Sambil menyifatkan Pas sebagai parti Islam dan UMNO sebagai parti kafir, Dr. Mahathir menegaskan, keutamaan kedua-dua parti tersebut khususnya Pas bukan kerana Islam sebaliknya hanya hendak menang pilihan raya semata-mata.

Dalam masa sama, beliau juga kesal dengan tindakan kepemimpinan tertinggi Pas yang sebelum ini berjanji tidak akan membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Semenyih namun apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

“Saya juga tidak faham Pas ini, baru-baru ini, Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang), Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ada datang bertemu saya dan membuat perjanjian itu.

“Tetapi semasa penamaan calon dan kempen, kita lihat Pas ada bersama. Jelas mereka sedang bekerjasama dengan UMNO. Susah hendak terima apa yang dibawa oleh Pas ini, sekejap begini, sekejap begitu.

“Tidak mengapa, Pas parti Islam dan UMNO parti kafir, biar mereka bersatu lawan PH. Kita sanggup hadapi pakatan Islam dan kafir ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kampungku Sihat Peringkat Kebangsaan dan perjumpaan rakyat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah Pemuda UMNO dan Pas yang bersepakat supaya tiada lagi pertembungan di antara dua parti itu yang akan menyebabkan berlakunya persaingan tiga penjuru dalam mana-mana pilihan raya selepas ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, satu jawatankuasa akan dibentuk di antara UMNO dan Pas selepas ini dan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 kedua-dua parti tersebut akan membina blok pembangkang kuat yang akan menumbangkan PH. – UTUSAN ONLINE