Kedamaian Sejagat dan Kriminalisasi Perang : Inisiatif Serantau

UCAPAN OLEH
TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
DI UNIVERSITAS MUHAMMADIYAH YOGYAKARTA, INDONESIA
PADA HARI SELASA, 4 SEPTEMBER 2012

———————

“Kedamaian Sejagat dan Kriminalisasi Perang : Inisiatif Serantau”

 

1. Saya bangga dengan kehadiran begini ramai rakyat Indonesia untuk melihat pameran berkenaan Kriminalisasi Perang, iaitu menjadikan perang sebagai satu jenayah, serta mendengar penerangan berkenaan dengan sebab-sebab dan usaha kearah ini.

2. Kita semua tentu sedar terdapatnya selisih faham dan pertikaian dalam masyarakat antarabangsa yang kadang-kadang membawa kepada peperangan diantara mereka.

3. Di zaman dahulu, diwaktu manusia masih primitif tidak hairanlah jika manusia sering berperang. Tetapi manusia di zaman ini kononnya sudah bertamadun, bertamadun tinggi, dan berpegang kepada budaya yang mulia. Dan manusia yang bertamadun semuanya anggap membunuh sebagai satu jenayah yang besar. Demikianlah buruknya jenayah ini sehingga hukuman yang keras digunakan, termasuk hukuman mati.

4.​Di zaman yang lewat ini membunuh begitu dianggap tidak berperikemanusiaan sehingga banyak negara yang kononnya tertamadun tinggi dan moden telah hapuskan hukuman bunuh walaupun ketas pembunuh. Demikianlah bertimbangrasanya manusia di zaman moden ini.

5.​Yang anehnya masyarakat manusia ini juga terima dan izinkan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan semasa perang. Mereka yang membunuh dan mereka yang mengarah supaya pembunuhan dilakukan dipandang tinggi, dihormati, dianugerah bintang kebesaran, diberi gelaran dan dibangunkan tugu peringatan bagi mereka. Ternampak manusia rata-rata menghidap penyakit split-personality (schizophrenia) dengan satu personaliti mempunyai sifat yang bertentangan dengan personaliti kedua walaupun mempunyai tubuh badan yang sama.

6.​Sementara satu personaliti memandang pembunuhan sebagai jenayah yang dashyat, personaliti yang satu lagi terima pembunuhan sebagai sesuatu yang mulia.

7.​Inilah kecacatan tamadun manusia. Lebih tepat lagi ialah manusia masih menjadi makluk yang primitif, yang tidak bertamadun kerana memuliakan pembunuhan.

8.​Di zaman dahulu satu dari cara menyelesaikan pertikaian antara dua orang ialah dengan mengadakan duel iaitu perlawanan menikam dengan pedang atau menembak antara mereka dari mereka sehingga terbunuh seorang dari mereka dan ini menyelesaikan pertikaian antara mereka.

9.​Kerapkali bukan pihak yang benar yang menang tetapi pihak yang cekap main pedang atau menenbak yang terselamat. Penyelesaian cara ini jelas tidak adil tetapi di Eropah dahulu kononnya untuk memelihara maruah seseorang inilah caranya.

10.​Berperang untuk menyelesaikan pertikaian antara dua buah negara juga tidak menjamin keadilan bagi pihak yang benar. Tetapi manusia masih lagi terima perang sebagai cara penyelesaian pertikaian antara dua buah negara atau kumpulan negara-negara. Selama 7000 tahun dalam sejarah manusia kesanggupan berperang antara manusia dengan manusia menunjuk yang manusia masih lagi primitif.

11.​Perang di zaman purba tidaklah menyebabkan jumlah pembunuhan yang begitu ramai. Senjata yang digunakan seperti pedang, tombak, pemanah hanya dapat membunuh seorang setiap kali di guna. Lagi pun yang menjadi mangsa biasanya askar kedua-dua pihak.

12.​Malangnya semakin lama semakin canggih senjata yang dicipta. Hari ini kita sudah sampai keperingkat mampu membunuh semua manusia di dunia dan memusnahkan semua bandar dan negara yang ada. Kita sekarang mampu menamatkan sejarah manusia di dunia ini supaya dunia menjadi padang jarak padang terkukur, iaitu seperti dataran yang tidak bermanusia atau haiwan atau tumbuh-tumbuhan, seperti padang pasir.

13.​Perang Dunia Ketiga jika berlaku boleh meninggalkan keadaan seperti ini. Perang dunia sudah tidak lagi menjadi penyelesaian dalam menangani permusuhan antara negara dengan negara, tetapi sebaliknya boleh memusnah segala-galanya sehingga tamatlah sejarah manusia di dunia ini.

14.​Apakah kita masih ingin berperang untuk menghapuskan semua manusia dan haiwan lain di dunia ini? Mungkin kita tidak ingin malapetaka ini menimpa ke atas kita. Mungkin perang nuklear tidak akan dilakukan oleh kuasa-kuasa nuklear. Tetapi senjata nuklear masih ada dalam milik kuasa-kuasa nuklear. Apakah akan jadi jika secara tidak sengaja, kerana kesilapan atau kerana kurang siuman tiba-tiba terlancar sebuah roket dengan nuklear warhead kearah kuasa nuklear yang satu lagi dan negara ini pula membalas dengan senjata yang sama dan tercetuslah perang nuklear.

15.​Kita tidak boleh percaya dan yakin peristiwa seperti ini tidak akan berlaku selagi ada negara-negara yang memiliki senjata yang dasyat ini dalam simpanan mereka.

16.​Walaupun perang nuklear sehingga ini belum berlaku, tetapi perang biasa (conventional) masih berlaku. Di Iraq, di Afghanistan, di Korea, di Vietnam dan di beberapa negara lain peperangan bukan konvensyenal sudah berlaku. Mungkin perang ini dianggap sebagai peperangan kecil. Namun yang terbunuh, yang tercedera, yang kehilangan saudara-mara, yang kehilangan rumahtangga dan harta benda tentu mengalami kesan peperangna yang tidak kurang pedihnya.

17.​Beratus ribu mati di Iraq dan ribuan lagi kehilangan anggota tubuh badan. Mereka bukan pun askar atau anggota tentera. Mereka adalah orang biasa yang tidak bersalah, tidak pun bermusuh dengan sesiapa. Tetapi oleh kerana perang, mereka kehilangan nyawa dan cedera parah. Keluarga mereka kehilangan anak, ibu, bapa, abang, kakak – dan merasai kesedihan yang tidak terhingga. Penderitaan mereka yang terselamat kerana kehilangan rumahtangga, bekalan air dan api sama buruknya. Tidak ada makanan dan rawatan perubatan bagi mereka.

18.​Ya, perang ini bukan perang nuklear, bukan perang dunia tetapi bagi mereka yang terbunuh, mereka yang cedera, mereka yang kehilangan ahli keluarga, rumahtangga, perang kecil-kecilan ini tidak berbeza dengan perang secara besar-besaran. Ia adalah satu malapetaka. Tetapi malapetaka ini adalah kerana perang, perang yang disengajakan, perang yang dicetuskan oleh manusia, manusia yang kononnya bertamadun.

19.​Malapetaka ini berlaku kerana kita manusia masih terima perang sebagai satu cara menyelesaikan sengketa antara bangsa-bangsa atau negara. Bagi kuasa militar yang besar perang ialah pendekatan pilihan mereka. Dan perang bermakna membunuh manusia secara besar-besaran.

20.​Manusia yang menganggap nyawa manusia sebagai keramat, sebagai yang tertinggi nilainya, begitu tinggi sehingga hukum bunuh diharamkan, tetapi kita masih terima pembunuhan semasa perang sebagai halal dan wajar, kita masih terima perang sebagai cara yang halal untuk menyelesaikan masalah permusuhan antara manusia dengan manusia. Sehingga bila akan kita terima pembunuhan beramai-ramai manusia sebagai halal kerana ia berlaku dalam peperangan.

21.​Manusia yang berfikiran waras harus, mesti mengubah persepsi terhadap pembunuhan kerana perang sebagai halal, legitimate. Sudah sampai masanya pembunuhan dalam perang juga dianggap sebagai jenayah. Sudah sampai masanya mereka yang mencetus perang, yang melancar serangan dalam perang dianggap sebagai melakukan satu jenayah yang jauh lebih buruk dari jenayah membunuh keseorangan. Sudah tiba masanya yang mereka yang melancar peperangan di anggap sebagai penjenayah besar. Sudah sampai masanya peperangan dijadikan satu jenayah yang di tolak oleh masyarakat manusia.

22.​Tetapi apakah yang boleh dilakukan jika pertikaian dan permusuhan di antara negara masih berlaku.

23.​Jika tidak dengan peperangan, apakah dapat pertikaian antara negara di selesaikan. Memang pun ada.

24.​Kita tubuh Bangsa-Bangsa Bersatu supaya pertikaian antara pasangan negara yang bersengketa boleh diselesaikan melalui rundingan, melalui rujukan kepada pihak ketiga dalam proses arbitration atau melalui rujukan kepada mahkamah antarabangsa.

25.​Sementara peperangan akan menyebabkan kehilangan nyawa yang begitu ramai, kemusnahan bandar dan negara, kehilangan harta benda, tetapi akhirnya satu pihak akan kehilangan segala-galanya dan satu pihak lagi akan memperolehi hasil darinya. Sebaliknya proses rundingan, arbitration dan mahkamah akan memberi keputusan yang sama – iaitu akan ada yang menang, dan akan ada yang kalah juga. Tetapi tidak ada siapa akan terbunuh atau negara hancur. Jikalau sama sahaja hasil dari peperangan dengan hasil dari rundingan atau rujukan ke mahkamah tentulah cara kedua lebih baik kerana tidak ada nyawa yang hilang, negara yang musnah.
26.​Jika kita fikir akan hakikat ini maka adalah lebih baik mengharamkan peperangan dan mengadakan hukuman berat ke atas mereka yang sengaja mencetuskan peperangan. Membunuh manusia untuk menyelesaikan pertikaian bukanlah cara yang boleh diterima oleh tamadun moden. Masa sudah tiba untuk perang di jadikan satu jenayah yang besar dan mereka yang melancarkan peperangan dianggap penyenayah dan dihukum dengan seberat-beratnya.

*****

Published in: on September 4, 2012 at 17:00  Leave a Comment  

The URI to TrackBack this entry is: https://bigdogdotcom.wordpress.com/2012/09/04/kedamaian-sejagat-dan-kriminalisasi-perang-inisiatif-serantau/trackback/

RSS feed for comments on this post.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: