PM Najib: ‘Durian Runtuh’, janji agenda transformasi masyarakat FELDA

Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak mengumumkan ‘Durian Runtuh’ kepada 112,635 peneroka FELDA, Jengka 8, 8 Mei 2012 dihadapan 40,000 orang warga FELDA

Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak pagi ini mengumumkan ‘Durian Runtuh’ jumlah terkumpul bernilai RM 15,000.00 dalam wang tunai kepada setiap dari 112,635 peneroka FELDA. Ianya sebagai menghargai sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi Negara.

“Sempena penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings (FGVH), ‘Durian Runtuh’ bernilai RM 1.689 billion. Semua datang dari dana FELDA. Pada Fasa 1, RM 5,000.00 kepada setiap peneroka. Ini untuk mereka yang setia kepada Perjuangan. Pada Fasa 2 pula, RM 5,000.00 kepada isteri peneroka. Fasa 3, agihan RM 5,000.00 kepada anak peneroka FELDA”.

Pengumuman yang dinanti nanti oleh 112,635 peneroka FELDA dibuat Perdana Menteri dalam program Majlis Bersama Peneroka FELDA itu mendapat sambutan begitu gemuruh dikalangan 40,000 warga FELDA yang berhimpun di Jengka 8 ini. Jalan menuju FELDA Jengka 8 ini menerima kesesakan trafik yang luar biasa, sejauh 6 km dari arah Pusat Bandar Jengka dan Jerantut.

Selain dari itu, 20% saham FGVH akan diperuntukan kepada Tabung Amanah bagi peneroka FELDA. “Sekiranya FGVH untung selepas penyenaraian, insyaAllah akan dapat lagi RM 1,500.00 bagi setiap peneroka FELDA”.

Beliau, yang juga Menteri bertangung jawab hal ehwal FELDA juga mengumumkan ‘Durian Runtuh 2’ merupakan ‘pink form’ bagi pengagihan saham dalam gerak-kerja penyenaraian FGVH, yang dijangkakan akan disempurnakan 26 Jun 2012 di Bursa Malaysia.

“Kalau ada penipuan atau pembohongan oleh Pembangkang, saya ingin mengesahkan, tanah peneroka akan kekal milik warga FELDA”.

Bagi warga kerja FELDA pula, PM Najib mengumumkan bonus khas 2.5 bulan gaji sebagai ‘Durian Runtuh’ untuk mereka disamping ‘pink form’ penyenaraian FGVH. Sumbangan dan dedikasi mereka dalam agenda membawa perubahan melalui transformasi FELDA semenjak ditubuhkan, jelas dihargai dalam pengumuman ini. Ini juga merupakan rekod bonus paling besar yang diperuntukan untuk mana mana warga-kerja agensi Kerajaan.

‘Durian Runtuh’ ini mula diumumkan pada Ucapan Bajet 2012 beliau di Dewan Rakyat pada 7 Oktober 2011. Ianya merupakan sebahagian dari agenda transformasi beliau bagi masyarakat FELDA, yang merangkumi penyenaraian FGVH, dalam menentukan kedudukan strategik FELDA bagi 50 tahun akan datang terus kekal kukuh dan progressif.

“Apa yang ada hari ini merupakan impian Allahyarham Ayahanda saya. Hari ini, kita ingin transformasikan legasi itu kepada tahap yang lebih tinggi”, sambil mengimbau FELDA yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein dan memberikan tumpuan khusus peribadi, merupakan agenda transformasi masyakar luar bandar bermula tahun 60an itu.

“Untuk sampai ke tahap ini, ianya dengan kudrat dan susah payah peneroka membuka dan mengharungi binatang buas. Bermula dari ‘roll call’ setiap pagi dan berbekalkan dengan alat asas seperti kapak, parang dan kecekalan jitu. Akhirnya, kawasan hutan itu bertukar wajah dan berjaya dibangunkan kampung dan kawasan ladang”.

“Ditempat binatang buas dan berpuaka itu kita bina kampung, ujudkan ladang dan membangunkan masyarakat. Hari ini, ianya berubah kepada kawasan yang maju, seperti Pusat Bandar Jengka ini”.

Antara warga peneroka FELDA yang hadir

FELDA merupakan agensi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan tanah rancangan, sebagai dasar pra-Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ianya diteruskan selepas DEB mula dilaksanakan sehingga berjaya mengujud dan bangunkan 317 tanah rancangan seluruh negara.

Menurut PM Najib, FELDA merupakan organisasi pengeluar minyak sawit terbesar didunia. Kini ianya mengorak langkah lebih panjang dengan semua perniagaan Kumpulan FELDA dikonsolidasikan bawah FGVH. “Banyak pihak luar ingin belajar dengan kita”.

Beliau juga mencemuh segelintir minoriti dikalangan peneroka FELDA yang bersekongkol dengan Pembangkang dan cuba menggagalkan penyenarian FGVH, termasuk membawa ke Mahkamah. Beberapa kali mesyuarat agung luar biasa (EGM) Perwakilan Koperasi Permodalan FELDA (KPF) dibatalkan kerana injuksi Mahkamah yang diambil. “Saya tidak rela dan redha mereka menerima ‘Durian Runtuh’ ini. Haram jadah mereka!”.

Hakikatnya, tanpa penyenaraian FGVH, keuntungan perniagaan Kumpulan FELDA selama ini tidak boleh dikonsolidasi dan bebas-kuncikan (unlock) dan peneroka tidak menerima ‘Durian Runtuh’. PM Najib juga mengumumkan dana khas bagi Yayasan FELDA untuk membantu membaiki rumah kampung kampung tradisi dalam kawasan tanah rancangan FELDA.

Dalam ucapan alu aluan Pengerusi FELDA Tan Sri Isa Samad menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan terus menentukan masyarakat FELDA dibela dan bangunkan. Beliau meminta masyarakat FELDA memberikan kepercayaan dan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan dibawah pimpinan PM Najib.

Published in: on May 8, 2012 at 11:00  Comments (23)