Menongkah Maju, Menambahkan Mutu

 

Kemelut yang hangat diperdebatkan kebelakangan ini mengenai hasrat Proton untuk mempertingkatkan mutu sistem sokongan jualan prodük motorkar nasional merupakan agenda strategik yang sebenarnya akan menguntungkan golongan pengedar dan pembekal eko-sistem Proton, terutama dikalangan pengusaha Bumiputera.

Laporan Utusan Malaysia:

Pekema temui pengedar, vendor esok

1

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Persatuan Pengimport dan Peniaga Ken­deraan Melayu Malaysia (Pekema) memahami hasrat Proton untuk menjadikan pengedar keretanya ber­kembang seiring dengan langkah pembaharuan syarikat, namun masih terdapat beberapa isu yang perlu dijelaskan dengan teliti.

ZAINUDDIN ABDUL RAHMAN

Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, sehubu­ngan itu, Pekema akan mengadakan pertemuan dengan semua wakil jualan bumiputera esok di ibu pejabatnya untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi semua pengedar dan vendor.

Katanya, pihaknya juga menggesa kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan mengadakan pertemuan dengan mereka secepat mungkin.

“Secara dasarnya, kami amat mengalu-alukan Geely sebagai rakan strategik Proton dan berharap usaha sama ini berjaya menaikkan semula Proton sebagai kereta nasional kebanggaan rakyat Malaysia.

“Dalam konteks ini, Pekema menyokong penuh usaha sama dengan Geely yang telah terbukti sebagaimana mereka berjaya memulihkan semula syarikat Volvo sebelum ini.

“Cuma dalam isu ini, Pekema tidak mahu jadi seperti lagu Anak kecil main api yang mana hak keistimewaan orang Melayu dan agenda bumiputera yang termaktub dalam perlembagaan tidak diambil kira,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, Pekema sama sekali tidak menafikan 3S adalah baik untuk jangka panjang tetapi di dalam konteks Proton dan keadaan pasaran ketika ini, Proton perlu memberi masa dan ruang sehingga terbukti jualannya kembali rancak sebelum meminta wakil jualan sedia ada menaik taraf kepada 3S sebelum Oktober 2018.

Pekema jelasnya berpendapat, pe­ngu­rusan baharu Proton tidak harus menekan wakil jualan untuk menaik taraf kepada 3S dalam masa yang singkat mengambil kira keada­an ekonomi pada masa ini.

“Kejayaan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) yang menguasai 39.8 peratus pasaran kereta dengan jualan 204,887 buah pada tahun lalu sebahagian besar dicapai me­lalui wakil jualan Perodua 1S dan juga 3S,” katanya.

“Ini menunjukkan konsep 1S masih boleh menyumbang kepada kejayaan jualan sesuatu organisasi tanpa perlu kesemua wakil jualan menjadi 3S,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/pekema-temui-pengedar-vendor-esok-1.608861#ixzz5751bq7Ea
© Utusan Melayu (M) Bhd

******************

Sebelum itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Seri Mustapha Mohamad mengumumkan bahawa kepentingan pengedar Proton terutama dari kalangan pengusaha Bumiputera akan diambil kira dan perhalusi.

Laporan Utusan Malaysia:

Kerajaan prihatin 
masalah pengedar Proton

2
MUSTAPA MOHAMED
MUSTAPA MOHAMED

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dalam tempoh terdekat dengan wakil-wakil dan persatuan pengedar sebelum mengambil sebarang keputusan termasuk mengenai isu dana yang dihadapi pengedar-pengedar berkenaan.

Katanya, kerajaan juga amat memahami hasrat Proton yang mahukan para pengedarnya menaik taraf daripada pusat jualan 1S kepada 3S atau 4S (Jualan, Alat Ganti, Servis dan Survei) bagi membolehkan mereka bersaing dalam industri automotif.

“Secara dasarnya, saya sering berjumpa mereka dari semasa ke semasa dan kali ini saya akan jumpa mereka (termasuk pengedar dan vendor) dalam masa terdekat. Untuk pengedar pula, saya dah lama tak jumpa, cuma ada melalui surat dan menemui beberapa pengedar secara individu. Tetapi persatuan pengedar belum jumpa lagi.

