaraian Felda Global Venture Berhad (FGVH) akan mengorbankan kepentingan kakitangan dan peneroka Felda seluruh negara.Pengarah Strategik parti komponen Pakatan Rakyat itu, Rafizi Ramli berkata hari ini cadangan Pengerusi KPF, Tan Sri Isa Samad untuk menubuhkan sebuah syarikat khas (SPV) bagi menggantikan KPF bagi tujuan penyenaraian akan mengambil alih fungsi KPF secara perlahan-lahan dan tindakan itu jelasnya, bertentangan dengan undang-undang dan mengkhianati peneroka serta kakitangan Felda.

“Kerajaan BN memerlukan persetujuan KPF yang menguasai 51 peratus pegangan sahan Felda Holdings Berhad untuk memindahkan keseluruhan pegangan kepada FGVH.

“Jika penyenaraian itu dilakukan tanpa penglibatan Felda Holding, nilai penyenaraian akan menjadi jauh lebih rendah iaitu sekitar RM3 bilion sahaja, bukannya RM21 bilion seperti dicanangkan kerajaan. Ini bermakna, keuntungan penyenaraian akan jauh berkurang dan dividen yang akan diperoleh peneroka adalah jauh lebih rendah.

“Oleh itu, PKR melihat, durian runtuh yang dijanjikan kepada peneroka yang dianggarkan bernilai RM20,000 itu satu penipuan,” tegasnya.

Tambah Rafizi, pihaknya juga akan meminta kerjasama daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi menyiasat dan memastikan tidak berlaku sebarang suntikan aset Felda Holdings yang mencurigakan daripada SPV yang dicadangkan Isa Samad.

“Felda Holdings adalah penyumbang terbesar keuntungan kumpulan Felda, bukan FGVH. Rancangan jahat BN adalah untuk memindahkan syarikat dan aktiviti perladangan Felda Holdings yang dimiliki peneroka dan kakitangan Felda kepada FGVH yang dimiliki kerajaan.

Melalui cara ini, jelas Rafizi, kuasa dan suara peneroka akan berkurang, lebih-lebih lagi apabila kerajaan menjemput pelabur lain untuk membeli saham FGVH.

“Anggaran PKR menunjukkan pegangan peneroka dan kakitangan Felda dalam aktiviti Felda Holdings akan berkurang kepada 42.7 peratus, – daripada 51 peratus pegangan majoriti akan menjadikan mereka pemegang saham minoriti selepas syarikat itu disenaraikan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Felda semalam mengumumkan akan membentuk SPV bagi mengambil alih pegangan majoriti FGVH selepas lapan peneroka menghalang KPF daripada menyuntik aset ke dalam syarikat itu melalui penawaran awam (IPO).

Pengerusi Felda itu berkata, SPV itu akan memelihara kepentingan 112,000 peneroka, malah, beliau turut menyalahkan pembangkang kerana menghasut peneroka menentang penjualan 51 peratus pegangan saham di dalam Felda kepada FGVH.

Bagi menyelesaikan perkara itu, Rafizi berkata, pihaknya sedia bersemuka dengan Isa Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bagi memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

“PKR bersedia membentangkan hujah-hujan dan analisa kenapa penyenaraian ini tidak baik demi kepentingan peneroka dan kakitangan Felda.

“Kami ingin melontarkan jemputan debat, ataupun forum kepada mereka untuk membincangkan perkara ini supaya masyarakat Felda jelas akan maksud sebenar penyenaraian ini,” katanya lagi.

***********************

Apabila program diteruskan kerana objektif yang baik untuk menjaga kepentingan strategik peneroka FELDA, wayang Pembangkang dengan rentak lain pun bermula.

PKR sebelum ini bercadang akhir Mac ini untuk mengadakan kempen 100,000 ribu tandatangan dan himpunan di Dataran Merdeka untuk berarak bagi menyerahkan bantahan penyenaraian FGVH ini kepada Perdana Menteri. Dulu mereka riuh mendakwa penyenaraian FGVH akan memberikan defisit terkumpul berjumlah RM 1.9 billion. Kini mereka pula kunun kunun membuat kenyataan bahawa tanpa KPF, kepentingan masyarakat peneroka FELDA akan rugi.

Cadangan debat ini ialah taktik biasa Pembangkang terutama PKR untuk meraih perhatian kerana mereka sebenarnya tiada idea asal dan bernas. Yang nyatanya, tiada yang produktif akan datang dari debat melainkan wayang-sarkas bagi Pembangkang, terutama PKR yang makin hari makin hilang keyakinan termasuk sokongan dari kalangan pemimpin dan ahli mereka sendiri.

Apa yang menghairankan ialah antara penentangan yang dijana kepada masyarakat peneroka keatas cadangan penyenaraian FGVH ialah FGV merupakan syarikat yang gagal diuruskan dengan baik dan terdapat kerugian terkumpul, manakala FHB (51% milik KPF) pula merupakan perniagaan yang untung dan diuruskan lebih baik. Hakikatnya, pengurusan FHB merupakan mereka yang sama menguruskan FGV.

Lembaga FELDA merupakan 49% pemegang saham FHB dan 100% pemegang saham FGV. Jelas dengan pengurusan yang dan pemegang saham yang sama, kedua kedua kumpulan syarikat perlu diuruskan dengan baik dan sistem urus tadbir yang sama, dengan objektif mendapatkan pulangan terbaik. Tidak mungkin mandat yang berbeza kepada pengurusan dua dua kumpulan syarikat tersebut.

Difahamkan, ‘Plan B’ penyenaraian FGVH akan diteruskan melalui entiti khas dimana kepentingan 112,635 warga peneroka FELDA akan dijamin. Satu ‘Tabung Khas Peneroka’ dijangkakan akan diujudkan, sebagai ganti KPF yang asalnya dicadangkan sebagai pemegang saham terbesar dalam FGVH. Tabung ini dijangkakan akan menerima antara RM 4-5 billion nilai saham FGVH apabila ianya disenaraikan pasca Jun nanti.

Kepentingan masyarakat peneroka FELDA akan disalurkan dalam pelbagai bentuk dan skima melalui tabung ini. Satu Lembaga Pemegang Amanah akan dilantik, untuk mengawal selia tabung ini.

Penyenaraian FGVH kini tidak melibatkan semua syarikat kumpulan FHB sebagai anak syarikat tetapi syarikat bersekutu (associate companies) kerana pegangan 49% Lembaga FELDA dalam FHB akan disuntik kedalam FGVH. Entiti yang akan memberikan pulangan utama kepada FGVH ialah FELDA Plantations, dimana pulangan kasar sebelum cukai dan kepentingan minoriti dianggarkan sekitar RM 1.5-2 billion (pada harga kommoditi hari ini). Ini merupakan 70-80% dari keuntungan FGVH tahunan, yang diraih dari 350,000ha ladang.

Apabila pelaburan FGV diluar negara seperti kilang kilang TRT di Amerika Utara, Eropah dan Turki mula beroperasi sepenuhnya dan matang, maka keuntungan lebih akan dilihat dalam ‘bakul’ FGVH bagi pemegang pemegang sahamnya. Produk nilai-tambah dan hiliran sedang dirancang bagi pasaran yang besar ini.

Kepentingan masyarakat peneroka FELDA akan terus kukuh dan strategik, selepas penyenaraian FGVH melalui ‘Plan B’ ini.

1. Hasil dari 10 ekar tanah milik peneroka sediada

2. Dividen dari pelaburan dalam KPF sediada

3. Imbuhan tambahan melalui Tabung Khas Peneroka yang diperuntukan pasca penyenaraian FGVH

4. ‘Durian Runtuh’ dari hasil penyenaraian FGVH kepada 112,635 peneroka FELDA, sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri semasa Ucapan Bajet 2012 pada 7 Oktober 2011

Difahamkan, FGV dengan merangka plan khusus dengan kerjasama Lembaga FELDA dan Jabatan Perdana Menteri bagi menjaga kepentingan warga-kerja FELDA apabila kepentingan mereka yang sepatutnya dijamin dalam FGVH melalui KPF telah gagal kerana rancangan asal KPF sebagai pemegang saham terbesar dalam FGVH tidak dapat dilaksanakan kerana pelbagai tentangan yang sistematik.

Jelas, FELDA ujud 54 tahun lepas untuk memartabatkan kepentingan masyarakat luar bandar terutama orang Melayu dan amat berjaya dan berkesan. Ianya, objektif yang sama yang kini digerakkan dalam kesesuaian cabaran dinamism dunia global yang berpusat kepada perniagaan dan aktiviti kommersial bernilai tambah. Pelaburan dan gerak-kerja hari ini ialah sebenarnya strategik dan bertujuan untuk menentukan pulangan bukan sahaja progresif dan konsisten, malah terjamin bagi jangkamasa yang lama.

FGVH direncana untuk menjadi pemain bertaraf global dalam industri berasaskan perladangan dan bahan bahan produk kelapa sawit yang bernilai tambah, untuk pasaran antarabangsa.

Pengalaman episod cadangan penyenaraian FGVH melibatkan KPF ini wajar jadi pengajaran bagi semua pihak terutama masyarakat peneroka FELDA, agar jangan terpengaruh dengan Pembangkang dan mereka yang berkepentingan peribadi untuk menentang apa apa cadangan Kerajaan Persekutuan bagi warga FELDA.

Jangan biarkan keadaan “Sudah terhantuk, baru tergadah”.

*Dikemas kini 330pm

Published in: on February 24, 2012 at 14:00  Comments (57)