Pewaris Perjuangan
Anak Bangsa..
Tidak Pernah Melayu Baru dihina dek penjajah..
Atau melihat darah keringat mengalir
dari tubuh pejuang bangsa..
Memerdekakan tanah tumpah darah ini ..
Fahamkah mereka tentang … Perjuangan ?
Anak bangsa…
Leka, leka dan leka..
Anak bagsa lupa bangsa …
Baru tercabar sedikit,
hatinya tertutup gelap ..
Di depan ada bencana,
perpaduan dinoda..
Kemerdekaan bangsa diperjudi ..
Anak bangsa… Terus alpa
Anak bangsa
Hidung dicucuk, telinga ditarik
Itupun tidak mengapa …
Bangsa dicerca, bangsa dihina …
Ibunda dicabar, maruah digadai…
Penjajah diundang semula ….
NAMUN..!!
Wahai pejuang bangsa …
Yakinlah…
Kini waris telah ada
Kepada perjuanganmu yang belum selesai …
Yang akan bangun mengisi kemerdekaan …
Yang akan mengejutkan anak bangsa …
Yang masih lena diulit dongengan penjajah…
Pewaris ini akan mengangkat kembali
kegemilangan empayar bangsa
Yang tersohor buat sekian lamanya…
Wahai pejuang bangsaku…
Didiklah pewaris ini ertinya merdeka …
Turunkanlah ilmu mu bagi mengisi dada yang kosong ini …
Terjemahlah erti perjuangan dan pengorbananmu
Agar pewaris ini akan meneruskan perjuanganmu
Bukanlah Melayu kalau kami mensia-siakan perjuangan dan pengorbananmu…
Bukanlah pewaris kalau kami menggadai warisan keturunan bangsa,
memperjudi nasib agama dan negara
Janji dan sumpah pewaris meneruskan perjuangan mu itu…
Bukanlah pewaris kalau kami sanggup melihat bangsa dan tanah airnya kembali dijajah
Perjuangan bangsa digugat goyah…
Ini ikrar kami golongan pewaris …
Akan terus membangunkan negara, mendaulatkan bangsa !!
Walau keringat ditagih, darah diminta …
Berpantang undur sebelum ajal …
Pewaris ini tidak kenal takut dan mati …
…………………..
Wahai pejuang bangsaku …
Lenakanlah tidurmu
Mimpikanlah yang indah –indah
Kerana korbanmu tidak sis-sia…
Masih ada yang tahu nilainya
Masih ada yang akan meneruskannya
Masih ada yang akan bersabung nyawa…
Bagi menegakkannya…
Wahai pejuang bangsaku
Hanya satu pinta warismu
Iringkanlah wasiat perjuangan mu
Dengan doa bagi merestui
Perjuangan warismu ini…
Perjuangan yang belum selesai
Izinkanlah pewaris ini, menyelesaikannya…
Restukanlah pewaris ini, menyambung wasiat
Memartabatkan bangsa, Memuliakan negara
Membina mercu tanda bangsanya Yang berjaya
Bagi mengisi kemerdekaan ….
Ini sumpah pewaris….
Sajak ini dideklamasikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Mukhriz Mahathir dalam ini disebuah majlis yang dianjurkan oleh Kumpulan Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.
Ianya kali pertama dideklamasikan oleh Mantan Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Alam dan Tenaga pada Jun 1999 dihadapan Perdana Menteri Keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah majlis yang dianjurkan ANSARA di Meru, Klang. Pada ketika itu, negara dilanda cabaran ekonomi, politik dan tekanan antarabangsa yang hebat.