Perkara tersebut bersandarkan kepada beberapa faktor antaranya tiada pertembungan tiga penjuru, selain faktor calon yang juga merupakan penduduk tempatan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan faktor pengundi yang semakin ‘muak’ dengan Pakatan Harapan (PH) kerana gagal membela nasib mereka juga dilihat mampu membantu kejayaan BN.

“Kita yakin mampu mempertahankan kerusi dengan majoriti 3,000 ke atas. Lebih banyak daripada yang kita miliki dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Jentera pilihan raya UMNO dan Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan baik, calon pun Orang Asli tempatan, mana mungkin mereka tidak sokong calon sendiri,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Santai Teh Tarik Bersama Media, di sini hari ini.

BN meletakkan bekas pegawai kanan polis yang juga wakil kaum Orang Asli, Ramli Mohd. Nor sebagai calon PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini. – UTUSAN ONLINE

************