“Dalam masa sama, kita akui cabaran yang dihadapi oleh mereka dan kita (kerajaan) tahu mengenai cabaran-cabaran ini. Sudah pasti, dalam isu ini, kerajaan amat ambil berat kerana kita mahu sama ada mereka yang jual kereta Proton atau komponen menjadi usahawan yang berjaya walaupun perniagaan ini banyak cabarannya.

“Mana-mana transformasi atau penambahbaikan yang dijalankan sudah tentu ada yang terkesan, ia sama seperti yang dihadapi oleh industri automotif,” katanya selepas majlis perasmian Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 dan Permohonan Atas Talian ‘MySMEBank’.

Yang turut hadir, Pengerusi SME Bank, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir dan Ketua Pegawai Operasi, Operasi dan Pengurusan Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Razman Mohd. Noor.

Semalam, Proton dalam kenyataannya menegaskan mat­la­matnya adalah agar pengedar-pengedar keretanya ber­kembang se­iring dengan langkah pembaharuan syarikat dan bukan mem­bebankan mereka apabila mewajibkan penukaran kepada 3S atau 4S.

DRB-Hicom memiliki 50.1 peratus dalam Proton dan 49.9 peratus oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. Suntikan ekuiti itu menyaksikan syarikat baharu ditubuhkan iaitu Proton Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB) yang kini diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Li Chunrong dan Timbalannya, Datuk Radzaif Mohamed.

Walaupun menjawab kesemua sembilan isu yang dikemukakan Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Rahman dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu, namun Proton mengakui dana yang besar diperlukan untuk naik taraf berkenaan.

Menurut Zainudin, pengedar perlu melabur antara RM3 juta hingga RM5 juta sedangkan jualan kereta Proton sekarang secara purata yang dapat dijual hanya sekitar 20 hingga 30 buah sebulan.

Tegas Zainudin, sekiranya tiada sebarang tindakan diambil dalam masa terdekat, lebih ba­nyak pengedar dan vendor akan menutup perniagaannya dalam tempoh lima hingga enam bulan kerana tertekan dengan syarat-syarat yang dikemukakan pe­ngurusan baharu Proton.

Antara faktor yang mendorong kepada penambahbaikan itu memandangkan sehingga kini 70 peratus pengedarnya di seluruh negara bersifat 1S dan ini telah menjejaskan imej Proton dari segi Indeks Kepuasan Jualan (SSI) dan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI).

Pengedar digalakkan menaik taraf pusat jualan mereka dalam tempoh antara 2018 hingga 2020. Sasaran 2018 ialah untuk mening­katkan dengan banyak pusat 3S di seluruh negara, seiring dengan pengenalan model baharu SUV Proton pada akhir tahun ini.

Ditanya mengenai isu dana, Mustapa bagaimanapun berkata, kerajaan hanya akan membuat keputusan selepas perjumpaan tersebut diadakan.

“Biar saya jumpa mereka dahulu dan selepas itu kita akan maklumkan apa yang kerajaan boleh lakukan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/kerajaan-prihatin-8232-masalah-pengedar-proton-1.608856#ixzz5756BnXYY
© Utusan Melayu (M) Bhd

*****************

Kegusaran ini berpunca kenyataan Presiden Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Dato’ Zainuddin Abdul Rahman mengambarkan tindakan Proton kehadapan akan menekan pengedar motorkar nasional dikalangan pengusaha Melayu.

Laporan Utusan Malaysia:

Pengedar Bumiputera Proton tertekan

ISU yang membelenggu pengedar bumiputera bagi jenama kereta nasional, Proton dijangka lebih buruk sekiranya tiada sebarang tindakan segera diambil pihak bertanggungjawab. Malah, Presiden Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan nasib wakil jualan dan vendor bumiputera juga akan terjejas dengan teruk. “Saya rasa semuanya akan bungkus, mati,” katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON, baru-baru ini.

Pekema menerima banyak aduan daripada syarikat jualan bumiputera tentang dasar daripada pengurusan baru syarikat tersebut yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Proton Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB), Dr. Li Chunrong sejak November lalu yang dikatakan banyak memberi tekanan kepada mereka dengan pentadbiran agak keras.

Lebih malang DRB-Hicom yang merupakan pemegang saham utama Proton yang diketuai oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Sri Syed Faisal Albar yang sebelum ini memberi jaminan kedudukan bumiputera dalam Proton akan dijaga juga kelihatan tidak mampu berbuat apa-apa.

Dasar Proton terkini dilihat boleh memusnahkan sebahagian majoriti wakil jualan bumiputera dan perkhidmatan Proton sedia ada dalam usaha syarikat untuk menaik taraf kepada pusat pengedaran dan servis di bawah satu bumbung.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ia bukan usaha untuk memburukkan imej Proton atau sebaliknya. Ini kerana ia merupakan satu agenda bumiputera yang perlu diperingatkan semula, sejajar dengan tujuan penubuhan Proton lebih 30 tahun lalu, tegas beliau dalam wawancara ini.


MINGGUAN: Apa sebenarnya kebimbangan utama dalam isu ini?

ZAINUDDIN: Pada mesyuarat agung Pekema pada 27 Januari lalu, ada syarikat wakil jualan Proton yang merupakan ahli Pekema telah membangkitkan masalah yang mereka hadapi. Jadi dari situ, kita minta Proton dan kerajaan ambil tahu mengenai kepentingan agenda bumiputera yang tidak diendahkan lagi dan tidak menjadi keutamaan kepada pengurusan baru Proton. Kami lihat Proton telah lari daripada tujuan asal yang membawa kepada penubuhan Proton dulu. Apa yang kita risau, dalam Proton sendiri pun semuanya dikuasai oleh Geely.

Kita bukan tidak sokong pembabitan Geely kerana kita tahu tujuannya untuk pulihkan semula Proton tetapi yang menjadi masalah, apabila pengurusan tertinggi semuanya telah diambil alih dan dikuasai mereka yang kini telah melaksanakan dasar-dasar baru yang menekan wakil-wakil jualan. Dan wakil jualan bumiputera lebih terkesan memandangkan kira-kira 85 peratus daripada mereka masih lagi bertaraf 1S (Jualan). Sekarang pun mereka sukar untuk bersaing dengan pengedar bukan bumiputera apatah lagi dengan dasar kuku besi’, bagaimana mereka dapat bertahan?

Apa isu lain yang dibangkitkan pengedar-pengedar ini?

ZAINUDDIN: Ada sembilan isu utama yang mereka mahu kita ketengahkan bagi mengelakkan wakil bumiputera terus terbeban dan berhadapan dengan dilema.

1Tempoh yang singkat iaitu kurang setahun untuk dinaik taraf daripada 1S kepada 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) bagi membolehkan wakil jualan ini menjual model baharu Geely-Proton, Boyue. Untuk naik taraf ini sahaja, pengedar perlu melabur antara RM3 juta hingga RM5 juta sedangkan jualan kereta Proton sekarang secara purata yang dapat dijual hanya sekitar 20-30 buah sebulan. Ada banyak faktor kereta tidak boleh dijual terutamanya disebabkan bank ketatkan syarat pinjaman dan wujudnya ‘double-standard’ oleh pihak bank terhadap Proton berbanding jenama kereta yang lain. Jenama lain lebih mudah mendapat kelulusan pinjaman berbanding jenama Proton.

2 Pengurangan margin kepada tiga peratus berbanding empat peratus sebelum ini. Walaupun ada beberapa insentif galakan yang hampir mustahil, apatah lagi Proton tetapkan sasaran jualan yang sukar dicapai dalam keadaan pasaran sekarang.

3Mengenakan pelbagai caj dan faedah kepada wakil jualan sekiranya kereta tidak dijual dalam tempoh 14 hari. Faedah akan dikenakan sebanyak 10.35 peratus setahun pada hari ke-15 dan seterusnya.

4Fasiliti kewangan iaitu PAR (Payment After Registration) akan dimansuhkan pada 1 Mac 2018 pasti turut membebankan para wakil jualan dalam situasi sekarang yang mana jualan semakin merosot sehingga tidak dapat menampung kos operasi bulanan. Kita mohon Proton teruskan fasiliti PAR ini. Kita tidak mahu kemudahan ini ditarik balik kerana membantu syarikat jualan dalam pasaran yang penuh kesukaran.

5Proton juga mengenakan sistem ‘block’ di mana stok yang masih belum terjual dan belum dijelaskan pembayaran kepada Proton selepas tempoh 60 hari, akan menyebabkan sistem wakil jualan disekat operasinya. Segala urusan agihan stok juga disekat. Ini akan menjejaskan proses perjalanan urus niaga dan memberikan imej yang tidak baik kepada para pelanggan. Oleh itu Proton perlu bertimbang rasa dan eloklah diteruskan pemberian kemudahan kepada wakil jualan agar dapat meningkatkan jualan bulanan, bukan mengenakan berbagai-bagai sekatan kepada wakil-wakil jualan.

6Proton dilihat bergantung kepada model SUV baru yang bernama Boyue bagi mengembalikan pasaran Proton. Kita doakan Proton berjaya namun, bolehkah model baru ini kembali meningkatkan jualan Proton memandangkan dengan harga anggaran RM100,000, pengguna mempunyai banyak pilihan untuk membeli kereta jenama lain yang lebih mereka yakini.

7Pemberian diskaun khas sebanyak 10 peratus yang diberikan kepada Persatuan Hokkien, kakitangan Petronas dan DRB-Hicom dan institusi kewangan (termasuk ahli keluarga terdekat) juga menjejaskan jualan kenderaan dalam kalangan wakil jualan, ini kerana pembeli hanya boleh membeli daripada pengedar Proton sendiri bukan daripada wakil jualan. Jelas ini satu diskriminasi kepada wakil jualan kerana mereka tidak dapat memberi diskaun khas.

8Proton juga perlu bertegas mengawal persaingan yang tidak sihat sesama wakil jualan Proton. Proton perlu mengambil tindakan terhadap wakil jualan yang memberi diskaun yang melampau yang kebanyakannya dilakukan oleh wakil bukan bumiputera dan ini telah pun membunuh banyak wakil jualan bumiputera yang terpaksa tutup kerana tidak mampu bersaing dan menghadapi kerugian yang berterusan. Pengurusan dilihat berpeluk tubuh dan tidak buat apa-apa untuk mengawal persaingan yang tidak sihat ini.

9Orang yang menjaga perancangan dan pembangunan wakil jualan Proton diketuai oleh seorang bukan bumiputera yang tentunya tidak mempunyai jiwa untuk membantu bumiputera. Beliau telah memberi berbagai tekanan dan tidak memberi pilihan kepada wakil jualan bumiputera 1S dalam usaha untuk naik taraf kepada 3S. Tidak ada kompromi atau rundingan.

Sebelum adanya dasar-dasar baru ini, bagaimana situasi wakil jualan Proton?

ZAINUDDIN: Sekitar 2015 hingga 2016, saya difahamkan mereka menjual antara 40 hingga 50 unit sebulan. Bagaimanapun, jualan Proton tahun lalu menurun kepada 70,991 unit berbanding 72,291 unit pada 2016. Saya tahu ada banyak kekangan yang dihadapi oleh wakil-wakil jualan ini. Antaranya, dari segi pembayaran gaji minimum dengan rata-rata mereka mempunyai 15 pekerja termasuk ejen. Kalau hanya dapat jual secara purata 20-30 buah kereta sebulan bagaimana mereka nak menampung kos operasi, sewa bangunan, bayaran gaji pekerja dan sebagainya.

Sejak November berapa kerugian yang dicatatkan wakil-wakil jualan ini?

ZAINUDDIN: Berdasarkan aduan yang saya terima ia melibatkan kerugian yang teruk iaitu sekitar 40 hingga 50 peratus setiap bulan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Kerugian ini sudah berlarutan dalam jangka masa yang agak lama. Ramai wakil jualan bumiputera telah bertukar tangan dan ada yang telah pun gulung tikar.

Antara syarat yang perlu dipenuhi ialah wakil-wakil jualan perlu membuka pusat servis 3S di atas tanah sendiri atau tanah sewa. Masalahnya bukan mudah nak dapatkan pemilikan tanah dalam tempoh yang singkat. Bukankah begitu Datuk?

ZAINUDDIN: Ya, ini satu perkara yang paling sukar dan tidak logik sebab nak beli tanah dan tukar nama pun memakan masa lebih enam bulan. Tetapi pengurusan baru Proton tetapkan syarat-syarat ketat iaitu wajib naik taraf ke 3S dalam tempoh kurang setahun. Sudah tentu ini sukar direalisasikan oleh wakil jualan bumiputera. Kalau tak ikut syarat ini, mereka akan tukar dengan wakil jualan lain yang kemungkinan besar rata-ratanya adalah wakil jualan bukan bumiputera. Di Lembah Kelang ini terutamanya, mana nak dapat tanah untuk bina bangunan sendiri atas tanah seluas 0.61 hektar (1.5 ekar) seperti ditetapkan pengurusan baru Proton ini. Jelas tidak logik. Wakil jualan bumiputera tidak mampu untuk menyewa atau membeli tanah 0.61 hektar (1.5 ekar) tersebut. Akhirnya di Lembah Kelang, saya percaya akan dimonopoli oleh wakil jualan bukan bumiputera.

Tidak ada langsungkah wakil jualan bumiputera yang bertaraf 3S?

ZAINUDDIN: Jumlahnya sangat sedikit dan hanya boleh dibilang dengan jari. Di Lembah Kelang difahamkan hanya ada dua sahaja. Konsep 3S wakil jualan bumiputera dilihat masih belum mampu untuk menjalankan perniagaan 3S di Lembah Kelang kerana berbagai-bagai faktor. Inilah realitinya.

Ini baru tiga bulan dasar baru diperkenalkan oleh pengurusan baru Proton. Apa jadi Datuk kalau masih berterusan?

ZAINUDDIN: Tidak mustahil dalam lima hingga enam bulan ini, vendor-vendor bumiputera Proton pula yang akan ‘mati’, bisnes tutup tak boleh berniaga. Margin sedia ada pun tidak mampu menampung kos operasi inikan pula saya difahamkan mereka nak kurangkan lagi 30 peratus. Jadi sebelum wakil jualan dan vendor ini lebih ramai yang ‘bungkus,’ maka eloklah kerajaan berbuat sesuatu.

Sejak dasar ini dimulakan November lalu, di Lembah Kelang sahaja, banyak wakil jualan bumiputera sudah bungkus daripada keseluruhan wakil jualan bumiputera yang ada. Diakui ada juga wakil jualan bukan bumiputera yang sudah menutup perniagaan mereka tetapi nisbah wakil jualan bumiputera lebih ramai. Kita ingin menyuarakan kebimbangan bahawa jualan wakil-wakil bukan bumiputera akan menguasai sepenuhnya pasaran Proton pada masa akan datang.

Tetapi Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak baru-baru ini memberi jaminan akan menjaga masa depan Proton. Pada pandangan Datuk, adakah ini termasuk masa depan vendor dan wakil jualan atau sebaliknya?

ZAINUDDIN: Kami melihat Perdana Menteri amat ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menjaga masa depan Proton. Malangnya keikhlasan dan kesungguhan Perdana Menteri tidak sejajar dengan pengurusan Proton baru yang dikuasai oleh Geely yang kelihatannya tidak ada lagi agenda bumiputera dan tidak lagi menjadi keutamaan mereka. Kita bukan nak salahkan atau bangkang kerajaan mahupun Proton. Tidak sama sekali! Kita memang sangat hargai usaha Perdana Menteri melawat kilang Proton di Tanjung Malim dan bagi jaminan tentang masa depan Proton yang akan terus dijaga walaupun di bawah Geely. Cuma kita harap hasrat beliau dapat dijayakan oleh pengurusan Proton yang baru ini. Itu sahaja kita mahukan.

Antara faktor yang mendorong kepada syarat naik taraf 3S ini juga disebabkan Proton akan memulakan jualan Boyue tahun ini. Adakah Pekema ada sebarang cadangan dalam perkara ini?

ZAINUDDIN: Kita difahamkan pihak Proton dengan bantuan kerajaan akan membawa masuk sejumlah besar secara CBU Boyue dengan insentif istimewa daripada kerajaan bagi menggalakkan jualan Proton di pasaran, malangnya CBU Boyue ini difahamkan akan diberi kepada wakil jualan Proton 3S sahaja. Ini satu lagi diskriminasi secara halus kepada wakil jualan bumiputera 1S yang tidak diberi hak untuk menjual CBU Boyue.

Tetapi difahamkan untuk bantu usahawan bumiputera dalam industri automotif, kerajaan ada sediakan dana. Adakah dana itu digunakan?

ZAINUDDIN: Memang ada dana ini yang dikutip daripada ahli Pekema iaitu RM10,000 setiap AP. Dan kutipan ini telah pun mencecah RM3 bilion sejak 2010. Daripada dana ini, 20 peratus diperuntukkan untuk pembinaan kapasiti di bawah Institut Automotif Malaysia (MAI) manakala 40 peratus untuk Pekema. Lagi 40 peratus pula akan disalurkan untuk membantu membangunkan usahawan bumiputera dalam sektor automotif.

Tetapi, dana dan peruntukan ini tidak diagihkan dan diuar-uarkan jadi tidak ada yang memohon. Maknanya dalam tempoh lapan tahun ini, peruntukan 40 peratus ini tidak pernah diagihkan walaupun kita tahu ada beberapa permohonan dibuat. Jadi, kita minta pada kerajaan supaya dana ini diagihkan untuk bantu wakil-wakil jualan bumiputera ini. Kita harap dengan pinjaman mudah ini usahawan bumiputera boleh bergerak ke hadapan manakala Proton pula melonggarkan syarat mereka.

Bagaimana dengan pembiayaan?

ZAINUDDIN: Dari segi pembiayaan pula, kita nak gunakan dana yang disumbangkan oleh Pekema selama lapan tahun ini. Ikut perkiraan kami, untuk bangunan sahaja ia menelan kos antara RM2 juta hingga RM3 juta. Kos ini tidak termasuk tanah. Jika ikut kos tanah, misalnya di kawasan utama di Lembah Kelang harganya antara RM800 hingga RM1,200 satu kaki persegi dengan mengambil kira lokasi yang strategik dan di hadapan jalan raya. Ia berbeza dengan lokasi lain di Kulim contohnya antara RM200 hingga RM300 satu kaki persegi. Jadi, dengan kos tanah (ambil kira RM800 kaki persegi di Lembah Kelang) dan memenuhi syarat 0.61 hektar yang ditetapkan Proton, ia dianggarkan mencecah RM52 juta. Ini belum lagi mengambil kira modal pusingan sebanyak RM3.5 juta untuk membeli kereta dan kos membina bangunan yang kesemuanya menelan kos sebanyak RM60 juta.

Selain kita menggunakan dana tersebut, kita juga mempertimbangkan platform lain iaitu melantik pengurusan profesional untuk jaga pusat 3S dan menggunakan ahli yang boleh jalankan perniagaan ini secara usaha sama. Tetapi dalam masa sama, 25 syarikat yang merupakan ahli Pekema juga masih bertaraf 1S.

Apa kekangan yang menyebabkan bumiputera tidak boleh naik taraf ke 3S ini? ZAINUDDIN: Prestasi Proton sendiri sebenarnya. Selain sudah lama tidak mengeluarkan model baru (Persona dikeluarkan penghujung 2016), pengguna juga semakin hilang keyakinan dan ini menyebabkan penguasaan pasaran jatuh. Dalam masa sama, prestasi Proton dalam tempoh enam hingga tujuh tahun ini asyik bertukar tangan dari Khazanah Nasional Berhad dan kemudiannya DRB-Hicom Berhad yang menunjukkan satu ‘bentuk penyelesaian yang kukuh’. Ini menyebabkan pengedar tidak tahu hala tuju dan ambil keputusan untuk teruskan perniagaan walaupun menanggung kerugian. Memang ada yang cakap kena berubah, ya, kita boleh berubah, tapi soalnya mana nak dapatkan tanah buat bangunan sendiri dalam tempoh setahun?

Apakah harapan Pekema terhadap Proton?

ZAINUDDIN: Kita semua sayangkan Proton, Proton adalah imej negara dan satu kebanggaan rakyat Malaysia. Kita mengalu-alukan Geely sebagai rakan kongsi strategik Proton. Kita minta pihak kerajaan khususnya MITI yang diterajui oleh Datuk Sri Mustapa Mohamed yang cukup prihatin dengan nasib bumiputera dalam industri automotif dan Kementerian Kewangan (MOF) yang telah memberi lebih RM1 bilion kepada Proton dalam bentuk perjanjian mudah supaya dapat memastikan Proton mengekalkan dasar agenda bumiputera selaras dengan Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan sambungan kepada Dasar Ekonomi Baru. Justeru vendor-vendor dan wakil-wakil jualan bumiputera mestilah terus dibantu dan janganlah biarkan mereka ditindas oleh dasar-dasar dan polisi-polisi baru yang akan membunuh mereka secara perlahan-lahan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/pengedar-bumiputera-proton-tertekan-1.606713#ixzz5757G8xln
© Utusan Melayu (M) Bhd

***************

Proton telah mengeluarkan kenyataan rasmi menjelaskan keadaan dan perancangan, terutama dalam proses untuk menambah baik dan mempertingkatkan eko-sistem motorkar nasional itu.

*******************

Ini merupakan sebahagian dari pembaharuan dan peningkatan dalam perancangan Proton itu terus bergerak kehadapan dan mengekalkan kelangsungan, bagi menentukan jenama dan syarikat akan terus kekal dan bertambah kukuh.

Selepas pengambil-alihan Proton dari Khazanah Nasional Bhd. bermula 2012, DRB-HICOM memutuskan agar diambil rakan strategik industri automtotif demi kelangsungan syarikat, jenama dan eko-sistem yang telah diujudkan semenjak 33 tahun lampau.

Selepas Zheijang Geely Holdings dari Cina diambil sebagai rakan kongsi strategik pada Jun 2017, Proton mula mengalami perubahan secara total.

Bulan lepas produk pertama pasca penglibatan Geely dalam Proton disahkan akan berada dipasaran bermula suku keempat 2018.

Sewajarnya, peningkatan produk dari segi rekaan, peralatan, teknologi dan prestasi merupakan penyediaan Proton diperingkat huluan eko-sistem. Ini termasuk menentukan vendor membekalkan bahagian yang bermutu bersesuaian dengan produk dan harapan pasaran.

Oleh demikian, sasaran eko-sistem Proton diperingkat hiliran juga memerlukan peningkatan juga. Setakat ini, lebih 90% pengedar Proton terutama dikalangan Bumiputera adalah kategori 1S (Sales).

Difahamkan, hanya 8% sahaja bertaraf 3S/4S. Indeks kepuasan pelangan menunjukkan setakat ini Proton tidak menepati kehendak pasaran.

Sasaran Proton agar 30 hingga 40% pengedar dikalangan pengusaha Bumiputera mempertingkatkan kemampuan mereka ketahap 3S/4S.

Ini bersesuaian dengan pengenalan produk setelah dibangunkan bersama penyertaan Geely sebagai rakan kongsi strategik, bermula suku ke-empat tahun ini.

Ini merupakan tindakan strategik kerana kemampuan pengedar ditahap 3S/4S bermakna memberikan pengusaha berkenaan peluang memanjangkan perniagaan secara berterusan dengan pelangan pasca jualan.

Insentif berupa margin tambahan akan diberikan Proton kepada pengedar yang menaik taraf fasiliti ketahap 3S/4S, sebagai peningkatan pulangan atas pelaburan berkenaan tambahan penaik-tarafan perniagaan mereka.

Ini penting kerana dengan pengenalan model SUV baru ini, Proton berhasrat meningkat keupayaan syarikat dan jenama menepati permintaan pasaran dan menyaingi jenama dari Jepun dan Korea.

Peningkatan keupayaan daya-saing dan perkhidmatan merupakan kejayaan strategik Agenda Bumiputera.

 

Advertisements
Published in: on February 14, 2018 at 18:00  Comments (2)  

The URI to TrackBack this entry is: https://bigdogdotcom.wordpress.com/2018/02/14/menongkah-maju-menambahkan-mutu/trackback/

RSS feed for comments on this post.

2 CommentsLeave a comment

  1. Hak keistimewaan orang Melayu di bawah artikel 153 hanya menyebut diberi lesen untuk berniaga tetapi TIDAK meyebut Melayu yang berniaga diberi keistimewaan untuk:

    1. tidak perlu kompetitif,
    2. tidak perlu amalkan asas perniagaan yang baik, dan cekap
    3. tidak perlu berusaha lebih tapi hanya berharap pada subsidi dan bantuan untuk mencari rezeki,
    4. hdup dalam keadaan sentiasa terlindung dan meminta (47 tahun sejak DEB),
    5 berselindung di belakang hak dan kenalan untuk dapat peluang tapi tidak daya usahakan dengan jaya,
    6. harap sara hidup dari duit “free”hingga pihak lain seperti Proton harus tidak kompetitif dan akhirnya hadapai masaalah kewangan,
    7. dan lain-lain lagi.

    If you can’t focus on your business and do it, stop pretending you can do business and just become a salaryman.

  2. […] Proton’s press release as a response to PEKEMA’s reaction: […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: