Muhyiddin: Meluaskan akses pendidikan asas yang berkualiti dan berkemampuan

YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN MOHD YASSIN

TIMBALAN PERDANA MENTERI

MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

 

PERUTUSAN TAHUN BARU 2010

 

7 JANUARI 2010; PUKUL 8.40 PAGI;

PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualiikum Warahmatullahi Wabarakatuh, selamat sejahtera dan salam 1Malaysia.

  1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, maka kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Perutusan Tahun Baru bagi tahun 2010 ini.

 

  1. Setiap kali menjelang tahun baru, kita meletakkan sasaran dan memperbaharui azam untuk berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai kejayaan cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi. Bagi warga Kementerian Pelajaran, hari ini merupakan hari yang amat bermakna di mana seluruh warga Kementerian Pelajaran dari segenap pelusuk tanah air berhimpun, sama ada di dalam dewan ini atupun di tempat-tempat lain, untuk bersama-sama memperbaharui iltizam, memperteguhkan tekad dan menyuntik semangat baru yang lebih kental bagi melaksanakan tanggungjawab mulia mendidik anak bangsa dan melonjakkan mutu pendidikan negara.

 

Para hadirin yang dihormati,

  1. Kementerian Pelajaran  merupakan nadi kepada usaha untuk membangunkan modal insan yang akan memacu dan melonjakkan kemajuan negara pada masa hadapan. Matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020, sesungguhnya amat bergantung kepada keupayaan warga Kementerian Pelajaran untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada pelajar. Hanya dengan pendidikan berkualiti yang menekankan pembangunan insan secara holistik dan membangunkan daya inovasi dan kreativiti, kita akan dapat menghasilkanmodal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan. Modal insan yang berkualiti tinggi ini tentunya akan berupaya untuk memacu ekonomi berteraskan pengetahuan dan mencipta kekayaan baru bagi negara kita. Usaha ini adalah sejajar dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk melaksanakan Model Ekonomi Baru berteraskan pengetahuan dan menjadikan negara kita sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

 

  1.  Pendidikan di negara kita juga mempunyai satu lagi peranan yang amat penting. Dalam sebuah negara berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya, pendidikan merupakan mekanisme utama dalam usaha kita untuk membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu. Hasrat ini hanya akan dapat dicapai melalui pelaksanaan satu sistem pendidikan yang mementingkan nilai-nilai kebangsaan di samping menghormati kepelbagaian. Melalui sistem pendidikan ini, anak-anak akan diasuh dengan nilai-nilai kebersamaan, hormat-menghormati, cintakan tanah air dan penerimaan antara satu sama lain. Nilai-nilai ini boleh dipupuk melalui pemakaian satu kurikulum kebangsaan, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang menekankan unsur-unsur perpaduan kebangsaan dan pemerkasaan sekolah kebangsaan. Saya percaya dengan adanya usaha, tekad dan niat yang murni daripada pelbagai pihak dalam negara kita, baik kerajaan, para guru, ibu-bapa, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, dan warganegara yang prihatin untuk menyemai dan menyuburkan benih perpaduan di dalam hati dan sanubari generasi muda kita melalui satu sistem pendidikan yang mengutamakan nilai-nilai kebangsaan dan menghormati kepelbagaian, kita akan berjaya memperkukuhkan perpaduan negara selaras dengan hasrat dan gagasan 1Malaysia.

 

  1. Hakikatnya, melahirkan modal insan yang berketerampilan dan memupuk perpaduan kebangsaan adalah dua matlamat murni sistem pendidikan negara. Lebih daripada itu, kita bersyukur kerana sistem pendidikan di negara kita dipandu oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat untuk melahirkan insan yang sempurna dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru, fungsi utama pendidikan di negara kita ialah untuk membina dan membangun potensi yang ada pada setiap anak kita tanpa mengira perbezaan kaum, agama, bahasa dan budaya. Adalah menjadi hak setiap anak-anak di negara ini untuk mendapatkan pendidikan yang mampu menggarap dan membina segala potensi yang ada pada diri mereka secara seimbang dan sempurna. Ini bermakna, segala dasar, program dan usaha yang dilaksanakan oleh warga pendidik di seluruh negara haruslah mendahulukan pelajar. Melahirkan pelajar yang cemerlang dalam segala bidang merupakan keutamaan kita. Matlamat ini hanya akan dapat dicapai sekiranya kita bersama-sama membulatkan tekad dan memperteguhkan muafakat untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.

 

Para hadirin yang dihormati sekalian,

 

KEJAYAAN YANG DICAPAI DALAM TAHUN 2009

Akses Pendidikan Berkualiti – Infrastruktur dan Kebajikan

 

6.      Menyedari kepentingan pendidikan sebagai wahana untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan, mempekukuhkan perpaduan dan membangun potensi pelajar secara seimbang, kerajaan sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda pendidikan. Meskipun Malaysia menerima kesan daripada kemelesetan ekonomi dunia, Kementerian Pelajaran sentiasa memastikan perancangan dan pembangunan pendidikan negara dapat dilaksanakan dengan jayanya. Alhamdulillah, pencapaian sepanjang tahun 2009, menunjukkan program-program yang dirancang telah memberi impak yang berkesan.  Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan para hadirin semua antara beberapa kejayaan yang telah kita capai sepanjang tahun.

PENCAPAIAN AKADEMIK DI SEKOLAH

 

7.      Dari segi pencapaian akademik, pencapaian calon UPSR pada tahun lalu adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan bilangan pelajar yang memperolehi Gred A dalam semua mata pelajaran telah meningkat sebanyak 0.32 peratus. Sementara itu, keputusan PMR 2009 juga mencatatkan peningkatan sebanyak 6 peratus. Peningkatan pencapaian murid dalam peperiksaaan awam ini sesungguhnya adalah hasil didikan, usaha gigih dan pengorbanan para guru kita di seluruh pelusuk negara. 

 

AKTIVITI SUKAN, SENI DAN KOKURIKULUM

 

9.      Saya juga amat berbangga dengan kejayaan menonjol para pelajar dalam bidang ko-kurikulum apabila pasukan negara kita menjadi johan keseluruhan dalam pertandingan World Robotic Challenge 2009 di Pohang, Korea Selatan. Pelajar kita juga telah mendapat tempat ke enam dalam F1 Technology Challenge World Championship 2009 di London yang disertai oleh 48 pasukan daripada 32 buah negara. Tahniah diucapkan kepada Sekolah Victoria yang telah menjuarai Kejohanan Pancaragam Sedunia 2009, yang telah berlangsung di Modena, Itali. Manakala dalam bidang sukan, pasukan Boling Tenpin MSSM telah menjadi naib johan acara berpasukan dalam Kejohanan Boling Tenpin Sekolah-Sekolah Asia ke-11 yang berlangsung di Hong Kong. Kita juga amat berbangga dengan kegigihan yang ditunjukkan oleh para atlet muda dari  Sekolah Sukan Malaysia yang mampu bersaing dengan atlet senior di Temasya Sukan SEA Ke-25 di Laos dengan meraih sebanyak 28 pingat emas. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua!.

11.    Kementerian amat maklum bahawa kejayaan pelajar kita dalam aktiviti kokurikulum dan sukan hanya dapat dicapai dengan usaha, tunjuk ajar dan pengorbanan para guru dan jurulatih yang gigih. Sehubungan itu, usaha yang lebih bersepadu untuk menambah baik kemudahan dan prasarana sukan, meningkatkan keupayaan jurulatih dan menyemarakkan program sukan dan kokurikulum di sekolah akan terus dilaksanakan pada masa hadapan. Untuk tujuan ini, seramai 480 orang jurulatih kokurikulum telah dilatih pada tahun 2009 bagi membolehkan 516 jawatan jurulatih kokurikulum diisi  pada tahun 2010 ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

MEMANTAPKAN LATIHAN PERGURUAN

12.    Kita semua sedar bahawa kunci kepada kecemerlangan pendidikan ialah guru-guru yang berkualiti. Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti guru dan memartabat profesionalisme keguruan, KPM telah melaksanakan beberapa strategi. Ini termasuklah menaik taraf maktab perguruan kepada institut pendidikan guru (IPG) yang menawarkan program ijazah.  Kumpulan pertama guru terlatih IPG iaitu seramai 1,448 orang yang berjaya memperolehi ijazah sarjana muda pendidikan di bawah Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) pada Disember 2009 akan memulakan tugas mereka pada awal tahun ini. Pusat-pusat Kecemerlangan Institut Pendidikan Guru juga telah diwujudkan berdasarkan bidang-bidang kebitaraan.

13.    Kementerian juga akan meneruskan usaha untuk meningkatkan jaringan kerjasama dengan universiti-universiti berprestij dalam dan luar negara sebagai salah satu usaha menaik taraf IPG, meningkatkan pembangunan kapasiti (capacity building)  para pensyarah dan melahirkan guru siswazah yang berkemahiran. Antara yang telah dilaksanakan ialah Program Perguruan IPTA (Ijazah Sarjana Muda Perguruan) dalam negara, serta Program Kembar Bachelor of Education (TESL). IPG Kampus Antarabangsa yang telah bekerjasama dengan lima universiti di Australia, New Zealand dan United Kingdom sejak tahun 2003 telah melahirkan tiga kohort guru bahasa Inggeris berjumlah 367 orang yang majoritinya berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman.  Program melatih guru dalam bahasa Antarabangsa seperti Bahasa Jerman, Bahasa Jepun dan Bahasa Perancis diteruskan bagi memastikan murid sekolah berpeluang belajar bahasa lain selain bahasa Inggeris.

14.    Selain itu, Program Pensarjanaan Tenaga Pengajar IPG diteruskan bagi menjamin kredibiliti tenaga pengajar dan kualiti pendidikan di IPG. Sehingga penghujung tahun 2009, sejumlah 60 peratus pensyarah IPG telah ditawarkan tajaan biasiswa kedoktoran manakala 57 peratus  pensyarah ditawarkan  tajaan biasiswa sarjana.

 

Para hadirin sekalian,

INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN PENDIDIKAN

15.    Pemeluasan akses kepada pendidikan yang berkualiti tidak akan lengkap tanpa memastikan pelajar menikmati kemudahan pendidikan yang selesa. Oleh itu,  sebanyak 10,281 projek infrastruktur dan kemudahan pendidikan telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian. Peruntukan yang besar telah disediakan untuk tujuan ini. Bagi membiayai 962 sekolah bantuan kerajaan, memantapkan program pra sekolah serta menaiktaraf, membaikpulih dan menyelenggara sekolah, sebanyak RM 450 juta telah disalurkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama. Kementerian juga telah membekalkan perabot dan peralatan, menyediakan tenaga pengajar kontrak, membekalkan kabin, menaiktaraf, membaik pulih dan menyelenggara sekolah dan institusi pendidikan dengan bajet mini yang disediakan berjumlah RM 2 bilion. Ini membolehkan Kementerian membela dan memulihkan sekolah yang berada dalam keadaan dhaif yang memerlukan pembaikan segera.

16.    Bagi memastikan anak-anak kita di luar bandar dan kawasan pedalaman menerima pendidikan yang sewajarnya, sebanyak 93 buah asrama baru, asrama tambahan dan gantian telah siap, atau sedang dalam proses pembinaan. Kebajikan guru di luar bandar dan kawasan pedalaman juga telah diberi perhatian utama. KPM telah melaksanakan sebanyak 168 buah projek rumah guru yang diharap akan dapat memastikan guru akan terus kekal berkhidmat di kawasan pedalaman dalam keadaan yang lebih selesa.

17.    Selain itu, KPM juga telah melaksanakan projek bekalan air bersih, iaitu sebanyak 116 di Sabah, 211 di Sarawak dan 240 di Semenanjung Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM387.9 juta. Bekalan elektrik telah berjaya disediakan di 429 buah sekolah di Sarawak, 197 di Sabah dan 48 di Semenanjung Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM1.78 billion. Sementara bekalan elektrik 24 jam telah dapat disediakan kepada hampir semua sekolah iaitu 99.1 peratus sekolah rendah, dan 99.5 peratus sekolah menengah.

18.    Dalam usaha merapatkan jurang digital, KPM telah memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur, perisian dan latihan ICT. Daripada 3,025 projek pusat akses, 2143 (70.8%) projek telah disediakan di luar bandar. Dengan terlaksananya pembinaan pusat akses, maka ramai murid telah dapat melaksanakan pembelajaran kendiri, berkomunikasi secara elektronik, mencapai maklumat dan memperoleh kemahiran ICT.

Hadirin yang dihormati sekalian,

19.    Sesungguhnya Kementerian amat menghargai dan berterima kasih kepada para pendidik yang tanpa jemu berusaha meningkatkan kualiti pendidikan negara dan mendidik anak bangsa, terutamanya bagi mereka yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman. Bagi memastikan guru terlatih mencukupi mengikut opsyen di pedalaman, Kementerian telah memperluaskan pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi Dan Tahap Kesusahan bagi pegawai perkhidmatan pendidikan dan anggota kumpulan sokongan yang berkhidmat di sekolah pedalaman. Elaun ini telah memberi manfaat kepada seramai 12,000 warga pendidik di 872 buah sekolah. Adalah diharapkan insentif sebegini akan memberi peransang dan galakan kepada para guru untuk terus berbakti di kawasan luar bandar dan pedalaman.

PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN PERINGKAT ANTARABANGSA

 

20.    Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan bertaraf dunia, kejayaan Kementerian terbukti melalui program-progran kerjasama dengan negara-negara maju dan membangun.  Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang dikendalikan di IPG, Kampus Bahasa Antarabangsa sejak tahun 2001 melibatkan 93 buah negara, adalah salah satu bukti bahawa pendidikan di Malaysia telah mencapai tahap antarabangsa.  Latihan perguruan yang telah ditawarkan kepada 737 peserta setakat ini secara tidak langsung meletakkan Malaysia di peta 93 buah negara tersebut. Kejayaan program G to G ini bukan sahaja membuktikan penerimaan sistem pendidikan kita, malahan mempamerkan keupayaan Malaysia menjadi global players dalam arena pendidikan dunia. Satu lagi projek yang amat membanggakan Malaysia pada tahun 2009 adalah  Malaysia Australia Education Project for Afghanistan (MAEPA), iaitu  projek kerjasama   Malaysia dan Australia bagi melatih 30 orang jurulatih utama dari Afghanistan dalam pendidikan guru menurut perspektif pendidikan Islam di IPG yang sama. Malahan, kerajaan Australia telah memohon untuk meneruskan pelaksanaan MAEPA II pada tahun 2010. Kejayaan projek ini membuktikan bahawa bidang latihan guru kita telah diiktiraf oleh negara maju.

21. Dalam hubungan kerjasama peringkat dua-hala (Bilateral) dan pelbagai-hala (Multilateral), Malaysia terus memberi perhatian utama, termasuk penyertaan aktif dalam pertubuhan antarabangsa khususnya dalam bidang latihan keguruan, pengajaran dan pembelajaran menggunakan Bahasa Inggeris, kepimpinan pendidikan, pembangunan kurikulum serta memperkukuhkan rangkaian sekolah. Pelbagai saluran kerjasama bilateral seperti ASEAN, UNESCO, ISESCO, Komanwel, dan SEAMEO akan terus menjadi wadah penting untuk Malaysia meningkatkan keberkesanan sistem dan kualiti pendidikan negara secara berterusan, iaitu melalui pemindahan teknologi, pengalaman dan ilmu yang diterima untuk dimanfaatkan oleh murid-murid di negara ini melalui sistem persekolahan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

HARAPAN BAGI TAHUN 2010

 

22.    Apakah harapan dan wawasan kita bagi tahun 2010? Walaupun kita telah berjaya melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan kualiti pendidikan pada tahun 2009, kita juga akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu ditangani bagi tahun 2010. Antara cabaran yang menuntut komitmen dan iltizam semua warga pendidik adalah meluaskan akses pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan sebagaimana yang disasarkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.

23.    Justeru, bagi tahun 2010 saya ingin memberikan tumpuan khusus kepada usaha untuk mencapai sasaran awal empat sub-NKRA pendidikan. Pertama, untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah, sasaran Kementerian bukan sahaja tertumpu kepada kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke atas, malah juga meliputi kanak-kanak yang berumur 4 tahun.  Penyertaan kanak-kanak seawal umur 4 tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dari awal lagi.  Pada masa ini,  67 peratus kanak-kanak telah mengikuti prasekolah kerajaan dan swasta. Sasaran bagi tahun 2010, iaitu peningkatan 5 peratus kepada 72 peratus bukanlah sesuatu yang sukar dicapai, kerana tanggungjawab ini akan dipikul bersama oleh agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Selaras dengan ini, Kementerian telah menambah bilangan kelas prasekolah kepada 315 buah kelas dengan bilangan guru prasekolah seramai 7,511 orang pada tahun 2010 ini. Semua prasekolah, kerajaan mahupun swasta, akan menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Perluasan pendidikan prasekolah ke dalam aliran perdana pendidikan akan membolehkan negara kita menepati standard antarabangsa dalam menyediakan pendidikan bagi tempoh 12 tahun bagi setiap murid.

25.    Kedua, penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira murid akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (LINUS) pada peringkat sekolah rendah. Pada masa kini, kadar literasi dalam kalangan murid sekolah rendah adalah 87 peratus. Sasaran bagi tahun 2010 ialah peningkatan sebanyak 3 peratus iaitu kepada 90 peratus. Sasaran ini akan disokong dengan menempatkan guru-guru yang terbaik untuk mengajar Tahun 1, menambah bilangan guru pemulihan di sekolah pada nisbah 1 guru kepada 15 orang murid daripada nisbah sedia ada iaitu 1 guru kepada 1 sekolah. Ini akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M. Kumpulan guru yang bertindak sebagai fasilitator untuk membantu guru-guru dalam program ini juga akan diwujudkan di semua Pejabat Pelajaran Daerah.

26.    Ketiga, sasaran untuk melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi akan dicapai dengan mewujudkan sekolah berkesan atau effective schools yang mempunyai identiti tersendiri yang unik, berbudaya kerja sangat tinggi dengan modal insan yang berkembang secara holistik, berdaya saing serta diiktiraf dalam dan luar negara. Sebanyak 20 buah sekolah disasarkan untuk menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini agar matlamat kita menjadikan 100 buah sekolah dalam kumpulan ini pada tahun 2012 tercapai. Saya amat berharap agar hasrat untuk mewujudkan sekolah-sekolah sebegini menjadi realiti dan seterusnya menjadi sekolah contoh kepada sekolah-sekolah lain dalam mencipta kecemerlangan institusi masing-masing.

27.    Keempat, Kementerian telah merangka suatu insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah yang telah berusaha memajukan serta menyumbang kepada profesionalisme pengurusan dan kesejahteraan institusi masing-masing. Bermula tahun 2010, semua pemimpin sekolah perlu menetapkan sasaran yang perlu dicapai dengan persetujuan bersama Kementerian. Pencapaian prestasi sekolah adalah berdasarkan skor komposit iaitu kombinasi skor Gred Purata Sekolah (GPS) dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Pengetua dan Guru Besar yang mencapai kedudukan tertinggi akan layak menerima ganjaran. Kementerian berharap agar ganjaran ini menjadi pendorong kepada semua pemimpin sekolah untuk terus berusaha dengan gigih bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dan seterusnya meningkatkan kualiti sekolah sehingga menjadi sekolah berprestasi tinggi.

28.    Dalam usaha kita untuk menjadi negara maju, kita juga perlu melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi. Alhamdulillah, dalam kalangan pelajar kita terdapat mereka yang lebih cenderung untuk mengasah bakat dalam bidang kemahiran. Menyedari hakikat ini, Kementerian telah menstruktur semula 69 buah Sekolah Menengah Teknik untuk dijadikan Sekolah Menengah Vokasional yang diharapkan dapat menggarap kemahiran pelajar-pelajar kita dan meningkatkan daya inovasi dan kreativiti mereka. Kita juga telah merancang program yang terbaik agar sekolah aliran vokasional dan kemahiran menjadi salah satu bidang aliran perdana dalam sistem pendidikan kita. Saya percaya dengan peningkatan mutu pendidikan kemahiran dan vokasional, kita akan dapat membekalkan tenaga kerja yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi yang amat diperlukan oleh negara, di samping mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Langkah ini diharap akan membantu industri berat dan sederhana di negara ini untuk berkembang dengan lebih pesat lagi.

29.   Untuk memastikan sistem pendidikan negara kita terus relevan dan berdaya saing, saya berpendapat bahawa penandaarasan pendidikan negara adalah amat penting untuk menjamin pendidikan yang kita sediakan adalah setanding dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa. Dengan mengambil kira kesesuaian konteks pendidikan Malaysia, Kementerian akan menjalankan kajian penilaian ke atas sistem pendidikan negara pada tahun hadapan dengan kerjasama UNESCO bagi membolehkan kita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan untuk menambahbaik sistem pengurusan pendidikan, kurikulum, latihan perguruan, proses pengajaran dan pembelajaran dan aspek-aspek lain secara keseluruhannya.  

Hadirin yang saya hormati sekalian,

 

MBMMBI

 

30.     Bahasa merupakan jiwa sesuatu bangsa. Menyedari hakikat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara serta sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan, Kementerian akan berusaha lebih gigih untuk memartabatkan bahasa Malaysia dengan mengukuhkan penggunaannya sebagai bahasa pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Program literasi kepada murid sekolah rendah akan menumpu kepada kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia dalam semua aliran pendidikan. Ini bagi memastikan semua murid dapat berkomunikasi dan memahami satu sama lain dalam satu bahasa yang akan mewujudkan semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.  Selain itu, Kementerian juga akan melaksanakan transformasi bahasa Malaysia dengan  mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang, dan holistik.

31.    Untuk berjaya pada peringkat antarabangsa, kita perlu menguasai bukan sahaja satu bahasa malah pelbagai bahasa antarabangsa. Untuk tujuan itu, Kementerian telah mengambil langkah untuk memperkukuhkan penguasaan dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kedua negara, lantas dapat meningkatkan keupayaan murid menguasai ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi, serta mempersiapkan mereka menghadapi persaingan arus globalisasi, selain menggalakkan murid menguasai bahasa-bahasa antarabangsa lain di dunia. Antara usaha yang dijalankan untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan menambah bilangan guru bahasa Inggeris berkualiti melalui latihan perguruan menggunakan jurulatih utama dari luar negara atau penutur jati bahasa tersebut. Selain itu, penambahan masa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sebanyak 90 minit untuk Sekolah Kebangsaan dan 60 minit untuk Sekolah Jenis Kebangsaan membuktikan kesungguhan Kementerian untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.  Sebanyak empat IPG dan English Language Training Centre (ELTC) telah dikenalpasti sebagai ‘Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris’. Semua IPG ini akan melaksanakan pelan tindakan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru pelatih dan dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2010 dan tahun-tahun berikutnya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

32.    Kementerian telah merancang pelbagai usaha untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan menambahbaik sistem pendidikan negara. Namun, usaha dan perancangan tersebut akan menghadapi cabaran yang bukan sedikit pada tahun 2010 ini. Sebagai permulaan, krisis ekonomi dunia yang berlaku telah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara kita. Situasi ini telah menjejaskan pendapatan negara. Ini menyebabkan peruntukan perbelanjaan  Kementerian Pelajaran pada tahun ini dikurangkan kepada RM30.51 billion berbanding RM31.4 billion pada tahun lalu. Cabaran kepada Kementerian ialah untuk meneruskan segala aktviti sedia ada secara lebih cekap dengan meletakkan keutamaan (priority) pelaksanaan program yang dirancang tanpa menjejaskan kualiti pendidikan.

33.    Kunci kepada kejayaan kita mengharungi cabaran ini ialah pengurusan kewangan yang berhemah berteraskan amalan nilai-nilai moral, etika dan integriti yang luhur. Dalam memelihara integriti, saya menyeru seluruh warga Kementerian agar menghayati nilai-nilai murni seperti cekap, jujur dan amanah, serta membuat sesuatu keputusan berasaskan kepada kriteria-kriteria yang telus, adil dan saksama serta mengelakkan pembaziran. Saya yakin dengan memelihara integriti, kita akan berupaya mengurus kewangan dengan berhemah dan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat selaras dengan prinsip rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. 

34.    Di samping itu, cabaran yang amat jelas terpaksa digalas oleh semua pengurus pendidikan khususnya pada peringkat institusi pendidikan ialah untuk berfikir dan bertindak bagi mengekal dan meningkatkan pencapaian berdasarkan tahap keberhasilan yang ditetapkan dengan menggunakan sumber yang terhad. Kejayaan pengurusan sekolah mendepani cabaran ini sesungguhnya menjadi ukuran kepada kecekapan dan keberkesanaan mereka dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Inilah masa yang sesuai untuk kita memperaktikkan cadangan YAB Perdana Menteri bagi tahun 2010, iaitu ‘menggalakkan kreativiti dan inovasi’ dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.

35.    Yang lebih penting, saya percaya, kita pasti dapat mengharungi segala cabaran yang bakal mendatang dengan adanya semangat, dedikasi, sifat tanggungjawab dan profesionalisme daripada mereka di barisan hadapan,  dan guru-guru berkualiti yang terlatih. Sehingga kini, para guru di Malaysia telah membuktikan kegigihan dan kewibawaan mereka melalui kejayaan yang dicapai oleh anak didik mereka. Kejayaan yang telah kita capai sebelum ini sesungguhnya datang daripada pelbagai situasi, sama ada ketika susah mahupun senang. Oleh itu, saya amat yakin bahawa cabaran atau kekangan yang mungkin kita hadapi bagi tahun 2010 ini akan dapat kita harungi jua dan tangani dengan jayanya. 

36.    Warga pendidik adalah nadi utama dalam pembangunan negara.  Justeru, marilah kita bersama-sama merealisasikan agenda pendidikan yang telah kita rancang dan memikul tanggungjawab dengan penuh iltizam dan azam yang kental. Memandangkan cabaran dalam bidang pendidikan amat besar, wajarlah kita semua warga pendidik bersikap bagai aur dengan tebing, cubit peha kiri peha kanan terasa jua. Kerjasama semua warga pendidik amat penting dalam menjamin kejayaan agenda pendidikan negara yang berterusan.

37.    Kepada para pelajar, harapan saya tentu sekali anda semua mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Ingatlah bahawa setiap usaha yang dilakukan oleh para guru dan seluruh warga Kementerian ini ialah untuk mendidik anda semua agar menjadi pelajar yang cemerlang. Justeru, berusahalah dengan gigih, hormatilah para guru dan ibubapa, peliharalah disiplin dan sahsiah diri, dan capailah impian anda. Di samping itu, jadikanlah sekolah kita sebagai medan untuk memperkukuhkan perpaduan. Hayatilah semangat 1Malaysia dengan sepenuh hati dan amalkanlah sikap saling hormat-menghormati. Saya percaya dengan sikap yang baik ini kita akan berjaya memupuk semangat perpaduan yang lebih kental.

 

PENUTUP

38.  Akhirnya, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua warga Kementerian Pelajaran, termasuk semua pendidik yang berada di seluruh pelusuk negara yang telah berusaha dengan gigih untuk menjayakan pelbagai program pada tahun 2009. Bagi tahun baru 2010 ini, saya berharap usaha dan kecemerlangan pendidikan akan dilonjakkan lagi agar kita dapat menyediakan pendidikan terbaik kepada anak-anak kita pada hari ini dan masa depan. Selamat Menyambut Tahun Baru 2010. Semoga usaha kita akan diberkati Allah SWT dan segala perancangan kita dapat dilaksanakan dengan jayanya

Published in: on January 7, 2010 at 10:00  Comments (8)  

The URI to TrackBack this entry is: https://bigdogdotcom.wordpress.com/2010/01/07/muhyiddin-meluaskan-akses-pendidikan-asa-yang-berkualiti-dan-berkemampuan/trackback/

RSS feed for comments on this post.

8 CommentsLeave a comment

  1. Malangnya ramai ibubapa kini marah pada YAB Menteri Pelajaran kerana seakan menghapuskan Sekolah Berasrama Penuh yang rata-ratanya anak orang kampung dan berpendapatan rendah.

    Ini adalah kerana mulai tahun 2010 dasar baru dimana Kerajaan hanya membiayai makanan hanya 200 hari. Ini bermakna setiap sabtu dan ahad, tiada makanan diasrama.

    Bagi keluarga yang berada, saban minggu mak bapak akan datang ambil anak-anak balik kerumah bagi mengelak kebuluran. Bagaimana dengan anak=anak Melayu yang kurang berada??????

    Sebagai jalan dharurat, ramai ibubapa kini dalam proses memindahkan semula anak-anak merekabalik ke kampung…. BAYANGKAN…

    • Betulke..takkanlah menteri melayu yg dipilih oleh org Melayu termasuk org2 kg sanggup berbuat begitu..jika betullah, nampak sgt lah bangsa kita skg spt dikhianati, bukan saja oleh bangsa lain tetapi oleh bangsa kita sendiri..aku berharap perkara ni tak betul.

  2. Salam,

    Sorry off topic but from – http://paklebai.blogspot.com/2010/01/perkataan-allah-strategi.html

    Extract (my comment)
    ====
    “On Dec 27, we wrote to the ministry requesting the minister to reconsider his decision. We were pleasantly surprised (even the Herald was surprised) to receive a letter of approval dated Dec 28 (decided YES within a day when it was previously NOT allowed ?) which was hand-delivered to us on Dec 30. The letter places no restrictions whatsoever and includes the permit for all the languages, including the Bahasa Malaysia segment,” said Herald editor Fr Lawrence Abraham
    ====

    Could the home minister who approved the usage explained ?
    or it was not from home minister ?

  3. hehe, bagus la, perancangan yang bagus. tapi macam mana pula dengan pendidikan Islam dan Aqidah anak2 muda? Itu yang hangpa takut sangat jumpa perkataan Allah, nanti anak anak konfius.

    haha, lawak ah

    • zach tunggula nanti , PAS akan pusing-pusing sampai pening pasal isu Allah ni . ala macam biasa laa PAS ni , kejap halal kejap haram .

      lawak ooo … ehh baru-baru ni nampak muka kau ni mana menghilang sejak p[ilihanraya aritu ahahahaha , dah jumpa video ke

      • hehe, Ada la, around. Biasala, PRK dah habis, balik kepada hidup biasa. Kerja, sara diri…

        Saya tak menjangka ramai yang akan keluar demo hari ini ataupun hujung minggu ini. Maklumlah, bila takde FRU, takde tear gas, takde water canon, orang pun malas pi demo. Haha

  4. video apa plak nih?

  5. […] Teks penuh perutusan tahun baru 2010 oleh YAB Tan Sri Muhyiddin B. Mohd Yassin SHARETHIS.addEntry({ title: "Melestarikan ummah madani", url: "http://www.qalamun.com/?p=1250" […]


Leave a comment