Kata beliau, malah terdapat pengakuan secara bertulis kononnya Pas tidak akan menyokong UMNO.

“Tentang (pertemuan) pihak parti Pas dalam pilihan raya kecil ini tidak akan menyokong parti Umno.

“Dia (Abdul Hadi) beritahu. Ada juga pengakuan secara tertulis dan ditandatangani,” katanya kepada pemberita dalam program Festivel Demokrasi 2019 di sini hari ini.

Bagaimanapun beberapa pemimpin Pas tetap hadir ke Pusat Penamaan Calon PRK DUN Semenyih pagi tadi dan dilihat menyokong calon UMNO.

Pemimpin Pas yang diketuai Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir di pejabat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu di Yayasan Al-Bukhary, di sini semalam.

Pemimpin Pas lain yang turut sama dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebelum ini Abdul Hadi Awang menjelaskan pertemuan semalam adalah bagi membincangkan penyelarasan pentadbiran antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata perbincangan itu turut menyentuh mengenai royalti petroleum, Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan projek-projek Kerajaan Persekutuan dan negeri agar tidak wujud sebarang percanggahan. -UTUSAN ONLINE