Striking the balance between journalism, patriotism and commercialisation of media reporting

Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin reminded the journalism profession to stay true to their ethics and integrity of professional conduct, amidst mounting pressure to balance between journalism, patriotism and media being commercialised.

TEKS UCAPAN

Y.A.B. TAN SRI DATO’ HJ. MUHYIDDIN BIN HJ. MOHD YASSIN

TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

MALAM WARTAWAN MALAYSIA 2014

ANJURAN MALAYSIAN PRESS INSTITUTE (MPI)

JUMAAT, 18 APRIL 2014

DI HOTEL ONE WORLD, PETALING JAYA

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Yang Berhormat Dato Sri Shabery Cheek,

Menteri Komunikasi dan Multimedia

Tuan Arif Mahmood

Naib Presiden Kanan, Perancangan Strategik Korporat Kumpulan Petronas

Yang Berbahagia Dato Chamil Wariya

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia

Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-puan sri, Dato-dato, Datin-datin, Dato-dato ketua-ketua pengarang dari pelbagai media, pengamal-pengamal media, tuan-tuan dan puan-puan sekelian

1. Alhamdulillah, pertama-tama marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapat kita bertemu pada malam ini bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2014.

2. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysian Press Institute (MPI), selaku penganjur majlis ini, kerana sudi mengundang saya sebagai tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2013 tajaan PETRONAS sebentar lagi.

3. Bagi saya, penganjuran Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) yang diperkenalkan pada 1980 dan mula ditaja oleh PETRONAS pada 1994 adalah satu usaha murni yang mempunyai matlamat tersurat dan tersirat yang tersendiri dalam mengangkat bidang kewartawanan di negara kita.

4. Secara tersurat, Malam Wartawan Malaysia bukan sahaja diadakan untuk mengiktiraf karya-karya terbaik para wartawan di Malaysia tetapi ia juga menjadi lambang semangat setiakawan yang tinggi dalam kalangan pengamal media di negara ini. Kehadiran para peneraju media dan para supremo editorial pada majlis tahunan ini adalah testimoni nyata hakikat itu.

5. Saya percaya masing-masing berkongsi matlamat yang sama iaitu mahu meraikan kejayaan para wartawan dan jurugambar merangkul anugerah serta membawa pulang hadiah, walaupun kejayaan itu belum tentu lagi milik organisasi mereka. Tetapi atas nama untuk mengangkat profesion wartawan dan meningkatkan mutu karya-karya mereka seperti yang diserlahkan pada malam ini, ternyata mereka nampaknya bersatu hati.

6. Hadiah Kewartawanan Malaysia juga adalah satu wahana untuk mencapai matlamat tersirat kewartawanan kita iaitu untuk memupuk kewartawanan yang bertanggungjawab atau responsible journalism berpaksikan acuan kita sendiri dalam kalangan pengamal media di negara ini.

7. Dalam perjalanan kita untuk membina sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, stabil, aman, makmur dan berjaya, peranan kewartawanan yang bertanggungjawab ini adalah amat penting.

8. Namun saya harus akui bahawa mencapai matlamat tersirat ini adalah lebih payah berbanding memenuhi hasrat tersurat HKM. Barangkali analoginya adalah membina jauh lebih sukar berbanding menghancurkan.

9. Kewartawanan bertanggungjawab adalah untuk membina, menjaga dan memelihara apa yang telah kita bina sedangkan kewartawanan tidak bertanggungjawab adalah sebaliknya – memusnahkan.

10. Bagaimanapun, apa yang melegakan dan membanggakan saya adalah komuniti wartawan di negara ini, terutama dalam kalangan media arus perdana, mempunyai komitmen yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan prinsip kewartawanan yang bertanggungjawab sebagai pegangan mereka.

11. Hal ini dapat kita saksikan dalam laporan mereka sewaktu kita menghadapi tragedi kehilangan pesawat MH370 yang sehingga sekarang masih kekal misteri, walaupun sudah memasuki hari yang ke-42 hari ini.

Saudara-saudari sekalian

12. Tragedi MH370 itu telah menarik perhatian media seluruh dunia pada tahap yang belum pernah kita saksikan sebelum ini. Boleh dikatakan sejak 8 Mac 2014 sehinggalah ke hari ini, kehilangan MH370 serta usaha kita mencari dan menyelamat serta cara kita menguruskan krisis itu menjadi makanan ruji liputan media global.

13. Boleh saya katakan laporan mengenai MH370 pada era moden ini lebih mendalam, lebih intrik, lebih misteri, lebih sofistikated, dan jauh lebih komprehensif berbanding dengan laporan media dalam tragedi-tragedi bersejarah lain dan sebanding dengan kisah tenggelamnya kapal RMS Titanic di utara Lautan Atlantik pada 15 April 1912.

14. Ketika tragedi itu berlaku kira-kira 102 tahun lalu, Titanic yang dalam pelayaran dari Southampton, United Kingdom ke New York, Amerika Syarikat membawa 2,224 penumpang dan anak kapal. Dalam tragedi itu, lebih 1,500 orang terkorban. Kisahnya menjadi berita besar di seluruh dunia pada era ketika dunia hanya dihubungkan dengan telegraf dan telefon berwayar.

15. Misteri kehilangan pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Beijing, China pula telah menarik perhatian komuniti jurnalisme global, daripada akhbar-akhbar, stesen televisyen dan radio serta portal berita di seluruh dunia.

16. Apabila kita meneliti kembali pendekatan kewartawanan dalam pelaporan MH370, kita akan dapati bahawa apa yang dipanggil standard antarabangsa dalam jurnalisme adalah sesuatu yang abstrak, tidak seragam dan tidak konkrit. Sebenarnya, tiada satu panduan yang jelas tentang standard tersebut.

17. Yang tergambar dalam laporan wartawan dan pengamal media mengenai tragedi MH370 ialah elemen patriotisme kumpulan wartawan dari negara-negara yang terlibat dalam pencarian MH370.

18. Wartawan Amerika Syarikat dengan caranya, China dengan pendekatannya, Australia dengan gayanya, tetapi semua wartawan daripada organisasi media yang berbeza itu diikat dengan suatu unsur psikologi yang sama. Mereka bersaing memaparkan kebenaran dengan objektif untuk mengekalkan rating bisnes media, tetapi pada masa yang sama menyerlahkan aspirasi nasional masing-masing.

19. Berdasarkan tingkah laku yang ditunjukkan oleh media-media dari pelbagai negara dalam melaporkan kehilangan MH370, kita harus sedar bahawa kepelbagaian itu adalah sesuatu yang bersifat global. Jadi, janganlah kita terikut-ikut dengan momokan kononnya wujud keseragaman atau standard tertentu kewartawanan. Kononnya set nilai antarabangsa perlu dipatuhi dan dilaksanakan oleh wartawan tempatan di mana-mana negara termasuk di Malaysia.

20. Saya harus menggunakan kesempatan pada Malam Wartawan Malaysia ini untuk memberi pujian dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua wartawan dan media Malaysia yang terlibat dalam laporan tragedi antarabangsa kehilangan MH370.

21. Anda semua telah memainkan peranan masing-masing dan menjadi penyumbang kepada pembinaan negara bangsa. Adalah jelas bahawa kita bergerak melaksanakan tanggungjawab kepada audiens – dalam bentuk menyampaikan maklumat serta berjuang memaparkan kebenaran -dengan suatu kesedaran nasional.

Saudara-saudari yang dihormati,

22. Saya berharap wartawan di Malaysia sentiasa mempertahankan kepentingan nasional dan bumi yang kita pijak.

23. Akan ada usaha-usaha untuk mendominasi perdebatan mengenai isu-isu yang berlaku dengan sudut pandangan negatif oleh pihak-pihak tertentu dari dalam negara dan juga dari seberang laut, tetapi saya yakin media dan wartawan di Malaysia telah cukup matang untuk menanganinya.

24. Saya yakin komuniti media di Malaysia bersatu hati dalam tugas-tugas memperjuangkan kewartawanan yang kompeten, memiliki jati diri dan progresif.

25. Wartawan Malaysia tidak boleh lagi berasa apologetik apabila mempertahankan kepentingan nasional, kerana seperti yang telah diperlihatkan, media di negara lain juga mempertahankan kepentingan nasional negara masing-masing.

26. Menjadi responsif kepada kepentingan nasional dan memajukannya adalah sebahagian daripada karakter media global.

27. Apatah lagi dengan peledakan perkembangan teknologi informasi komunikasi maklumat, dunia jurnalisme yang menyaksikan kemunculan akhbar-akhbar dalam talian, penyebaran berita melalui twitter juga facebook, maka cabaran mempertahankan agenda nasional sesungguhnya menjadi amat besar. Portal-portal berita dan juga sosial media mengemaskini berita mereka hampir setiap minit. Aliran maklumat menjadi terlalu pantas, informasi samada yang sahih atau tidak disebar kepada orang awam dengan sekelip mata sehingga ada kalanya tidak memberi ruang kepada otak pembaca untuk mencerna intipati yang disampaikan.

28. Saya percaya biar secanggih mana pun teknologi yang digunakan dalam dunia kewartawan baik di media cetak, elektronik mahu pun portal-portal berita, etika serta tanggungjawab anda sebagai wartawan tidak pernah berubah. Arus pemodenan tidak boleh menyanggah prinsip asas pemberitaan yang hakikatnya bersifat universal dan terpakai dahulu, kini dan selama-lamanya. Berita yang ditulis tidak boleh semberono, mesti berpaksikan fakta dan paling penting adil kepada subjek yang ditulis. Kesungguhan untuk memartabatkan profesion kewartawanan dalam menyampaikan maklumat yang adil, tepat, jujur dan sahih harus diberi tumpuan dan penekanan yang jitu.

29. Tuntutan itu sejajar dengan peranan wartawan sebagai cerdik pandai yang tahu apa sebenarnya yang mereka ingin sampaikan. Terlalu ghairah menulis berita tanpa ada usaha untuk memastikan kesahihan fakta dan membiarkan maklumat tersebut sampai kepada pembaca adalah menyalahi etika dan boleh merosakkan profesion sebagai wartawan. Jangan jadi wartawan kering minda atau pun wartawan yang popular kerana menulis berita-berita tidak benar, mengejar sensasi dan didorong oleh agenda tertentu yang kemudiannya tanpa ada rasa bersalah menyebarkan pula kepada pembaca.

30. Peranan media bukan sekadar menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat, malah media juga melibatkan diri dalam pendidikan, perkembangan ekonomi negara, politik semasa, kebudayaan dan hiburan. Tanggungjawab media dalam menyampaikan informasi, mendidik, membentuk jati diri masyarakat dan seterusnya menjadi agen transformasi minda dalam kalangan masyarakat sehingga membentuk sesebuah masyarakat itu yang lebih bermoral, bermaruah dan berdaya saing merupakan prinsip yang harus dipegang teguh oleh pengamal media.

Saudara-saudari yang dihormati,

31. Berada bersama rakan-rakan wartawan pada majlis ini memberikan saya kegembiraan kerana saya dapat merakamkan sendiri penghargaan kepada wartawan dan pengamal media yang begitu banyak membantu pembangunan negara serta menjadi pengkritik yang membina selama ini.

32. Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada MPI kerana berjaya menganjurkan Malam Wartawan Malaysia 2014.

33. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang yang telah berjaya menghasilkan karya-karya cemerlang dalam pelbagai genre penulisan. Semoga pengiktirafan malam ini dapat meningkatkan lagi kualiti kewartawanan tanah air. Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu’alaikum wbt. Terima kasih.

-end-

************

This message came in the episode over-zestful reporting by media, especially foreign, in the globally shocking yet highly mysterious disappearance of Malaysia Airlines B777-200 scheduled flight to Beijing MH370 on the early hours of 8 March 2014.

Published in: on April 18, 2014 at 21:00  Leave a Comment  

The URI to TrackBack this entry is: https://bigdogdotcom.wordpress.com/2014/04/18/striking-the-balance-between-journalism-patriotism-and-commercialisation-of-media-reporting/trackback/

RSS feed for comments on this post.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: