Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, atas sebab itu kepemimpinan di semua peringkat parti perlu disusun semula bagi membolehkan UMNO tetap relevan.

Katanya, usaha itu perlu dilakukan untuk memastikan UMNO sebagai parti politik yang masih berupaya memayungi orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

“Kita perlu muhasabah dengan memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan parti selama ini, justeru proses pemulihan mesti bermula daripada peringkat atas sehingga akar umbi.

“Kelangsungan politik UMNO hari ini berpaksikan kepada sokongan padu ahli pelbagai peringkat dan keyakinan sepenuhnya terhadap kepemimpinan parti,” lapor UMNO Online, yang memetik Ahmad Zahid dalam sidang akhbar khas di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO yang menjalankan Tugas-tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan perjumpaan tertutup bersama Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Pulau Pinang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, setiap ketua cawangan wajib berlapang dada dan bijak menguruskan pandangan yang berbeza daripada ahli yang kini mahukan pembaharuan yang segar.

Kata beliau, ahli-ahli UMNO pula perlu memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dan efektif di setiap negeri selain berusaha menghapuskan ‘political liability’.

“Saya minta ahli-ahli UMNO di semua peringkat memberi sokongan kepada kepimpinan parti dan yakinlah bahawa apa yang berlaku ini pasti ada hikmahnya,” katanya.