Phase II, ‘Carve Out and Compete’

Prime Minister Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak announces the Second Phase of the Bumiputra Transformation Economic Roadmap (BTER) as part of the Bumiputra Agenda, which encompass the strategy of ‘Carve Out and Compete’.

Five main thrusts define the strategy;

  1. Economies and scale and passage to grow. Bumiputra corporations would be supported, facilitated and encouraged to grow into the market.
  2. Empowering the talents of Bumiputra. Government would make it a national agenda to facilitate and support the building of talents amongst Bumiputra, in any fields be it academic, commercial, science and technology, professional, arts and culture and sports
  3. Improve the resilience of Bumiputra entrepreneurs. Special programs such as Skim Jejak Jaya Bumiputra identify highly potential Bumiputra companies and being nurtured with the target to be listed in Bursa Malaysia.
  4. Enabling the social mobility amongst Bumiputra. Bumiputra entrepreneurs would be facilitated and supported to explore and strengthen their trade beyond our waters, as part of the social mobility transformation plan with increasing the quality of life to another level.
  5. The holistic transformation for the Bumiputra

‘Carve Out and Compete’ is basically to carve out portion of the economic cake to be set aside for Bumiputra entrepreneurs and they would utilise this opportunity to grow and compete their trade for their keep.

It is sophisticated affirmative action as a multiplication effect for Bumiputra entrepreneurs to make up for the opportunity available in the market and further on, explore elsewhere.

Prime Minister Najib earlier said that since the Transformation Agenda was first laid and realised, the household income of a Bumiputra family 2012-2014  had risen by 24%.

He also stressed to ensure the interests of the Bumiputra, be it in the urban or rural, Muslim or Non Muslim, would continuously be looked after and transformed, with no expense to any quarters.

It is not just a ‘Bumiputra Agenda’ but actually, ‘National Agenda’.

The full text of Prime Minister Najib’s speech:

  • Sila Semak Semasa Penyampaian

    UCAPAN OLEH

    YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK

    PERDANA MENTERI MALAYSIA

    MAJLIS PELANCARAN

    HALATUJU TRANSFORMASI EKONOMI BUMIPUTERA 2.0

    PADA 19 APRIL 2017 (RABU), PUKUL 3.30 PETANG

    DI DEWAN UTAMA, PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR (KLCC)

    KUALA LUMPUR

    —————————————————————————————

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi Nastai’n,

Ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW,

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera, Salam Negaraku dan Salam 1Malaysia,

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi;

Timbalan Perdana Menteri,

 

Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahman Dahlan;

Menteri di Jabatan Perdana Menteri,

 

Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri,

 

Ahli-ahli Majlis Ekonomi Bumiputera,

 

Yang Berbahagia Dato’ Husni Salleh;

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU,

 

Seterusnya, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

 

  1. Pertama sekali, marilah sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Hu Taa’la, di atas limpah Izin dan KurniaNya, dapatlah kita berhimpun pada petang yang berbahagia ini, di Dewan Utama Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bagi menjayakan satu majlis yang amat bererti kepada Bumiputera, Malaysia.

 

  1. Sesungguhnya, saya diberitahu, di hadapan saya ini antaranya terdiri daripada lebih kurang 1,500 orang hadirin, yang majoritinya merupakan direct beneficiaries atau penerima langsung manfaat kepada program-program Kerajaan, atau dalam ertikata lain, tuan-tuan dan puan-puan adalah saksi dan bukti terhadap pelbagai usaha Kerajaan, dalam memperkasakan Agenda Bumiputera.

 

  1. Makanya, program hari ini, sebenarnya adalah susulan daripada inisiatif Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera pada tahun 2011, yang kemudiannya diperkukuhkan lagi dalam satu majlis bersejarah pada 14 September 2013, iaitu Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

 

  1. Sebelum saya berbicara lebih lanjut, elok dihimbau daripada segi sejarahnya, dasar berkaitan Bumiputera yakni Dasar Ekonomi Baru yang lebih dikenali sebagai DEB, telah digagaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, pada tahun 1971.

 

  1. Dasar ini telah terbina sebagai satu instrumen untuk mengimbangi jurang antara kaum yang meruncing ketika itu sehingga terjadinya rusuhan, baru kira kira 12 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan.

 

  1. Realitinya, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, walaupun dasar ini telah berlangsung secara rasminya sehingga awal 1990an, namun secara umumnya, bukan sahaja roh dan semangat, bahkan prinsip serta falsafah DEB masih kekal membara dan berhembus segar, terus dilaksanakan sehingga ke hari ini.

 

  1. Di era 1990an, membawa kepada tahun 2010, pelbagai wawasan, dasar dan misi Nasional, telah terus berkesinambungan, melaksanakan Agenda Bumiputera.

 

  1. Justeru, selepas saya mengambil alih kepimpinan negara selaku Perdana Menteri, saya melihat inisiatif, prakarsa dan perjuangan terhadap kepentingan Bumiputera, sewajibnya terus menjadi Agenda Utama.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Sesungguhnya, justifikasi kepada kenapa pihak Kerajaan mesti prihatin dan memikul tanggungjawab yang besar terhadap Agenda Bumiputera, adalah kerana menurut statistiknya, terkini, daripada segi jumlah kependudukannya pun, masyarakat Bumiputera mewakili seramai 6 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah 31.7 juta orang.

