“Saya calon yang paling layak….”

Dulu, Kini dan Selamanya

Dulu, Kini dan Selamanya

Mesej Kepimpinan Pucuk Tertinggi UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 adalah amat jelas; Utamakan parti. “Akur kepada keputusan Kepimpinan parti dan amalkan disiplin organisasi secara mutlak dan menyeluruh”.

Dalam Ucaputama dan Ucapan Penggulungan Presiden UMNO semasa PAU 2012, mesej ini amat jelas dan lantang. Keutamaaan mementingkan parti dan keputusan kollektif ini sehingga beliau menyedarkan seluruh negara bahawa Mantan Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dengan inisiatif sendiri bertemu pemimpin parti diperingkat Perhubungan dan Bahagian untuk menentukan mereka akur kepada keputusan dan disiplin parti.

Ucapaan Dasar dan Penggulungan Timbalan Presiden juga memberikan gambaran tindakan yang perlu diambil untuk ‘Melakar Kemenangan’. Percaturan Pilihanraya Umum ke 13 yang dijangkakan dalam suku pertama 2013 merupakan pertaruhan politik yang getir bagi UMNO, sebagai tulang belakang Barisan Nasional, untuk menentukan agenda Pembangunan dan Transformasi yang dibawa secara berterusan semenjak 55 tahun lampau diteruskan kesinambungannya.

Namun, apakah disiplin yang diharapkan ini akan dikekalkan oleh kepimpinan 191 kesemua Bahagian UMNO?

Mungkin ianya tidak berlaku pada Bahagian Bahagian dimana UMNO tidak meletakan calon, terutama dikawasan majoriti Bukan Melayu seperti Petaling Jaya Utara, Seputeh, Bukit Bintang, Kepong, Cheras, Sg. Besi, Serdang, Ipoh Timur, Tanjung, Jelutong, Bukit Bendera dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, semasa PRU 12 UMNO hanya mampu memenangi 79 dari 117 kerusi Parlimen yang ditandingi. UMNO hanya mampu meraih dua dari tiga kerusi yang ditandingi. Ini adalah penurunan mendadak berbanding dari 110 kerusi yang dimenangi pada PRU 11. Memang benar berlaku penurunan mendadak dari undi Bukan Melayu terhadap calon yang dipaparkan oleh UMNO semasa PRU 12. Namun, undi masyarakat Melayu juga tiris untuk berlaku ‘Tsunami Politik’ ini.

Salah satu dari sebab rekod buruk dialami oleh UMNO ialah kegagalan untuk menyelami aspirasi rakyat. Ini termasuk UMNO dilihat tidak berubah, termasuk tidak di’remaja’kan. Ini kerana ramai calon calon yang diketengahkan oleh parti samada tidak popular dikalangan pengundi atau terlalu alpa dan semasa pada kedudukan sebagai wakil rakyat.

Akibat tersentak akibat ‘Tsunami Politik’ 2008, perubahan dilihat dikalangan cara pemimpin UMNO bekerja, terutama mendekati rakyat. Rata rata, mereka makin ‘mesra rakyat’ dalam pendekatan mereka dan meningkatkan penglibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan. Namun begitu, semasa musim pemilihan kepimpinan parti diperingkat  Bahagian dan Majlis Tertinggi pada 2008/9, UMNO tidak berjaya me’remaja’kan.

Ini bermakna majoriti Bahagian UMNO tidak bertukar kepimpinan.

Sekarang ini, UMNO berada diambang PRU 13 dimana parti itu perlu berhadapan dengan pengundi untuk mendapat mandat baru. Formula UMNO untuk menamakan calon dalam mana mana PRU atau PRK ialah keutamaan akan diberikan kepada kepimpinan atau AJK peringkat Bahagian dan sekiranya calon ini akan diambil dari bukan dikalangan mereka, Kepimpinan Tertinggi akan terlebih dahulu merundingkan dengan kepimpinan Bahagian.

Persoalan sekarang ialah, apakah formula ini akan terus diguna-pakai untuk menentukan calon mewakili BN dalam kawasan yang ditandingi UMNO? Atau UMNO sudah bersedia untuk melakukan proses ‘Transformasi’ dengan menengahkan calon calon yang melambangkan parti sudah mampu di’remaja’kan dimana kepentingan aspirasi rakyat secara strategik akan diutamakan berbanding dengan aspirasi parti?

Petikan dari kolumn Dato’ Zaini Hassan Cuit Utusan Malaysia pada 29 November 2012:

Amalan buruk ‘cantas mencantas’ yang boleh membawa kerugian kepada UMNO hendaklah dihapuskan melalui undang-undang atau peraturan-peraturan baru parti. Jika tidak dibendung di peringkat Bahagian, amalan buruk itu akan merebak menjadi barah, dan tidak mustahil UMNO akan menjadi lemah secara mendadak di peringkat nasional.

Ketahuilah, terdapat seorang Ketua UMNO Bahagian pernah mengeluarkan kenyataan secara terbuka; “aku tak suka mana-mana orang kaya daripada aku memegang apa- apa jawatan di UMNO Bahagian ini, kerana dia akan mencabar kedudukan aku sebagai Ketua Bahagian”.

Ketahuilah, ada seorang Ketua UMNO Bahagian yang juga wakil rakyat berkata; “jika sesiapa yang mengambil tempat aku dalam PRU-13 ini, aku akan pastikan dia juga kalah”.

Ini bukan omongan, tapi realiti. Sesiapa yang termakan cili dialah yang terasa pedasnya.

UMNO Bahagian di seluruh negara sepatutnya dibina atas kekuatan individu dan seterusnya digabungkan menjadi satu pasukan kuat disusuli dengan semangat bermuafakat. Jika pucuk kepemimpinan memintanya berundur dan memberi laluan kepada yang lain, maka laksanakan arahan itu dengan ikhlas.

Kekuatan UMNO kini terlalu berpusat di peringkat Bahagian. Jawatan Ketua UMNO Bahagian adalah umpama ‘permata’ yang mahal harganya.

Jika sarungnya diperbuat daripada bahan tidak bermutu, permata itu akan terjatuh dan terpisahlah dengan sarungnya. Sewajarnya sarung itu hendaklah diperbuat daripada bahan-bahan yang berkualiti tinggi demi menjamin keselamatan permata itu. Sarung perlu ditukar ganti pada setiap penggal.

Kita sebenarnya tidak mahu melihat UMNO berkubur selama-lamanya selepas PRU-13 disebabkan kelemahan di peringkat Bahagian. Sudah sampai masanya kekuasaan di peringkat Bahagian itu diangkat ke Pusat. Biar kuasa Pusat yang menguasai Bahagian dan bukan sebaliknya.

Sudah tiba masanya gelaran warlords dalam UMNO dihapuskan. Biar jawatankuasa pusat yang menentukan kekuasaan di peringkat Bahagian. Struktur Perkhidmatan Awam Malaysia adalah yang terbaik untuk dicontohi, waima Pengarah Negeri sendiri terikat kepada Perintah Am di Pusat dan tidak terlalu berkuasa.

Jika kelemahan di peringkat Bahagian terus berlaku maka Kerusi Parlimen dan Kerusi-kerusi DUN di kawasan Parlimen tersebut akan runtuh dan mudah ditawan oleh parti-parti lawan yang tidak sekuat mana pun. Hakikat ini hendaklah dipandang serius oleh semua lapisan kepemimpinan dalam UMNO.

PRU-12 pada tahun 2008 hendaklah menjadi pengajaran yang sangat berguna untuk UMNO dan orang-orang Melayu amnya.

Kita berpendapat Ketua-ketua UMNO Bahagian tidak melihat perkara yang berbangkit ini merupakan masalah besar atau masalah nasional kerana ia dilalaikan oleh peluang-peluang ekonomi melalui projek-projek yang diperoleh mereka.

Benarkah, di sesetengah negeri pembangkang terdapat Ketua-ketua UMNO Bahagian lebih suka pembangkang memerintah selama-lamanya? Jika tidak, peluang-peluang ekonomi melalui projek-projek yang mereka peroleh daripada JPP selama ini berkemungkinan akan terjejas?

Jika apa yang dikatakan ini benar, anda semua lebih maklum bahawa kemenangan Pas atau PKR akan menyumbang dan membantu menguatkan lagi pengaruh politik DAP di peringkat nasional?

Saya menganggap DAP itu tidak ubah seperti seekor helang yang akan mengganas kepada bangsa Melayu siang dan malam jika ada peluang. Bacalah sejarah DAP dan falsafahnya.

Seperti apa yang telah diperkatakan di atas, kita harap Presiden UMNO, melakukan perubahan-perubahan tertentu.

Jawatan di peringkat UMNO Bahagian iaitu Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita UMNO Bahagian, Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Ketua Puteri UMNO Bahagian boleh dipegang oleh mana-mana ahli hanya dihadkan untuk tempoh penggal yang terhad.

Mana-mana jawatan dalam parti melalui pertandingan atau dilantik oleh parti hanya boleh dipegang tidak lebih dua jawatan dalam satu masa. Mana-mana ahli parti hanya dibenar bertanding untuk penggal terhad sahaja dalam mana-mana PRU atau Pilihan Raya Kecil (PRK), kecuali ia diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO untuk kekal bertanding melebihi penggal yang ditetapkan.

Semua calon yang akan dipilih untuk bertanding kerusi Parlimen dan Kerusi DUN pada mana-mana PRU atau PRK hendaklah diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO dalam mesyuaratnya.

Sebelum ini, pada hari pengumuman calon PRU di pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri berlaku kekecohan apabila nama- nama calon tidak dapat dimuktamad dan diumumkan sehingga ke saat-saat akhir. Nama-nama calon yang diumum tidak boleh diubah-ubah lagi di peringkat Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Sewajarnya nama-nama calon yang dipilih perlulah diumumkan sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal bagi memudahkan calon-calon itu mengatur strategi parti, dan tidak timbul akan berlaku sabotaj.

Sebenarnya sebelum ini banyak perkara berbangkit tidak didedahkan kepada umum demi menjaga nama baik dan imej UMNO. Malangnya UMNO tewas juga dan tidak menang secara mutlak pada PRU-12 yang lalu walaupun imejnya sentiasa dijaga rapi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121129/re_06/Transformasi-UMNO-Sudah-berubah-atau-belum#ixzz2DvQQTlPB
© Utusan Melayu (M) Bhd

***************

Walaupun mesej Presiden UMNO cukup jelas dan lantang, namun apakah 117 Bahagian UMNO ini akan akur dengan keputusan apabila tiba masa untuk calon mewakili BN menjelang PRU 13 nanti?

Kemungkinan, ada dikalangan pemimpin peringkat Bahagian akan berdalih sekiranya nama mereka tidak naik dalam senarai ‘winnable candiddates’, tatkala Pengerusi Perhubungan BN Negeri Negeri bertemu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk memperhalusi senarai calon calon yang akan ditawarkan sebagai pilihan apabila BN bertemu pengundi menjelang PRu 13.

“Sayalah paling layak sebagai ‘Winnable Candidates’. Semua AJK Bahagian mahukan saya. Majoriti AJK Bahagian mahukan saya. Parti komponen juga mahukan saya. Cawangan Khas kata saya paling layak. Laporan MIO juga kata saya paling layak. JASA juga kata saya yang paling popular”.

Pelbagai alasan akan diutarakan untuk memberi justifikasi bahawa pemimpin tertentu peringkat Bahagian merupakan penawaran UMNO paling baik kepada pengundi, walaupun ianya tidak memberikan gambaran bahawa parti itu sedia untuk di’remaja’kan.

“Parti belum bersedia. Mungkin pada PRU 14 parti lebih sedia (untuk menawarkan muka baru)”.

Alasan mereka yang rasa sudah berkhidmat kepada parti setelah sekelian lama perlu terus di’kenang dan balasi’ dengan mengekalkan mereka dalam jawatan merupakan modal banyak pihak.

“Dah lama berjuang untuk parti. Parti perlu pertimbangkan, banding dengan mereka yang baru”.

Semasa sessi sembang sembang semasa PAU 2012, soalan calon PRU 13 dijadikan sebagai modal dalam pelbagai sudut disekeliling PWTC/Hotel Seri Pacific/Legend/The Mall. Nama nama potensi calon diutarakan sebagai calon mengundang pelbagai reaksi.

“Saya rasa, kalau siPolan itu bertanding, rakyat tak terima dia”, ulas seorang Mantan YB.

“Siapa yang Dato’ rasa yang akan menang kalau diketengahkan?”

“Sayalah!”

Apakah pemimpin pemimpin peringkat Bahagian ini bersedia untuk memberikan laluan kepada calon baru, untuk diketengahkan UMNO sebagai mewakili BN tatkala bertemu pengundi dan jentera peringkat Bahagian UMNO akan digerakan 100% untuk memenuhi hasrat bagi menentukan kejayaan BN? Atau akan berlaku sabotaj, termasuk tidak memberikan usaha 100% bagi menjayakan kemenangan BN?

Timbalan Presiden UMNO sudahpun memberikan amaran bahawa mereka yang dilihat sebagai ‘sabotaj’ proses kempen semasa PRU13 akan diambil tindakan keras. Bentuk tindakan belum diputuskan lagi. Namun, sekiranya UMNO serious, tindakan yang akan diambil perlu melebihi dari setakat memecat keahlian mereka. Paling penting, amaran keras itu perlu diulangi agar semua ahli UMNO sedar bahawa mekanism parti amat serious dalam menangani masalah yang menjadi musuh utama UMNO.

Dalam siri pertemuan dengan pemimpin peringkat Bahagian, Mantan Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad juga menekankan kesediaan parti untuk mengambil tindakan bagi mereka yang bukan sahaja tidak mensabotaj parti, malah mereka yang tidak menyokong keputusan parti.

Amat malang sekiranya ugutan tindakan displin parti perlu dijadikan senjata untuk menentukan UMNO di’remaja’kan. Namun, keutamaan strategik untuk menentukan agenda menjaga kepentingan orang Melayu itu perlu menyerlah dari kepentingan individu, termasuk pemimpin peringkat Bahagian walaupun sudah mencurahkan tenaga dan jasa kepada parti untuk sekelian lama.

UMNO lahir dari perjuangan nasionalis yang meletakkan kepentingan Bangsa Melayu, membatasi kepentingan peribadi. Mereka dan pejuang pejuang yang memungkinkan Kemerdekaan dicapai dan diisi merupakan pendukung perjuangan yang lahir dari pengorbanan. “Perjuangan itu tidak ada erti tanpa pengorbanan”, kata kata keramat Tan Sri Dr Nordin Kardi semasa menyuntik semangat nasionalism kepada penulis.

Hakikatnya, seluruh warga UMNO perlu membuktikan ‘Perjuangan yang dilandaskan pengorbanan ini’ pada kesediaan untuk memberikan 100% terutama pada ujian besar PRU13. Ini termasuk melaksanakan disiplin parti secara mutlak, tanpa sebarang pengecualian.

Published in: on December 2, 2012 at 23:49  Comments (16)