Melayu Johor rasa DAP membelakangi PPBM

Dalam kajian yang dilakukan ISEAS Singapura oleh Felo Kanan dan Presiden IDEAS Wan Saiful Wan Jan membayangkan PPBM ditolak masyarakat Melayu Johor kerana dibelakangi DAP.

Laporan Harakah Daily:

Melayu Johor anti DAP, PAN dan PPBM – IDEAS

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF 11 JANUARY 2018

 

 

AGAK mengejutkan bila membaca hasil kajian terbaru Wan Saiful Wan Jan selaku Ketua Eksekutif IDEAS merangkap Felo Pelawat Kanan ISEAS – Yusof Ishak Institute, Singapore, bertajuk “Parti Pribumi Bersatu Malaysia In Johor: New Party, Big Responsibility”.

 

Antara dapatan utama hasil kajian setebal 49 muka Wan Saiful yang baru sahaja diterbitkan di dalam siri penerbitan ISEAS – Yusof Ishak Institute, Singapore, bertajuk Trends in Southeast Asia (2018: No. 2) ini adalah membabitkan penerimaan masyarakat Melayu Johor terhadap DAP, iaitu:

(1) 62 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat Pakatan Harapan (PH) adalah dikuasai oleh DAP.

(2) 71 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat DAP adalah anti Melayu dan anti Islam.

 

Lebih memberikan tamparan kepada DAP, sebuah parti sekular, adalah dapatan hasil kajian ini mengenai penolakan masyarakat Melayu Johor terhadap pendekatan sekular dalam politik, iaitu:

(1) 90 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat peningkatan keagamaan adalah bagus.

(2) 84 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat lebih ramai orang Islam perlu berada di dalam kerajaan.

(3) 81 peratus daripada masyarakat Melayu Johor berpendapat agama seseorang calon (pilihan raya) adalah penting.

 

Lebih jauh daripada itu adalah dapatan hasil kajian ini yang mendapati bahawa masyarakat Melayu Johor bukan sahaja sangat tidak menyenangi DAP, malah PAN dan PPBM juga, iaitu:

(1) 85 peratus daripada masyarakat Melayu Johor tidak menyenangi DAP.

(2) 69 peratus daripada masyarakat Melayu Johor tidak menyenangi PAN.

(3) 60 peratus daripada masyarakat Melayu Johor tidak menyenangi PPBM

 

Lebih menarik ialah kesimpulan hasil kajian ini, iaitu bahawa:

(1) Para pemimpin PPBM berpendapat bahawa kelangsungan jangka panjang PPBM bergantung kepada kemampuan PPBM untuk memenangi sekurang-kurangnya sebuah negeri, khususnya Johor.

(2) Pengundi sasaran utama PPBM, iaitu masyarakat Melayu Johor, bagaimanapun belum lagi menyertai mereka (“not yet jumping onto their bandwagon”), kerana kebimbangan utama mereka mengenai DAP, dan ketakutan ini tergambar di dalam maklum-balas perlahan terhadap gerakan menambah keahlian PPBM (mengikut data yang diberikan oleh Setiausaha PPBM Johor, Osman Sapian, kepada Wan Saiful, setakat 8 Julai 2017, PPBM mempunyai kira-kira 7,000 ahli yang telah disahkan).

 

Paling menarik adalah kesimpulan hasil kajian ini bahawa penentu terpenting adalah di dalam agihan kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Harapan kerana, kata Wan Saiful, jika PPBM hanya mendapat kerusi-kerusi majoriti tinggi Melayu (“the high-Malay seats”) dan kurang kerusi-kerusi campuran (“the mixed seats”), maka sangat tidak mungkin untuk PPBM mencapai matlamat mereka untuk menguasai Johor (“it will be highly unlikely they will achieve their ambition of capturing the state”). Ini kerana, kata beliau, tidak mudah untuk memikirkan satu senario di mana undi Melayu akan berayun begitu besar (“it is not easy to imagine a scenario where the Malay votes would swing to a significant enough extent”).

 

Sementara agihan kerusi Dewan Undangan Negeri antara parti-parti dalam PH masih belum dimuktamadkan, berdasarkan kepada agihan kerusi Parlimen yang diumumkan di dalam Konvensyen PH baru-baru ini yang menyaksikan PPBM hanya diberikan 10 kerusi berbanding 8 PKR, 5 DAP dan 2 PAN, maka jelaslah bahawa matlamat PPBM untuk menguasai Johor kelihatan seperti sudah terkubur. Ini kerana, seperti didedahkan oleh Pengerusi PPBM Johor, Datuk Dr Shahruddin Salleh, dan Setiausaha PPBM Johor, Osman Sapian, strategi PPBM Johor adalah untuk bertanding antara 20 ke 22 kerusi daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen yang ada di Johor (bagi membolehkan PPBM turut menguasai kerusi-kerusi campuran).

 

Bila PPBM hanya diberikan 10 kerusi majoriti tinggi Melayu sahaja, bukannya antara 20 ke 22 kerusi seperti yang dirancang oleh PPBM Johor, di peringkat Parlimen maka agak sukar dibayangkan PPBM akan diberikan kerusi-kerusi campuran di peringkat Dewan Undangan Negeri. Berdasarkan kepada logik Wan Saiful, bila PPBM tidak diberikan kerusi-kerusi campuran, maka sudah tentulah matlamat PPBM untuk menguasai Johor kelihatan seperti sudah terkubur.

 

Bagi saya, hasil kajian Wan Saiful ini menjadi bukti nyata betapa PPBM membuat satu kesilapan yang besar bila ia memilih untuk bersekongkol dengan DAP.

 

Tahniah kepada Umno yang mengikut hasil kajian Wan Saiful ini, masih lagi disukai oleh 67 peratus daripada masyarakat Melayu Johor dan kepada PAS yang mendekati Umno dengan 48 peratus sokongan daripada masyarakat Melayu Johor.

 

Tidak lupa juga, takziah kepada PPBM Johor. – HARAKAHDAILY 11/1/2018

********************

Menurut Pengarah MAPAN UUM Dr Kamarul Yusoff yang pakar dalam kajian mengenai PAS mengenai rumusan kajian Wan Saiful, kelangsungan PPBM bergantung kemampuan menguasai sebeuah negeri ‘Simpanan Tetap’ BN seperti Johor.

Apa yang menarik ialah kebarangkalian orang Melayu Johor beralih pilihan mereka dari UMNO ke PPBM amatlah amat tipis.

Dr Kamarul sebelum ini membuat intepretasi bahawa kunjungan Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad ke peja bat DAP merupakan titik tolak dimana sebahagian dari penyokong tegar DAP akan menolak doktrin ‘Malaysian Malaysia’ parti Chauvinis Cina itu.

Laporan Mynewshub.cc:

Tun M Tersungkur Agenda “Malaysian Malaysia”?

in Politik/Utama & Sensasi

http://acdn.adnxs.com/ib/static/usersync/v3/async_usersync.html

KUNJUNGAN buat pertama kali Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Ibu Pejabat DAP malam tadi menjadi lambang tersungkurnya beliau secara rasmi kepada agenda “Malaysian Malaysia” yang beliau sendiri bermati-matian menentangnya sebelum ini demi kepentingan dan survival kaum Melayu negara ini.

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, generasi baharu negara wajar tahu apa itu “Malaysian Malaysia” DAP yang berakar umbi daripada deklarasi gabungan parti pembangkang dalam The Malaysian Solidarity Convention (MSC) di Singapura pada 9 Mei 1965.

Kata beliau, dalam Deklarasi MSC oleh gabungan parti pembangkang di Singapura waktu itu tercatat kemas kenyataan yang berbunyi “Malaysian Malaysia” bermaksud sesebuah negara dan negeri tidak dikenal pasti berdasarkan ketuanan, kesejahteraan dan kepentingan kaum tertentu sahaja.

Malah, kata beliau, kenyataan itu selari dengan Deklarasi Setapak pada 29 Julai 1967 yang mencatatkan tentang komitmen DAP kepada idea menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas, demokratik dan sosialis berprinsipkan kepada kesaksamaan kaum.

“Begitupun, jangan diingat konsep “Malaysian Malaysia” DAP ini hanya diperjuangkan oleh pemimpin veteran DAP sahaja kerana pemimpin muda yang sedang berkuasa dalam DAP berpegang teguh dengan konsep ini.

“Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bercakap mengenai Perlembagaan Persekutuan bahawa membezakan rakyat Malaysia antara bumiputera dan bukan bumiputera (kononnya) cara berkesan membahagikan rakyat Malaysia menjadi warga kelas pertama dan kelas kedua.

“Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook turut bercakap mengenai keperluan mengkaji semula dasar bumiputera dan bukan bumiputera.

“Konsep Malaysian Malaysia DAP kekal terpateri dalam DAP sehingga kini terbukti apabila laman web rasmi DAP menegaskan DAP komited memperjuangkan “Malaysia Malaysian” sosialis demokratik yang bebas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Portal propembangkang melaporkan Mahathir sejak menyertai gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan dan selepas 22 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri memomokkan DAP buat pertama kali menjejakkan kaki ke ibu pejabat parti DAP malam tadi .

Malah, Mahathir dirakam duduk di dalam bilik mesyuarat Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur dengan wajah penuh bangga berlatar belakangkan logo gergasi DAP bersama-sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Kamarul dalam kenyataan sama mengingatkan Mahathir tentang bukunya sendiri yang diterbitkan tahun lalu bertajuk “Tun M: Inilah Perjuangan” yang memuatkan penentangan keras Mahathir terhadap perjuangan “Malaysian Malaysia” DAP.

Antara lainnya, Mahathir yang diangkat oleh DAP dan parti pembangkang lain untuk menjadi Pengerusi Pakatan Harapan selepas keluar daripada UMNO itu pernah menyebut dalam buku tersebut:

“Orang bukan Melayu asyik menuntut hak persamaan, meminta supaya dimansuhkan hak istimewa orang Melayu. Sedangkan mereka tinggal di negara ini, mendapat kewarganegaraan, juga merupakan satu keistimewaan. Mereka boleh mengamalkan cara hidup mereka sendiri, bahasa sendiri, itu pun satu keistimewaan.”

“Mereka tidak boleh punyai sistem pendidikan sendiri, kita hapuskan sekolah jenis kebangsaan, mereka tidak boleh mengamalkan budaya mereka, malah nama pun perlu ditukar kepada nama Malaysia, sepertimana yang dilakukan di Indonesia dan Thailand, pada masa itu barulah kita boleh mansuhkan hak istimewa orang Melayu.”

Justeru, katanya, apabila Mahathir sudah berkunjung ke Ibu Pejabat DAP parti yang memperjuangkan hak persamaan kaum di bawah konsep “Malaysian Malaysia”, maka tidaklah boleh disangkal lagi telah tersungkurnya beliau kepada agenda DAP. – MYNEWSHUB.CC

***************

Advertisements
Published in: on January 11, 2018 at 23:00  Comments (1)