 

  1. Diunjurkan pula, jumlah ini akan mencecah 69.1 peratus, kira-kira 3 tahun dari sekarang, dan apabila tibanya tahun 2030, akan mencapai 7 peratus.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Bercakap tentang Bumiputera dan tuntutan untuk memelihara kepentingannya, ia sangat jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan antaranya melalui Perkara 153, yang menyebut bahawa, hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Bumiputera, baik di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak,…

 

mesti dilindungi, mesti dipelihara dan semestinya dipertahankan sampai bila-bila.  

 

  1. Oleh itu, adalah amat wajar bagi pihak Kerajaan, yang ditunjangi oleh UMNO dan Barisan Nasional, bukan sahaja untuk terus memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu serta Bumiputera Islam dan bukan Islam, bahkan kekal memartabatkannya sebagai Agenda Nasional.

 

  1. Namun demikian, pihak Kerajaan sentiasa beringat-ingat bahawa, dalam memperjuangkan Agenda Bumiputera, ia bukan bermakna kita sewenangnya boleh mengambil hak orang lain. Sebaliknya, secara beriring-iring dan selari, Kerajaan wajib menjaga kepentingan sah kaum-kaum yang ada di negara ini.

 

  1. Begitulah dengan berpegang kepada prinsip-prinsip tersebut dan juga hasil daripada pelbagai dasar, kita telah menyaksikan bagaimana sejak tahun 1970, kadar kemiskinan yang dahulunya pada tahap 3 peratus, telah berkurangan kepada 3.8 peratus pada tahun 2009, dan terus menyusut kepada 0.6 peratus pada tahun 2014.

 

  1. Yang lebih membanggakan kita, atas segala usaha Kerajaan Barisan Nasional sejak berpuluh-puluh tahun, dan suka saya ulangi dalam ucapan di mana-mana bahawa, faktanya,… kemiskinan tegar di Malaysia,… kini telah hampir disifarkan kesemuanya.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Bercakap tentang hal Bumiputera, sejak mencapai kemerdekaan, Kerajaan telah berjaya mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi, demi kepentingan Melayu serta Bumiputera antaranya, Lembaga Tabung Haji, FELDA, RISDA, FELCRA, UDA, DARA, JENGKA, KETENGAH, KESEDAR, MARA dan UiTM.

 

  1. Ternyata, institusi-institusi Bumiputera ini telah berjaya membawa banyak manfaat kepada pemerkasaan ekonomi dan pendidikan Bumiputera.

 

  1. Sebagai contohnya, Lembaga Tabung Haji Malaysia yang telah diiktiraf sebagai institusi terbaik dalam pengurusan haji dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif oleh kebanyakan negara Islam di dunia.

 

  1. Menyentuh hal perjuangan agenda Bumiputera di bidang pendidikan pula, pastinya, kita tidak dapat tidak, terus mengangkat tinggi Universiti Teknologi Mara. Apa yang ingin saya tegaskan ialah, Kerajaan terus tegar dalam memperjuangkan agenda pendidikan Bumiputera.

 

  1. Justeru, Kerajaan mensasarkan supaya pengambilan pelajarnya mencapai seramai 250 ribu orang menjelang tahun 2020. Setakat bulan November 2016 sahaja, bilangan pelajarnya telah mencecah lebih 165 ribu orang, di 36 kampus UiTM seluruh negara.

 

  1. Apa yang paling membanggakan kita, UiTM sebagai institusi Bumiputera, telah berjaya melahirkan seramai lebih 700 ribu graduan anak-anak Melayu dan Bumiputera yang berjaya, antaranya menjadi golongan profesional dan teknokrat di pelbagai bidang serta sektor. Semoga terus maju jaya dan tahniah kepada UiTM!

 

  1. Tidak terhenti setakat itu, melalui program Jelajah Pendidikan Bumiputera, kita telah berjaya membantu 37,324 orang pelajar Bumiputera yang tercicir, miskin dan kurang berkemampuan, untuk menyambung pendidikan ke peringkat pendidikan tinggi.

 

  1. Bahkan, pada tahun ini, saya mahukan sekurang-kurangnya, seramai 50 ribu lagi pelajar Bumiputera dibantu melalui inisiatif ini. Program ini melibatkan usaha pencarian hingga ke desa-desa, demi membela untung nasib anak-anak Bumiputera di pedalaman.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Seperti yang ramai maklum, dalam era pentadbiran Kerajaan sekarang ini pula, kita telah memperkenalkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN semenjak tahun 2010.

 

  1. Dasar ini, memayungi terutamanya, Program Transformasi Nasional atau NTP yang bersifat inklusif, sebagai pemangkin untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju High Income Advanced Economy dalam tempoh beberapa tahun lagi.

 

  1. Di bawah DTN juga, terdapat antara lain, Program Transformasi Kerajaan dan Ekonomi, Program Transformasi Politik serta Program Transformasi Sosial.

 

  1. Jika kita andaikan secara metafora, seperti yang boleh dilihat di layar putih, framework atau kerangka utama membina kejayaan Malaysia, bumbungnya adalah Dasar Transformasi Nasional, yang dipancang oleh tiang-tiang seri atau tonggak-tonggak yang menunjang DTN, seperti saya sebutkan tadi.

 

  1. Seluruh struktur ini, berlantaikan pula, kemajmukan rakyat yang berpegang kepada prinsip dan falsafah 1Malaysia.

 

  1. Jadinya, pada hemah saya, bertolak daripada itu, sebarang dasar yang melibatkan Bumiputera, tidak boleh menjadi satu program yang bersifat tersendiri, terasing atau stand alone. Dalam ertikata, bukan juga hanya menjadi salah satu tiang yang menonggak Dasar Transformasi Nasional.

 

  1. Lalunya, sekali lagi, jika kita melakarkan ibarat, dasar dan Agenda Bumiputera, sewajibnya terangkum serta bersifat all encompassing yakni merentasi setiap daripada tiang-tiang utama yang menjunjung Dasar Transformasi Nasional.

 

Tuan-tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Menelusuri proses pembikinan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa, yang berdaulat lagi merdeka, kita telah bertatih, bertapak dan berjalan jauh selama 60 tahun ini, membangunkan negara ini melalui pelbagai dasar, rancangan serta inisiatif tanpa kunjung jemu.
  2. Kita bermula sebagai sebuah negara yang kecil, berasetkan kemajmukan rakyat, bergantung kepada hasil pertanian, bahkan kenangan manis Belanjawan pertama negara pabila dibentangkan, hanya pada nilai 888 juta. Sekarang, setelah 6 dekad berlalu, Bajet 2017 menyaksikan telah meningkat sebanyak hampir 300 kali ganda nilainya iaitu, 8 bilion ringgit.

 

  1. Seterusnya, jika dibandingkan dengan Laporan Tahunan Program Transformasi Nasional, yang akan masuk tahun keenam pembentangannya tanggal 23 Mei 2017 nanti, inisiatif Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dimulakan pada tahun 2011, kini telah memasuki fasa kedua dari tahun 2017 sehingga tahun 2025, yakni sekitar 8 tahun dari sekarang.

 

  1. Justifikasinya, jika kini, pada keseluruhan nilaian ekonomi dan dagangan semasa negara, yakni 3 trilion ringgit, kek penyertaan, kekayaan dan penglibatan Bumiputera di bidang ekonomi, menurut laporan Unit Perancang Ekonomi atau EPU, sejak 2012 hingga 2014, kadar kenaikan purata pendapatan kasar isi rumah Bumiputera adalah sebanyak 24.5 peratus, lebih tinggi dari kadar kenaikan purata pendapatan kasar negara.

 

  1. Melihat kepada peratusan ini, bagi tahun-tahun yang mendatang, dalam istilah yang mudah, apa yang saya ingin lihat tentang kedudukan dan pencapaian ekonomi Bumiputera, adalah bertolak dari mana kita berada sekarang, dan ke manakah halatuju selanjutnya, berbanding dahulu.

 

  1. Oleh itu, sebagai langkah memperkasakan agenda Bumiputera, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadi sebuah ekonomi 2 trilion ringgit menjelang 7 hingga 8 tahun dari sekarang, maka pada hari ini, selain daripada kita melaporkan kisah-kisah kejayaan, kita akan melancarkan satu lagi inisiatif yang besar oleh TERAJU iaitu, Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0.

 

KEJAYAAN DAN PENCAPAIAN EKONOMI BUMIPUTERA SEJAK 2011

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Justeru kini, saya ingin melaporkan kisah-kisah kejayaan Bumiputera sebentar lagi, yang telah dilakar melalui pelbagai inisiatif TERAJU, selaku Agensi Pelaksana kepada Majlis Ekonomi Bumiputera sejak ia ditubuhkan.

 

  1. Seperti yang disebutkan, pada tahun 2011, saya telah melancarkan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera, yang mempunyai dua matlamat penting iaitu pertama, memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara melalui penciptaan kekayaan dan keduanya, penyertaan seimbang dalam guna tenaga bidang bernilai tinggi serta pembangunan keusahawanan.

 

  1. Dalam Fasa Pertama inisiatif Bumiputera di bawah DTN ini, antaranya lahirlah inisiatif Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi atau TERAS, Dana Mudah Cara dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera. Alhamdulillah, kerana inisiatif ini telah membuahkan pelbagai kejayaan.

 

  1. Menerusi program TERAS sebanyak 1,014 buah syarikat telah diberikan sokongan dalam bentuk pembinaan kapasiti dan sokongan pembiayaan.

 

  1. Di bawah program ini, Kerajaan telah mewujudkan Dana TERAS bercagarkan 332 juta ringgit, dan telah menarik penyertaan lima buah institusi iaitu SME Bank, RHB Islamic, Maybank, MIDF dan Malaysian Debt Ventures, yang memberi serta menggandakan kemudahan pembiayaan kepada 14 bilion ringgit.

 

  1. Suka saya maklumkan sehingga Mac 2017, sebanyak 306 buah syarikat TERAS telah menerima kelulusan pembiayaan bagi pembelian aset dan modal kerja bernilai 3 bilion ringgit.

 

  1. Dalam hal ini, saya ingin menceritakan dua kisah kejayaan syarikat TERAS, iaitu System Consultancy Services Sdn Bhd atau SCS, yang telah berjaya memecah monopoli syarikat luar negara dalam perkhidmatan IT yang berkaitan tentang industri pertahanan.

 

  1. Begitu jugalah kepada AUEI Teras Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat pembangunan dan pelaburan hartanah dari Kota Bharu, Kelantan, yang bermula hanya mengendalikan projek bernilai lebih 25 juta ringgit, telah melonjak kepada lebih 300 juta ringgit.

 

  1. Tepukan syabas kepada Pengarah Urusan kedua-dua syarikat tersebut iaitu, saudara Mat Asis Mahnoon dan saudari Rita Sarbani binti Ismail!

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Selanjutnya, Dana Mudahcara adalah satu insentif bagi menggalakkan pelaburan swasta Bumiputera yang mana sebanyak 469 buah projek telah mendapat kelulusan pembiayaan.

 

  1. Hasilnya, syarikat-syarikat Bumiputera tersebut telah membuat pelaburan domestik bernilai 18 bilion ringgit iaitu 8.4 kali ganda dari nilai geran yang diberikan oleh Kerajaan, sekaligus mewujudkan lebih 43 ribu peluang pekerjaan.

 

  1. Sebagai contoh syarikat SMR Aquaculture Sdn Bhd telah menerima geran sebanyak 6 juta ringgit, untuk menjalankan perniagaan serampang 3 mata iaitu akuakultur, pertanian hidroponik dan pengeluaran tenaga solar di Tawau, Sabah.

 

  1. Projek yang bernilai 35 juta ringgit ini akan merangsang industri pelancongan Sabah dan mewujudkan peluang pekerjaan. Justeru, marilah kita berikan tepukan tahniah kepada saudara John Nip yang berketurunan Sino-Kadazandusun!

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Manakala dalam hal kejayaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera pula, bermatlamat untuk memberi peluang kepada pelajar Bumiputera mendapatkan pendidikan dan pekerjaan lebih baik.

 

  1. Misalannya, saya begitu tersentuh dan berasa bangga dengan pencapaian Adik Auni Wadhiah Azahar, pelajar berumur 15 tahun, dari SMK Agama Dato’ Haji Abbas, Terengganu, kini tinggal bersama ibunya, yang berpendapatan 700 ringgit sebulan sebagai tukang jahit.

 

  1. Namun melalui program Peneraju Tunas Geliga, Alhamdulillah, pada tahun 2016, atas kegigihannya telah berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 11A di dalam peperiksaan PT3. Marilah kita berikan tepukan tahniah dan Selamat Maju Jaya kepada Adik Auni!

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Melalui sidang Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada tahun 2013, lahirnya pula antara yang terpenting adalah Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB, Skim Permulaan Ekonomi Bumiputera atau SUPERB dan Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

 

  1. Sebagai membuktikan komitmen Kerajaan terhadap agenda Bumiputera, MEB yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan kita telah menetapkan ia bersidang sekurang-kurangnya setiap sebulan sekali dan jika berkeperluan lebih dari sekali, dengan memanggil pelbagai pihak Bumiputera yang berkepentingan menurut isu yang berbangkit untuk dibincang serta diselesaikan.

 

  1. Demikianlah tingginya martabat yang diletakkan oleh Kerajaan pimpinan saya, terhadap ehwal Bumiputera, kerana dalam hierarki kekerapan mesyuarat utama selepas Kabinet, saya letakkan mesyuarat berkaitan Bumiputera.

 

  1. Malah, tidak pernah diperbuat sebelum daripada ini, ditubuhkan Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di semua 24 kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri.

 

  1. Bahkan, saya telah mengarahkan agar agenda Bumiputera menjadi pertimbangan penting pada sebarang keputusan GLC dan GLIC.

 

  1. Menerusi SUPERB yang memperuntukkan sejumlah 100 juta ringgit sebagai modal permulaan, setakat ini telah berjaya membantu seramai 125 orang anak muda di bawah umur 40 tahun, merealisasikan idea perniagaan mereka yang inovatif, dengan jumlah keseluruhan geran bernilai 5 juta ringgit.

 

  1. Saya mahu mengambil contoh kejayaan saudara Muhamad Nuruzon Wagiman, berusia 26 tahun yang berasal dari Muar, Johor.
  2. Beliau telah menubuhkan Nuruzon Technology Resources Sdn Bhd dengan membina sebuah bengkel yang lebih bersistematik dan mempunyai O.P. dalam pembuatan jentera gerabak. Kepada anak muda berjiwa kental ini, syabas diucapkan!

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

 

  1. Melalui kedua-dua Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada tahun 2011 dan 2013 tersebut, Alhamdulilah, setakat Mac 2017, sejumlah 108 bilion ringgit berjaya dijana melalui kesemua inisiatif Bumiputera.

 

  1. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 80 bilion ringgit adalah daripada peluang perniagaan Bumiputera, khususnya 54 bilion ringgit melalui dasar “Carve-out and Compete.”

 

  1. Contoh terbaik Carve Out and Compete yang ingin saya kongsikan adalah kejayaan fasa pertama projek InfraRakyat mega yakni MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer.

 

  1. Bagi projek MRT Fasa 1 sahaja, daripada nilai pakej pembangunan projek 2 bilion ringgit, sebanyak 51 peratus telah diberikan kepada kontraktor Bumiputera.

 

  1. Mustahaknya tuan-tuan dan puan-puan, dalam penganugerahan kontrak atau tender, if we choose the right Bumiputera, dalam erti kata bukan sekadar atas dasar kawan mahupun kroni, tetapi kalau kenalan sekalipun, mestilah Bumiputera yang berdasarkan merit dan kebolehan.

 

  1. Ini akan mempastikan kontraktor berjaya menyiapkan projek mengikut jadual dan menepati bajet kos pembinaan yang ditetapkan.

 

  1. Bahkan, Kerajaan komited untuk menyediakan 50 peratus tempat-tempat perniagaan baru lain yang strategik seperti di stesen-stesen MRT, sebagai memberi ruang dan membuka peluang kepada usahawan Bumiputera. Tidak lagi di tempat-tempat yang gelap, tersorok dan langsung tidak mempunyai daya komersial.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Lantaran demikian, pada perjumpaan penuh bermakna lagi bersejarah ini, kita akan menongkah Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang selanjutnya.

 

  1. Pucuk pangkalnya, kita tidak boleh berhenti setakat ini atau berasa selesa dan berpuas hati berada pada takuk yang sama, iaitu menjadi jaguh kampung semata-mata.

 

  1. Untuk itu, hasil dapatan daripada Makmal Sindikasi Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0, beberapa penambahbaikan telah diterima dan akan diberi pertimbangan.
  2. Lantaran itu, bagi membawa komuniti dan usahawan Bumiputera yang lebih berfokus, berdaya maju, kreatif serta inovatif dan bersedia untuk bersaing di peringkat global, pada petang ini saya ingin membentangkan satu lembaran berwajah baharu kepada perjuangan memperkasakan Agenda Bumiputera, yang saya namakan sebagai,… Transformasi Kesejahteraan Bumiputera atau TKB.

 

  1. Kenapa T.K.B.,…? Kerana jika sebelum ini, Agenda Bumiputera lebih tertumpu kepada sudut ekonomi sahaja.

 

  1. Maka, pada hari ini, apa yang saya mahukan ialah Transformasi Kesejahteraan Bumiputera ini bersifat inklusif atau terangkum lagi holistik.

 

  1. Maksudnya di sini, dalam membela dan memperkasakan Agenda Bumiputera, ia tidak terhad kepada bidang-bidang tertentu seperti ekonomi semata-mata,…

 

  1. Bahkan lebih mustahak dan jauh daripada itu, Transformasi Kesejahteraan Bumiputera ini, turut merangkumi segenap aspek Kesejahteraan Hidup seperti pendidikan, kesihatan, sosial dan budaya, duduk dalam persekitaran yang selesa serta dinamik, seraya membela untung nasib serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

 

  1. Sesungguhnya lagi, Transformasi Kesejahteraan Bumiputera sebagai memasuki Fasa Kedua yang berasaskan kepada Lima Transformasi Utama Bumiputera:

 

  1. Pertamanya: Dengan Cara Melonjakkan Skala Bumiputera. Seperti yang kita maklumi, terdapat pelbagai fasa dan kategori syarikat Bumiputera di Malaysia, dari yang berskala kecil atau mikro, sederhana hinggalah kepada yang berskala besar dan bertaraf antarabangsa.

 

  1. Justeru, apa yang kita mahukan adalah, mempastikan setiap syarikat Bumiputera ini mempunyai laluan yang jelas dari fasa permulaan perniagaan sehingga fasa matang seperti sebuah syarikat Multi-Nasional Bumiputera.

 

  1. Ertinya di sini, bagi setiap peringkat perniagaan, Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan, sebagai pemangkin untuk sesebuah perniagaan itu meningkat maju ke fasa yang selanjutnya.

 

  1. Misalnya, sesebuah perniagaan mikro berpeluang menjadi syarikat SME, dan seterusnya menjadi syarikat besar yang mampu menjana pendapatan lumayan serta satu hari nanti, tersenarai di Bursa Saham, dan berkebolehan untuk mengeksport produk ke luar negara.

 

  1. Sebagai contoh, Kerajaan memperkenalkan Skim Jejak Jaya Bumiputera atau SJJB bagi membantu meningkatkan jumlah syarikat untuk disenaraikan secara kolaborasi dengan Ekuiti Nasional atau EKUINAS.

 

  1. Pada tahun 2011, program SJJB telah diletakkan di bawah TERAJU di mana pada ketika itu sebanyak 5 syarikat Bumiputera telah berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia dengan jumlah nilai modal pasaran yang direkodkan ketika itu hanyalah sebanyak 969 juta ringgit

 

  1. Syukur,… Kini, program SJJB telah berjaya menambah 8 lagi syarikat Bumiputera ke Bursa Malaysia dan telah mencatatkan jumlah nilai pasaran sebanyak 8 billion ringgit.

 

  1. Jika dibandingkan dengan nilai pasaran mereka ketika IPO, kesemua 13 syarikat SJJB ini telah mencatatkan pertumbuhan nilai modal pasaran sebanyak 5 billion ringgit.

 

  1. Contoh terkini, Serba Dinamik Holdings Berhad dari Sarawak, merupakan syarikat yang ke-13 dari program ini, selepas hanya satu bulan disenaraikan, modal pasarannya telah meningkat sebanyak 20 peratus iaitu daripada 2 bilion ringgit kepada 4 bilion ringgit pada Mac 2017. Tahniah kita ucapkan!

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Merujuk kepada usahawan mikro pula, melalui dapatan Makmal Sindikasi TKB, secara puratanya terdapat sembilan daripada 10 buah syarikat Bumiputera di negara ini yang masih berskala mikro.

 

  1. Justeru itu, saya menyarankan agar organisasi dan syarikat besar yang mendapat kontrak serta konsesi Kerajaan termasuklah GLIC dan GLC untuk melaksanakan Dasar Mesra-Bumiputera Mikro dan Kecil.

 

  1. Seterusnya, program penembusan pasaran atau market access akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada program pembangunan keusahawanan, terutamanya dalam e-dagang atau e-commerce.

 

  1. Juga, untuk meluaskan pasaran perniagaan mereka, usaha pengantarabangsaan syarikat-syarikat Bumiputera akan dilaksanakan termasuklah pembangunan produk dan perkhidmatan yang memenuhi spesifikasi eksport atau export-ready, pembangunan pusat pengedaran di luar negara dan kerjasama dengan MATRADE.

 

  1. Jelas sekali, TKB diperlukan bagi memastikan pelan-pelan dapat dilaksanakan secara berkesan dalam setiap fasa ini.

 

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang keduanya ialah dengan cara Memperkasakan Modal Insan Bumiputera. Sebagai penduduk majoriti di negara ini, seharusnya, Bumiputera menjadi penyumbang utama kepada pembangunan dan ekonomi negara, termasuklah di bidang akademik, agama, sains teknologi, kebudayaan mahupun sukan.

 

  1. It is my hope and dream, to see we produce world class sportsmen, more world class scientists, artists, novelists and InsyaAllah, one day, Nobel Prize winners.

 

  1. Sebenarnya, pemerkasaan modal insan kaum Bumiputera, bukan sahaja terhad kepada peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran semata-mata, tetapi juga peningkatan jati diri dari segi jasmani dan rohani.

 

  1. Dari perspektif ekonomi pula, pemerkasaan modal insan haruslah dibina untuk mensiap-siagakan kaum Bumiputera menghadapi pelbagai arus cabaran dari dalam dan luar negara.

 

  1. Menjengah sudut pemikiran dan budaya kerja, untuk maju dan bergerak ke hadapan, kita seharusnya mampu melakukan anjakan paradigma supaya tidak terperangkap dalam kepompong pemikiran konvensional.

 

  1. Apabila kita menuju Transformasi Kesejahteraan Bumiputera, ia bererti dasar Bumiputera yang melahir dan mencerminkan budaya tinggi, high order thinking skills, high performance culture dan high resilience, yang sesekali tidak mudah menyerah kalah.

 

  1. Malah, sudah sampai masanya untuk kita menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai pemacu kepada penjanaan kekayaan dan berdaya maju agar usahawan atau syarikat Bumiputera mampu berdiri sama gagah, bersaing megah dengan usahawan-usahawan lain.

 

  1. What is important here, we Bumiputera have the capacity to be at par with the rest as long as we are willing to shift our paradigm and embrace innovation.

 

  1. Makanya, yakinlah pada kebolehan diri sendiri, sepertimana saya yakin dengan kemampuan masing-masing. Maksudnya, untuk anda lebih berjaya, bukan sahaja di halaman sendiri, malah juga menembusi pasaran antarabangsa.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang ketiganya ialah dengan cara Meningkatkan Daya Saing Bumiputera.

 

  1. Sebetulnya, kedudukan Bumiputera kini lebih baik dari dahulu. Jika sebelumnya, syarikat Bumiputera sering dikaitkan dengan kontrak yang mahal ataupun kualiti yang kurang memuaskan.

 

  1. Tetapi kini, kita berbangga, mutu kerja dan penyampaiannya adalah tinggi, setanding dengan syarikat bukan Bumiputera, mahupun syarikat antarabangsa.

 

  1. Sebagai contoh, dasar Carve Out and Compete menyediakan ruang dan peluang kepada syarikat Bumiputera untuk mendapat kontrak dan menyertai projek-projek mega yang ditawarkan oleh Kerajaan, GLC dan swasta berdasarkan merit sesama Bumiputera, di samping rekod cemerlang dan keupayaan untuk deliver atau membuat penyampaian.

 

  1. Setelah melihat kejayaan pelaksanaan program ini, Kerajaan berhasrat untuk memperluaskannya beyond projek-projek infrastruktur seperti sektor perkhidmatan.

 

  1. Sukacita saya maklumkan, setakat ini, peluang penyertaan Bumiputera melalui Carve Out and Compete secara keseluruhannya telah mencapai 2 peratus atau bersamaan 54.24 bilion ringgit.

 

  1. Contohnya, Projek Lebuhraya Pan Borneo yang bermula dari jajaran Teluk Melano ke Lawas di Sarawak, sejauh 1,089 kilometer, membawa ke Sabah dari Sindumin hingga ke Tawau, sepanjang 1,236 kilometer, program Carve Out dan Compete dijangka akan mencecah 60 peratus penyertaan kontraktor Bumiputera.

 

  1. Bercakap tentang industri pembinaan ini, suka saya menyentuh tentang kaedah Industrialised Building System atau IBS yang melibatkan kos yang rendah, penjimatan masa pembinaan dan bersifat lestari.

 

  1. Oleh itu, kita akan menumpukan penggunaan teknologi IBS ini di dalam kebanyakan projek-projek Kerajaan, dan   saya mahu serta galakkan lebih banyak penyertaan kontraktor Bumiputera dalam bidang teknologi IBS ini.

 

  1. Melalui contoh-contoh di atas, saya menyarankan agar syarikat-syarikat Bumiputera yang lain perlu mengambil contoh kejayaan itu, membina daya saing yang tinggi, terutamanya dalam menghadapi pasaran terbuka di arena global.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

  1. Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang keempatnya ialah dengan cara Mendaya Mobiliti Sosial Bumiputera.

 

  1. Sesungguhnya, Kerajaan amat prihatin dan mementingkan kesejahteraan hidup rakyatnya. Apa yang kita hasratkan dari masa ke semasa, Kerajaan dapat membantu meningkatkan status ekonomi dan kualiti hidup rakyatnya kepada yang lebih baik serta selesa.

 

  1. Dalam konteks Malaysia, mobiliti sosial yang Kerajaan mahukan ialah berlakunya peningkatan taraf hidup rakyat daripada kepompong persekitaran yang rendah kepada tahap yang lebih tinggi. Ia juga boleh dilihat dari pelbagai aspek seperti pendidikan, kemahiran pekerjaan dan pendapatan.

 

  1. Maksudnya, berlaku perubahan status individu dan masyarakat daripada miskin menjadi kaya, mereka yang unskilled dilatih menjadi berkemahiran tinggi serta golongan berpendapatan rendah pula, akan menikmati pendapatan yang lebih tinggi.

 

  1. Malahan, melalui pelaksanaan secara pragmatik oleh Kerajaan, telah meningkatkan mobiliti sosial negara ini menjadi di antara yang terbaik di dunia, setara dengan negara maju seperti Kanada, bahkan lebih baik dari negara Sweden dan Jerman.

 

  1. Contohnya, anak-anak petani dan nelayan di negara ini, cuma melalui satu generasi sahaja, telah mampu memperbaiki taraf kehidupan mereka, sehingga ada yang telah memegang jawatan utama negara seperti profesor, ketua eksekutif dan menteri. Malah, kita juga berjaya dalam beberapa bidang profesional seperti perubatan dan kejuruteraan.

 

  1. Pada sudut ini, Digital Economy atau Ekonomi Digital yang menjadi industry of the future, berpotensi sebagai salah satu lonjakan dalam mobiliti sosial. Justeru, baru-baru ini, saya telah melantik Jack Ma, seorang bilionair terkemuka dari negara China, sebagai Penasihat Khas Ekonomi Digital kepada Kerajaan Malaysia.

 

  1. Malah, pada 23 Mac 2017 pula, saya telah melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital atau DFTZ, hab ekonomi pertama di dunia di luar China, yang memberi tumpuan terhadap pengembangan pasaran digital usahawan PKS dan usahawan muda.

 

  1. Melalui inisiatif seperti ini, Ekonomi Digital dijangka mampu mewujudkan 60 ribu peluang pekerjaan baharu, sekaligus berupaya menyumbang lebih 20 peratus penghasilan kepada KDNK negara.

 

  1. Mustahak untuk difahami oleh Bumiputera bahawa, menjadi hasrat saya apabila DFTZ diwujudkan, ia memungkinkan a level playing field atau padang saingan terbuka bagi Bumiputera bebas-lepas untuk menembus masuk pasaran dengan lebih meluas.

 

  1. Peluang sebeginilah yang sepatutnya usahawan Bumiputera teroka dan ceburi, kerana pada masa ini, saya lihat kebanyakan usahawan Bumiputera hanya menumpukan perniagaan di peringkat domestik sahaja yang mana pasarannya sangat terhad.

 

  1. Jadinya, boleh saya rumuskan bahawa, mobiliti sosial ini perlu terus diperkasakan demi manfaat masyarakat Bumiputera.

 

 

 

  1. Kelimanya ialah dengan men-Transformasi Kesejahteraan Bumiputera secara tuntas dan holistik.

 

Dalam hal ini, sebagai tambahan dan pelengkap kepada 30 peratus ekuiti yang disasarkan melalui DEB, sesuai dengan tuntutan zaman masa kini serta menuju TN50,….

 

Pencapaian ekonomi Bumiputera juga akan diukur dari segi pendapatan korporat dan isi rumah, peningkatan bilangan profesional berdaftar serta penyertaan di peringkat pengurusan dan berkemahiran tinggi.

 

  1. Maknanya, kalau selama ini DEB melihat dari segi pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat sebagai penanda aras, TKB kini mengambil kira dimensi-dimensi yang lebih meluas dalam mengukur kesejahteraan Bumiputera.

 

  1. Sebagai contoh, usaha gigih Kerajaan selama ini telah pun membuahkan hasil di mana, purata pendapatan isi rumah Bumiputera, telah meningkat daripada 3,624 ringgit pada tahun 2009, kepada 5,548 ringgit pada tahun 2014, iaitu sebanyak 53 peratus.

 

  1. Lanjutan itu, TKB ini, bukan sahaja menjadi Agenda Nasional, bahkan ia dijadikan juga sebagai asas kepada dasar-dasar, pelan induk dan tindakan, dalam setiap insiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan yang melibatkan pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

 

  1. Bertolak dari itu, hendak saya pertegaskan bahawa, Kerajaan ini merupakan Kerajaan yang bertanggungjawab. Kerajaan ini akan terus berjuang dalam membela untung nasib orang-orang Melayu dan Bumiputera, sama ada Bumiputera Islam mahupun bukan Islam.

 

  1. Semestinya juga, Kerajaan ini akan terus memperjuangkan kepentingan seluruh lapisan rakyat Malaysia, demi keamanan dan kestabilan, makmur serta sejahtera.

 

PENUTUP

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian,

 

  1. Ahli cerdik pandai pernah menyebut bahawa, meski dunia ini dipenuhi dengan persaingan, namun bagi mereka yang bijaksana akan pantas menyerlahkan potensi diri, sentiasa optimis menghadapi segala rintangan dengan penuh daya, sehingga mampu mencapai kejayaan.

 

 

 

 

  1. Kesimpulannya, jika diamati dan dirumuskan, berdasarkan apa yang telah saya sampaikan, menjadi bukti bahawa, impak dasar yang membabitkan Kesejahteraan Bumiputera di negara ini, di mana manfaatnya tetap dan turut dinikmati oleh semua kaum.

 

  1. Oleh itu, kepada orang-orang Melayu serta Bumiputera Islam dan Bukan Islam, yang menginduki negara ini, usahlah berasa gundah serta bimbang, kerana, selagi nyawa dikandung jasad, agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera atau TKB ini akan tatap kita perjuangkan sampai bila-bila.

 

  1. Atas segalanya, Saya,… bersama-sama dengan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berserta barisan Jemaah Menteri, demi Melayu,… demi Bumiputera,… demi rakyat Malaysia seluruhnya,… kita akan bersatu hati, seiya dan sekata, untuk terus berjuang memakmurkan negara, sehingga terjulang berada pada kedudukan negara 20 termaju di dunia.

 

  1. Di atas segalanya, ketahuilah bahawa, setelah 45 tahun berlalu, daripada Dasar Ekonomi Baru yang dimulakan oleh Ayahanda saya, perjuangan saya demi Kesejahteraan Bumiputera bukanlah sekadar di atas sifat dan kedudukan saya selaku pemimpin dan Perdana Menteri, tetapi sebenarnya ia datang dari leluhur saya yang ikhlas dan jujur sebagai seorang pemimpin yang sangat sayang akan jati bangsanya.

 

  1. Pokoknya, kita mahu melihat akan munculnya masyarakat Bumiputera yang dapat merasai setiap daripada detik nikmat kemajuan negara.

 

Kerana itulah erti sebenarnya kesejahteraan dan kemakmuran kepada Bumiputera.

 

  1. Kendati itu, ingatlah bahawa:

 

Negaraku ini Berdaulat Terbilang,

Tanah Tumpah Darah Pejuang,

Meski Diasak Oleh Penentang,

Jangan Sampai Dirampas Orang.

 

Masyarakat Majmuk Formula Keramat,

Walau Didomba oleh Petualang,

Hiduplah Malaysia Damai dan Selamat,

Hak Bumiputera Selamanya Dijulang.

 

  1. Akhirul Kalam, dengan lafaz Bismillahi Rahmanir Rahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera.

 

HIDUP BUMIPUTERA!

HIDUP MALAYSIA!

 

Wabillahi Taufik Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

*Updated 2100hrs

Advertisements
Published in: on April 19, 2017 at 16:30  Leave a Comment  

The URI to TrackBack this entry is: https://bigdogdotcom.wordpress.com/2017/04/19/phase-ii-carve-out-and-compete/trackback/

RSS feed for comments on this post.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: