Empowering Malay Nation

 

 

UCAPAN OLEH

TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

DI UNIVERSITAS SEBELAS MARET , INDONESIA

PADA HARI ISNIN, 3 SEPTEMBER 2012

 

“Empowering Malay Nation”

———–

 

  1. Saya ucapkan terima kasih kepada Universitas 11 Maret serta Pengurusan dan para gurunya kerana anugerah Doktor Kehormat dalam bidang Kepimpinan dan Pemberdayaan Bangsa Melayu kepada saya.  Sesungguhnya ini adalah kehormatan besar kepada saya kerana sumbangan sedikit saya kepada pembangunan negara saya Malaysia dan kemajuan bangsa Melayu.
  2. Di sini ingin saya berbicara sedikit berkenaan etnik Melayu dan kemungkinan mereka mengembalikan keteguhan kedudukan mereka dalam masyarakat dunia.
  3. Etnik Melayu merupakan satu daripada kumpulan etnik yang besar di dunia.  Umumnya mereka berada di kepulauan Asia Tenggara.  Sejarah meriwayatkan akan tamadun yang tinggi yang didirikan oleh mereka selama ratusan tahun dahulu.  Namum kedatangan bangsa Eropa pada abad 14 – 15 telah menyebabkan kejatuhan tamadun dan kuasa etnik Melayu ke tangan kuasa-kuasa Barat.  Sejak itu etnik Melayu ini telah dikuasai tamadun Eropa moden dengan budaya yang berpusat kepada Eropa. Tamadun Etnik Melayu telah terhakis dan disertai kehilangan kuasa mereka ke atas wilayah yang diduduki oleh mereka.
  4. Pada pertengahan abad kedua puluh wilayah etnik Melayu telah berjaya dibebaskan keseluruhannya dari belenggu penjajahan bangsa-bangsa Eropa.  Tetapi kemajuan mereka tidak dapat dipulih secara yang signifikan. Wilayah yang bertamadun tua ini telah ditakrif sebagai sebahagian dari dunia ketiga yang kurang maju.
  5. Soalnya apakah dapat tamadun baru Melayu yang sejajar dengan tamadun-tamadun lain di dunia moden ini dapat didirikan di zaman ini.
  6. Jika diperhatikan dari sejarah terdapat bangsa-bangsa yang dahulu mundur tetapi berjaya mendirikan tamadun yang tinggi.  Contoh yang mudah digunakan ialah tamadun Eropa.  Di zaman ketamadunan Islam yang terkenal, bangsa-bangsa Eropa berada dalam zaman kegelapan – the Dark Ages.  Mereka tidak berilmu pengetahuan dan dibelenggu dengan kepercayaan kepada makhluk-makhluk ghaib.  Masyarakat mereka begitu feudal sehingga separuh dari mereka diperhambakan dan bekerja untuk memperkayakan sebahagian yang kecil dari golongan bangsawan yang memiliki kuasa hidup dan mati ke atas mereka.  Majoriti mereka tidak pun boleh membaca dan ilmu pengetahuan hampir tidak ada
  7. Tetapi pada abad kelima belas, setelah melihat kemajuan orang-orang Islam dan tamadun mereka, padri-padri mereka kagum dan memutus untuk memajukan kaum bangsa mereka dengan mempelajari ilmu orang Islam terutama sains dan matematik yang menyumbang banyak kepada kemajuan orang Islam.
  8. Mereka mempelajari bahasa Arab, yang menjadi bahasa ilmu di zaman itu, dan berusaha menguasai ilmu-ilmu yang dikumpul oleh orang Islam yang tersimpan dalam khutub khanah besar di Khurtubah Al-Andalus dan Baghdad dan lain-lain lokasi dalam dunia Islam.  Dengan ilmu orang Islam yang diperolehi oleh mereka maka dapatlah mereka menjayakan Renaisssance atau kelahiran semula mereka.  Sejak itu tamadun mereka diteruskan dan kemudian ianya dapat menguasai pemikiran dan budaya serta sistem masyarakat manusia di seluruh dunia.
  9. Sifat ingin tahu yang menjadi sebahagian dari budaya mereka mendorong penerokaan pelayaran sehingga sampai ke dunia baru di barat iaitu Amerika dan dunia timur jauh. Dengan ilmu yang memperkaya dan memberi kekuatan kepada mereka, mereka berjaya menakluk sebahagian besar dari dunia dan membesarkan tamadun mereka.
  10. Apakah mungkin etnik Melayu mengembali dan memperkukuhkan tamadun Melayu seperti yang dilakukan oleh bangsa-bangsa Eropa?  Tidak ada sebab kenapa tidak.
  11. Seperti dengan bangsa Eropa yang menyerap ilmu yang diterokai oleh orang Islam, kali ini pula etnik Melayu perlu kejar ilmu yang dikumpul dan diterokai oleh bangsa Eropa dan bangsa-bangsa lain.  Tetapi tidaklah memadai jika hanya menumpu kepada penguasaan ilmu yang sedia ada sahaja.  Untuk menjayakan etnik Melayu, kaji selidik hendaklah dilakukan kepada ilmu yang ada dan ditambah tokok dengan ilmu yang baru.
  12. Ilmu yang diperolehi bukanlah untuk menambah pengetahuan sahaja tetapi lebih penting ialah diguna untuk memperbaiki lagi kehidupan kita dan meningkatkan tamadun dan kuasa. Alatan dan pendekatan yang baru yang boleh menyumbang kepada kemajuan hendaklah dicipta dan diperalatkan.
  13. Untuk semua ini etnik Melayu perlu kepada institusi pelajaran tinggi yang dapat memberi ilmu pengetahuan kepada seramai mungkin dari rakyat sebangsa.  Dengan ini tamadun etnik Melayu dapat meningkat sehingga bangsa ini menjadi bangsa yang semuanya celik huruf dan berilmu, sesuatu yang dapat menyumbang kepada ketamadunan dan kekuatan
  14.  Kita hidup sekarang dalam zaman pengetahuan dan maklumat.  Zaman ini berkembang maju kerana teknologi IT dan Internet membolehkan siapa sahaja mengejar dan memilik ilmu tanpa had.  Sementara alat-alat ini mempermudahkan proses menguasai ilmu, penggunaan alat-alat ini sahaja tidak memadai
  15. Bangsa yang ingin memperolehi kekuatan harus menguasai teknologi dan kemampuan mencipta dan mengeluarkan segala alat yang diguna dalam kehidupan manusia dan untuk menyebar ilmu.  Dari situ diperlukan juga penguasaan teknologi dan teknik dan bidang pembuatan yang boleh meningkatkan keupayaan mencipta, membangun dan mengeluar apa sahaja yang diperlukan oleh masyarakat etnik Melayu di zaman moden yang kian maju.  Sudah tentu hasil penerokaan dan penyelidikan ini juga perlu diedar kepada seluruh dunia.
  16. Untuk semua ini selain dari instituasi pelajaran tinggi seperti universiti, diperlukan juga makmal-makmal untuk kaji selidik dan penerokaan dalam ilmu dan teknologi yang baru dan yang lebih canggih.  Hari ini makmal yang utama ialah dalam bidang elektronik terutama design mikrochip yang semakin lama semakin tinggi kuasanya.
  17. Undang-undang Moores mendakwa bahawa kuasa microcip akan berlipat sekali ganda tiap 1½ tahun.  Dengan peningkatan kuasa microcip ini maka kegunaandan kuasanya juga akan berlipat ganda, menjadi lebih pantas dan lebih halus.  Akhirnya ukurannya akan hanya sebesar satu atom. Manusia masih belum sampai ketahap ini. Kita, melalui penyelidikan makmal mungkin dapat menyumbang kepada proses ini.
  18. Dengan kemajuan dalam peningkatan kuasa microcip maka banyaklah kegunaan baru yang boleh dicipta dan dihasilkan.  Diantaranya ialah kebolehan melihat sesuatu yang berada di belakang tembok yang tebal, atau membaca pemikiran seseorang dan bermacam lagi.
  19. Jika kita sanggup melabur wang yang banyak dalam usaha kaji selidik makmal ini, besar kemungkinan kita akan dapat menyamai dan mungkin mengatasi tamadun Eropa dan tamadun lain juga.
  20. Penguasaan ilmu yang terkini dan canggih akan menyumbang kepada tamadun etnik Melayu.  Tetapi kita juga perlu cekap dalam bidang pentadbiran dan pembangunan bangsa dan negara.  Ini juga memerlukan ilmu yang khusus dalam bidang pentadbiran dan pengurusan.  Sekali lagi institusi pelajaran tinggi seperti universiti boleh main peranan utama
  21. Piawaian (standard) institusi kita mestilah tinggi seperti yang tertinggi di dunia serta memilikki guru-guru yang penuh dedikasi kepada penguasaan ilmu lebih daripada tarikan yang lain. Institusi juga perlu mendapat bantuan dan pembiayaan dari pemerintah dan orang yang telah mendapat nikmat daripada ilmu dari institusi-institusi ini yang menjayakan mereka.
  22. Sesuatu yang amat penting untuk mendirikan tamadun yang tinggi ialah budaya dan nilai hidup yang dipegang dan diamal oleh masyarakat berkenaan.  Tidak ada puak atau etnik yang boleh membangunkan tamadun yang tinggi jika nilai hidup mereka tidak sesuai.
  23. Satu kajian perlu dibuat akan nilai-nilai mulia supaya dapat dikenal pasti nilai yang mesti dipupuk di kalangan etnik Melayu dari kecil lagi. Jika nilai-nilai mulia berjaya diserapkan oleh etnik Melayu maka proses mendirikan tamadun mereka, proses memperkasa mereka lambat laun akan tercapai.
  24. Dengan terhasilnya tamadun baru bangsa etnik Melayu maka tentulah mereka akan memiliki kuasa yang dituntut oleh mereka.

 

*****

 

*****

Published in: on September 3, 2012 at 21:00  Comments (9)  

The URI to TrackBack this entry is: https://bigdogdotcom.wordpress.com/2012/09/03/empowering-malay-nation/trackback/

RSS feed for comments on this post.

9 CommentsLeave a comment

  1. Ingatkan pengaruh Anwar Ibrahim bertapak kukuh di Indonesia, tiba-tiba Tun Dr. Mahathir yang dianugerah Doktor Kehormat dari universiti di sana. Mesti hangin satu badan Anwar Ibrahim dengar cerita ni. Apakan daya, bas disimbah cat merah pun orang dah tak percaya, betul2 jadi macam budak penjaga kambing dengan serigala.

  2. Sepatutnya ada lebih kesedaran di antara kita kapada apa yang di panggil Rumpun Melayu, ia itu kumpulan yang termasuk Melayu dan Bumiputera di Malaysia dan orang orang Indonesia, dll. Jika pemberian penghormatan oleh Universiti di Indonesia kapada Tun Dr Mahathir itu merupakan suatu tanda baginya, saya suka. Ini boleh membawa kapada “Empowering the Malay Nation” dalam erti kata yang luas.

    Saya setuju dengan liputan iistilah Melayu dan Rumpun Melayu yang di tulis di buku, “Tamadun Alam Melayu”, 2009, dan “The Malay Civilization”, 2007, oleh Mohd Arof Ishak, terbitan Persatuan Sejarah Malaysia. Itu merangkumi 350 juta maanusia di Gugusan Pulau Pulau Melayu (The Malay Archipelago) dan di luarnya. Jika ini di akui oleh kebanyakan pihak, Melayu akan terasa bangga bahawa mereka adalah sebahagain dari bilangan yang besar, bukan saja belasan juta di negara ini, dan tidak akan di persendakan oleh sesiapa lain.

    “Etnik Melayu merupakan satu daripada kumpulan etnik yang besar di dunia,” kata TDM. 350 juta dari 6,000 juta maanusia di dunia memang besar. “Umumnya mereka berada di kepulauan Asia Tenggara,” tambah TDM. Saya fikir penting kita tonjolkan juga bahawa mereka berasal di Gugusan Pulau Pulau Melayu ini juga. Seperti di terangkan di buku buku tersebut.

    Bukan berasal dari Yunan, Selatan China, seperti pendapat yang keluar di tahun 1930an dan laku untuk lebih kurang 30 tahun. Itu adalah hujah berdasarkan bahan bahan kaji purba yang di jumpai setakat masa itu. Tetapi kajian dan penemuan kaji purba (archeological research and findings) telah di lakukan dengan giat sejak pertengahan abad 20 dan pendapat Melayu berasal dari Yunan itu telah tidak sah laku lagi. Begitu juga pendapat mengatakan Melayu berasal di Taiwan. Pendapat itu juga tidak lagi laku, walau pun ada beberapa suku kaum di Taiwan sekarang yang bahasanya di kenal pasti oleh pakar pakar bahasa (linguists) sebagai sebahagian dari 1,200 lebih bahasa Melayu yang ada sekarang.

    Hal ini perlu di akui dan di terima oleh semua kaum di negara Malaysia ini. Dengan yang demikian tiada sesiapa boleh menganggap hanya mereka “bertamadun tinggi”, berasal dari “the Middle Kingdom” dan “civilized”, yang lain di seluruh dunia tidak bertamadun atau “uncivilized” kononnya, seperti yang di tulis di sejarah China sehingga ke abad17. Dengan itu Dong Zong dan pengikutnya tidak perlu memikir mereka mesti mengasingkan diri, mengagongkan bahasa Mandarin, tidak mahu bercampur dengan khalayak ramai, dan proses menyatu padukan negara menjadi lebih senang tercapai.

    • “mereka mesti mengasingkan diri, mengagongkan bahasa Mandarin, tidak mahu bercampur dengan khalayak ramai” –

      Ini terjadi sebab kerajaan MASIH mahu menyokong sekolah SJKC dan SJKT yang ternyata memperkasakan identiti negara asing.

      Bahasa Kebangsaan pun tidak diperkukuhkan sebagai bahasa perantaraan di seluruh negara. Mereka hanya perlu fasih dalam bahasa Inggeris yang kononnya cukup untuk segala keperluan hidup di Malaysia.

      Ada pula ura ura untuk menjadikan beberapa bahasa asing sebagai bahasa rasmi juga.

      Jika kerajaan tidak kaji dengan teliti, kesan sekolah vernakular pada nasionalisme dan ketaatan pada negara, maka gejala yang tak di ingini ini akan berterusan.

  3. Setuju, “Tidak ada puak atau etnik yang boleh membangunkan tamadun yang tinggi jika nilai hidup mereka tidak sesuai.” Nilai hidup seperti yang di anuti Anwar Ibrahim tidak sesuai. Memecahkan bangsa Melayu, mengkhianati negara Malaysia, sodomi dll pasti tidak sesuai.

    Setuju, “Satu kajian perlu dibuat akan nilai-nilai mulia supaya dapat dikenal pasti nilai yang mesti dipupuk di kalangan etnik Melayu dari kecil lagi.” Tambah: Nilai nilai itu sudah banyak ada sejak sediakala. Nilai pertahankan maruah negara telah nyata bila Residen British yang pertama di lembing mati di Pasir Salak, di tepi Sungai Perak di tahunn 1875. Lebih penting lagi: kajian bagaimana boleh merebakkan, menyerapkan nilai nilai itu supaya di ikuti di seluruh negara.

  4. Saya tidak pernah dengar University sabelas Meret di Indonesia.Mungkin terlalu banyak University di Indonesia.
    Saya rasa Tun Mahathir bercakap di tempat yang salah jika ia mahu ketengahkan Idea kekuatan umat Malayu.Di Indonesia bangsa Melayu hanya terdapat di Palembang.Terlalu ramai rumpun bangsa di Indonesia,hampir sama dengan jumlah pulau pulau di Indonesia.Indonesia juga cuba menyatukan rumpun bangsa nya dibawah konsep Panchasila tapi sahingga sekarang maseh gagal menyatukan.
    Yang jelas persamaan antara Orang Melayu di Malaysia dan rumpun bangsa Pribumi di Indonesia ialah mereka mempunyai DNA yang sama iatu dilahirkan sabagai bangsa pemalas dan emotional.

    • Kamu bangsa/ jenis biadap dan penghasut. Tak guna 2 sen. Menyebabkan pergaduhan kaum 13 Mei 1969. Kamu harus di kikis dari bumi ini.

      Haba haba.

      • *Comments deleted

        This commenter is no longer welcomed in this blog

      • Dey vinnan, dia dah ngaku ada darah India 25%. Kau darah apa? Darah pariah ye?

        Haba haba.

    • Aisehman Hamid, anda masih memendam perasaan benci dihati. Makin lama makin merebak sel sel racun yang akan memudaratkan kesihatan anda sendiri.

      Bangsa Melayu kini sudah maju dan terkenal didunia. “Malas” adalah anggapan mereka yang tamak haloba mengaut kekayaan bumi hingga mencetuskan “pemanasan global”. Manusia terlalu tamak manakala bangsa Melayu bijak bistari.

      “Emotional” pula adalah angapan manusia yang tidak reti makna “jatidiri”, “amanah”, “bela bangsa, agama dan negara”.

      Jangan lah komen macam budak sekolah tajaka.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: